7.8 juta warga emas alami demensia tahun 2050 - Utusan Malaysia

7.8 juta warga emas alami demensia tahun 2050

Negara dijangka mempunyai 7.8 juta warga emas berumur 65 tahun dan ke atas menjelang tahun 2050 dengan 600,000 atau 7.6 peratus daripada mereka bakal menderita penyakit demensia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara dijangka mempunyai 7.8 juta warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas menjelang tahun 2050 dengan 600,000 atau 7.6 peratus daripada mereka bakal menderita akibat penyakit demensia.

Individu yang menghidap demensia mempunyai masalah berkaitan memori sukar berfikir selain terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menguruskan kehidupan harian.

Alzheimer pula ialah salah satu jenis demensia yang mempengaruhi memori, keupayaan seseorang untuk berfikir dan juga tingkah laku seseorang dan 60 peratus alzheimer menyumbang kepada dimensia.

Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) mendedahkan pesakit dimentia atau nyanyuk akan meningkat tiga kali ganda selepas warga emas dalam negara meningkat dari tujuh peratus kepada 14 peratus pada tahun 2050.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi ADFM, Datuk Dr. Yim Khai Kee berkata, jumlah pesakit dimensia yang ada di dalam negara ketika ini dianggarkan sudah mencapai 200,000.

Katanya, peningkatan jumlah pesakit dimentia disumbangkan oleh purata jangka hayat rakyat negara ini yang semakin meningkat iaitu mencecah kepada umur purata 78 tahun.

“Terdapat banyak per­kara yang menyebabkan seseorang warga emas itu menghidap dimensia, penyakit alzheimer adalah salah satu puncanya. Alzheimer penyebab 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pesakit dimensia.

“Apabila jangka hayat makin tinggi, keberangkalian menghidap dimensia juga menjadi lebih tinggi. Jadi apabila jumlah warga emas meningkat jumlah pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) itu pun sudah pasti meningkat,” katanya ketika ditemui di pejabat dan pusat penjagaan pesakit Alzheimer baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khai Kee berkata, kebiasaan penyakit dimentia dapat dikesan pada individu yang mencecah umur warga emas namun kini penyakit seperti mampu memberi kesan kepada golongan lebih muda.

“Terdapat sebuah kajian menunjukkan penyakit dimentia sebenarnya bermula pada usia muda seawal 20 ke 30 tahun. Jadi ini bermakna penjagaan diri perlu dipertingkatkan supaya kita dapat menghindari penyakit tersebut.

“Gaya hidup kita perlu berubah sekurang-sekurang  di mana hindarkan daripada tabiat merokok dan meminum alkohol kerana ini akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat mendapat dimensia,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Projek ADFM, Gan Chong Shyan berkata, sekiranya kerajaan tidak memulakan langkah untuk menjaga pesakit dimentia maka ia akan mendatangkan kesan negatif kepada negara.

Jelasnya, jumlah penjaga pesakit dimensia sedia ada di dalam negara tidak akan dapat menampung peningkatan tersebut memandangkan pesakit memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang penjaga.

“Ia tidak boleh satu pesakit dimensia dijaga oleh seorang penjaga kerana ia amat memberi tekanan daripada segi mental kepada penjaga yang mana jika terlalu tertekan kita bimbang mereka akan berhenti dan negara kehilangan penjaga untuk pesakit dimentia.

“Sebab itu satu pesakit dimensia memerlukan tiga penjaga, supaya beban tanggungjawab itu dapat diagihkan. Kita juga tidak boleh mengurung pesakit itu kerana mereka amat memerlukan berada di dalam komuniti, jika tidak keadaan mereka akan menjadi lebih teruk.,” katanya.

Tambahnya, pihak ADFM kini sedang giat memberikan pengetahuan tentang penyakit alzheimer dan dimentia terutama dalam kalangan ahli keluarga pesakit sendiri.

“Pesakit dimensia mempunyai beberapa tahap yang berbeza, tahap yang teruk adalah hilang ingatan dan selepas itu ke tahap yang lebih tinggi yang mana pesakit akan menjadi 100 peratus bergantung hidup pada individu lain.

“Pesakit dimensia ini dari segi fizikal baru capai umur 70 tahun tetapi daripada mentalnya seperti warga emas yang sudah mencapai usia 90 tahun iaitu tidak lagi mampu menjaga diri mereka sendiri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×