SANAA: Kumpulan Houthi berpangkalan di Yaman mengesahkan pasukannya melancarkan beberapa peluru berpandu balistik menyasarkan bandar Eilat di Israel.
Malah, kumpulan disokong Iran itu juga mengancam untuk meneruskan operasi ketenteraan sehingga rejim Zionis itu menamatkan serangannya di Gaza.
Jurucakap Houthi, Yahya Sarea berkata, pasukannya menyerang beberapa `sasaran khusus’ di bandar itu untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin yang berdepan perang.
“Angkatan tentera Yaman tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan operasi ketenteraan selanjutnya menentang musuh Zionis di darat mahupun di laut sehingga pencerobohan berhenti dan sekatan ditarik balik di Semenanjung Gaza,” katanya dalam kenyataan disiarkan dalam televisyen al-Masirah.
Terdahulu, tentera Israel memaklumkan sistem pertahanan udara Arrow memintas peluru berpandu permukaan ke permukaan di Laut Merah kelmarin.
Houthi melancarkan siri serangan ke atas kapal dan sasaran lain di Laut Merah.
Kumpulan Houthi disokong Iran melancarkan serangan menyasarkan kapal komersial berkaitan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel sejak November tahun lalu, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika rejim Zionis meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.
Malah, tindakan itu mencetuskan kebimbangan bahawa perang Israel-Hamas boleh merebak dan menggugat kestabilan Asia Barat
Serangan Houthi ke atas kapal komersial di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global. – REUTERS/AGENSI











