Kuasai tiga teknik belajar dengan efektif

Kuasai tiga teknik belajar dengan efektif

PEMILIHAN teknik belajar yang mengikut kesesuaian diri dapat meningkatkan pembelajaran lebih efektif. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT tiga teknik yang boleh digunakan untuk belajar sebelum menghadapi peperiksaan. Antaranya teknik Feynman, teknik Pomodoro dan teknik catatan Cornell.

Teknik Feynman diasaskan oleh Richard Feynman iaitu seorang ahli fizik teori Amerika Syarikat. Fokus teknik ini adalah memahami pembelajaran melalui pengajaran atau menjelaskannya kepada orang lain.

Pilih satu topik yang ingin dipelajari dan mencari rujukan. Pastikan anda mencatat semula rujukan. Setelah memahami topik yang dipelajari, cuba terangkan topik itu kepada orang lain dengan menggunakan bahasa yang sederhana, jelas dan mudah untuk difahami.

Teknik Pomodoro adalah kaedah pengurusan masa dan kebiasaannya menggunakan formula 25 minit bekerja, 5 minit rehat dan diulang sebanyak empat kali dengan jumlahnya selama dua jam. Teknik ini perlu menyediakan pemasa atau timer, pensil, kertas dan tugasan.

Teknik Catatan Cornell dicipta pada tahun 1950-an oleh Prof. Walter Pauk yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Cornell. Catatan Cornell ini merupakan satu teknik menulis dan menyusun nota yang dianggap lebih berkesan dan cekap berbanding menggunakan peta minda.

Catatan ini dapat membantu kita dalam mengingat konsep-konsep yang penting dalam bentuk nota yang ringkas.

Setiap orang memiliki pilihan cara belajar dan kebiasaan belajar yang berbeza. Sesetengah orang apabila belajar mereka akan stres kerana tidak mengikut teknik belajar yang sesuai dengan diri mereka bak kata pepatah Inggeris, don’t work hard, work smart.

Pemilihan teknik belajar yang mengikut kesesuaian diri dapat meningkatkan pembelajaran yang lebih efektif serta meningkatkan minat dan semangat dalam diri kita.

Teknik ini sangat sesuai terutamanya untuk menyiapkan diri kita sebelum menghadapi peperiksaan. Teknik ini juga dapat memudahkan kita untuk memahami ilmu pengetahuan, meningkatkan fokus belajar, memperkuatkan daya ingatan, dan memperkukuhkan kualiti belajar kita. – UTUSAN

IRDINA MOHD. YUSOFF
Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×