Erti sebuah perkahwinan

Erti sebuah perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenapa harus dimalukan? Bukankah itu suatu yang baik? Ia mampu menghindarkan fitnah dan menghapuskan syak-wasangka orang. Malah yang paling utama, ia menyenangkan hati anak-anak. Anak-anak cuma mahu melepaskan tanggungjawab mereka.

Tidak baik tuduh sebegitu. Mereka semua bertanggungjawab. Segala keperluanmu, mereka yang sediakan. Cuma mereka tidak boleh selalu berada di sampingmu kerana punya tanggungjawab lain di luar. Mereka ada tanggungjawab pada keluarga mereka sendiri.

Mereka bekerja. Kerja itu untuk menanggung keluarga. Itulah kewajipan. Agama kita menyarankan begitu. Kepala keluarga wajib mencari nafkah untuk ahli keluarga. Lalu, bagaimana mungkin mereka boleh selalu berada di sisimu?

Benar. Tapi, tidakkah nanti menjadi bahan ketawa orang?

Tidakkah nanti menjadi cerita viral yang akan dijaja seluruh kampung? Anak-anak juga nanti tentu malu. Anak-anak juga menanggung aib.

Ah! Anak-anak sudah memahami masalah itu. Anak-anak sudah maklum dengan perangai orang kampung. Anak-anak sudah masak dengan mulut orang kampung yang tidak boleh ditutup.

Kalau anak-anak tidak memahami itu semua, tentu anak-anak tidak mencadangkan begitu. Tentu anak-anak tidak bersusah payah berunding, berbicara sesama mereka, berpakat mencari jalan penyelesaian demi kebaikan orang tua mereka, demi kebahagiaan orang tua mereka, demi maruah orang tua mereka.

Anak aku, anak sepupu dia. Anak dia, anak sepupu aku. Cucu aku, cucu sepupu dia. Cucu dia, cucu sepupu aku.

Dia sepupu aku. Zaman dulu-dulu, saudara sepupu macam saudara kandung, macam adik beradik. Rapat bermesra. Erat bergaul. Dia panggil aku abang. Memang dia tiga tahun muda daripada aku. Panggilan abang itu kekal sampai sekarang.

Masa kanak-kanak, tidur bersama di rumah datuk, makan bersama di rumah nenek. Masa budak-budak berebut-rebut makanan di hadapan nenek, berlari-lari di hadapan datuk. Datuk yang sama. Nenek yang satu. Tidak ada batas pemisah. Tidak ada sempadan berenggang.

Aku dan dia saudara sepupu, macam saudara kandung. Apabila meningkat dewasa, aku berkahwin datas pilihan ibu. Walaupun ada ura-ura ayah mahu menjodohkan aku dengan dia, sepupuku di sebelah ayah. Tetapi ibu memilih calon isteriku di pihak keluarganya. Aku, seorang anak yang taat, ikut sahaja kemahuan ibuku.

Dia juga akhirnya berkahwin dengan pemuda pilihan ayahnya. Suaminya ada bau-bau bacang di sebelah ayahnya. Dia juga anak yang taat, patuh sahaja dengan pilihan ayahnya.

Aku berkawan dengan suaminya. Dia berkawan dengan isteriku. Aku dapat anak. Dia pun dapat anak. Aku dapat cucu. Dia pun sama. Hubungan aku dengan dia juga seperti biasa. Tetapi sebagai saudara sepupu.

Kalau dia memasak lauk yang aku suka, dia menghulurkannya ke rumahku. Kalau isteriku masak lebih, aku hantarkan ke rumahnya. Hidup kami berjiran. Anak-anak aku berkawan dengan anak-anaknya. Mereka dua pupu.

Cucu-cucunya berkawan dengan cucu-cucuku. Tiba-tiba isteriku meninggal dunia ketika usiaku menjamah 73 tahun. Anak-anakku silih berganti datang menjengukku. Jemu menjenguk, bosan berkunjung, mereka mengajak aku tinggal bersama mereka, tetapi aku tidak boleh tinggalkan rumahku.

Juga tiba-tiba suaminya meninggal dunia ketika usianya menjengah 70 tahun. Dia juga seperti aku. Anak menantunya silih berganti datang menjaganya, anak-anaknya silih berganti berkunjung melihat kebajikannya. Tetapi, sampai bila? Jemu menjenguk, bosan berkunjung, dia juga diajak oleh anak menantu ke rumah mereka. Dia juga seperti aku, tidak sanggup meninggalkan rumah sendiri. Lalu, aku kesepian di rumah. Dia juga begitu. Maka, tabiat lama, kelakuan semasa kanak-kanak muncul kembali. Kami mula bergaul seperti dulu. Dia memasak lauk kegemaranku dan dibawanya ke rumahku. Kami pun makan bersama.

Ada ketikanya dia lambat datang ke rumahku, aku pula pergi ke rumahnya. Aku juga makan di sana. Tetapi makan di atas beranda. Aku tahu dan sedar batas-batas pergaulan orang dewasa yang bukan muhrim. Kain bajuku diambil lalu dibasuhnya. Kalau dia perlukan apa-apa, aku disuruhnya ke kedai. Aku menurut. Bil-bil rumahnya seperti air dan eletrik, aku yang tolong bayarkan. Kami menjadi saling bergantungan. Saling memerlukan. Atap rumahnya bocor, aku baiki. Papan tangganya reput, aku gantikan yang baru.

Aku dihidangkan nasi dan lauk-pauk. Kalau masuk waktu solat, Zohor atau Asar, aku solat di rumahnya. Masuk waktu Maghrib baru aku balik ke rumahku. Tidak jauh, cuma 200 langkah.

“Ayah tak rasa malu ke, asyik berulang ke rumah Mak Long? Orang kampung dah mula bercerita pasal ayah dengan Mak Long. Saya malu.” Aku dikejutkan oleh kata-kata anak sulungku, Ammar. Aku beristighfar sebanyak-banyaknya. Kemudian baharu aku tersedar, Dalam aku berhati-hati dan menjaga pergaulanku dengan dia, masih wujud ruang untuk fitnah. Kemudian aku tertanya-tanya sendirian, bagaimana pula dengan dia?

Adakah dia juga ditempelak oleh anak cucunya kerana mencuci pakaianku?

Adakah dia juga dimarahi oleh anaknya kerana melayan makan minum aku?

Tetapi yang pasti sudah tiga hari dia tidak membawa makanan ke rumahku sendiri. Dia menyuruh cucunya yang kebetulan bercuti sekolah untuk membawakan lauk-pauk dan nasi untukku.

Dia juga meminta pakaian aku melalui cucunya itu untuk dibasuh di rumahnya. Aku kasihankannya. Bersama cucunya, aku ikut ke rumahnya. Aku cuma duduk berjuntai kaki di atas anak tangga paling atas. Dia duduk bertimpuh di muka pintu.

Aku tatap wajahnya. Ada air mata melalui mata tuanya itu. Air itu lambat-lambat mengalir ke bawah, ke dagu kemudian jatuh ke lantai.

Mah dimarahi anak-anak. Terngiang-ngiang pengaduannya padaku dengan suara yang tertahan.

“Abang juga, Mah, mereka tempelak abang.” Aku ingat aku memberitahunya dengan suara yang dipaksa-paksa. Mereka tak faham, bang, katanya pula.

“Sabarlah Mah. Memang agama kita melarang kita bergaul hingga boleh menimbulkan fitnah,” kataku memujuk.

“Mah tahu, tetapi kita ini kan sudah tua, nak fitnah apaaaaaa?”
“Abang tahu,” kataku.

“Budak-budak malu, ada yang tak mahu balik jenguk Mah lagi,” katanya.

Sabarlah. Itu sahaja yang dapat aku katakan padanya.

Aku pulang. Dan aku ingat, malam itu selepas solat Isyak, aku muhasabah diri. Aku ingin bermunajat. Tetapi aku diganggu oleh ketukan pintu. Lambat-lambat aku membuka pintu. Menjongol wajah Ammar, anakku serta

Luqman anak sepupuku, dua pupu Ammar, anak sulung Hamimah.

“Kami sudah berunding. Kami sudah sepakat. Kami sudah setuju. Kami sudah sebulat suara.” Aku merenung wajah Luqman tetapi aku masih tidak membuka mulut.

Macam mana ayah? Aku ingat anakku Ammar bertanya. Aku pandang anakku pula. Macam mana apa? Dahiku berkerut.

“Saya sudah tanya mak, dia ikut aje keputusan Pak Long.”

Aku ingat aku pandang Luqman pula. Ini saja caranya ayah, untuk jaga maruah keluarga kita. Aku pandangi Ammar lama-lama.

Pak Long! Aku beralih lalu memandang Luqman pula. Matanya bulat memandang wajahku.

“Apa dia Luqman? Aku ingat, aku bertanya. Luqman berpandangan dengan Ammar.

“Kamu runding apa? Kamu berpakat apa? Kamu setuju apa?” Aku pandang wajah Ammar anakku. Mulutku bergerak-gerak.

“Kami sepakat, dah setuju supaya ayah nikah dengan Mak Long.” Aku tidak tahu macam mana mataku malam itu memandang wajah Ammar. Tetapi yang aku pasti, dia menundukkan kepala apabila pandanganku lama pada wajahnya. Aku mendengar semua itu seperti tidak percaya. Malah tidak ada niat dalam hatiku untuk mengahwini Hamimah yang aku anggap macam adik kandungku sendiri.

“Ini saja caranya Pak Long, untuk jaga nama baik keluarga kita. Mak ikut saja apa pun keputusan Pak Long.”

Aku kemudian tunduk. Lama. Wajah Hamimah muncul dalam mata batinku. Wajah sayunya ketika mengadu dia dimarahi anak-anaknya jelas dalam mata batinku. Hati kecilku mulai timbul rasa halus, kemudian bertukar sayu, pilu tidak menentu. Aku tidak sedar bila air mataku menitis.

Kenapa Pak Long? Luqman cepat bertanya mungkin kerana melihat air mataku.

“Ibu kamu macam adik aku, Luqman. Kamu tidak tahu bagaimana kami bergaul masa kecil dulu, Luqman, Ammar,” kataku.

“Saya faham, Pak Long. Abang Ammar pun faham, tapi kami bosan dengan umpat keji orang kampung,” kata Luqman. Aku mengangguk-nganggukkan hingga badanku bergegar. Kemudian aku lihat, Luqman dan Ammar berpandangan. Mereka kemudian pulang setelah aku meyakinkan bahawa malu mereka akan aku tebus. Mulut orang kampung akan aku sumbat.

Aku kemudian menemui Hamimah. Dia malu-malu. Tetapi dia seperti aku juga. Demi untuk menjaga hati anak-anak dan cucu-cucu, dia bersetuju. Lalu kami bersepakat menyerahkan kepada anak sulung kami, Ammar anak sulungku dan Luqman anak sulungnya untuk menguruskan perkahwinan kami.

Sekarang aku menunggu kedatangan mereka. Sebentuk cincin emas sudahku beli siang tadi. Sepersalinan pakaian, sejadah dan telekung juga sudah ku beli. Aku juga sudah menyediakan wang RM3,000 sebagai hantaran untuk Hamimah. Ini aku rahsiakan daripada Hamimah.

Luqman dan Ammar datang agak lewat malam. Aku sudah di tempat tidur, tetapi masih dengan tasbih di tangan apabila telingaku menangkap suara mereka memberi salam. Apabila nampak wajahku yang ceria, mereka senyum lembut. Ammar memandang Luqman. Luqman mencuit bahu Ammar. Mereka saling pandang memandang.

“ Jadi, macam mana ayah?” Tanya Ammar kemudian. Aku tidak segera menjawab. Aku halakan pandangku pada meja buruk di hujung katilku. Lalu mata mereka memandang barang-barang di atas meja itu. Ammar melangkah ke meja. “Apa ini ayah? “

“Bukankah kamu suruh aku kahwin? “

“Yaaaa! Tapi…”
“Tapi apa? Nak kahwin mesti ikut adat walaupun tak semuanya. Itu, hantaran aku untuk Mak Long kamu, uruskanlah. Luqman, Pak Long harap kamu tidak berkecil hati kerana Pak Long tidak mampu nak bagi lebih daripada itu…”

“Pak Long, kenapa susah-susah?” Dia terlalu gembira.

“Susah apa? Adat kita, budaya kita, tua-tua aku pun, kalau dah nak kahwin mesti ikut adat, mesti ada hantaran.“ kataku. Ammar dan Luqman memelukku.

Seminggu kemudian aku yang berusia 75 tahun diarak ke rumah sepupuku Hamimah yang berusia 72 tahun untuk upacara akad nikah dan resepsi perkahwinan. Air mataku menitis di sepanjang jalan melihat kegembiraan anak cucuku dan anak cucu Hamimah yang bersyukur menyambut aku. Batinku bertanya, apakah ertinya perlahwinanku ini?

Lama aku merenung hidupku. Wajah Hamimah muncul dengan senyum lanjutnya. Bukan untuk nafsu. Ia semata-mata menghalalkan aku bersama Hamimah.

Kemudian aku menangkap keriuhan bunyi suara orang kampung. Orang kampung yang sedang menjamu selera sambil tersenyum-senyum memandang padaku. Macam mana? Sudah puas mengumpat? Sudah puas mengutuk? Sudah puas mengata? Hatiku bersorak pula apabila melihat wajah orang kampung. Aku pun senyum memanjang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×