Mukadimah
MENGINJAK setahun diberi tanggungjawab menerajui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), DATUK RUSLIN JUSOH meletakkan fokus baharu 2024 untuk menggempur habis-habisan majikan yang bersikap lepas tangan terhadap pekerja asing mereka termasuk melindungi mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk terus berada di negara ini.
Membawa pendekatan WE DO IT R.I.T.E iaitu Rakyat Diutamakan, Imej Negara Diperkasa, Tatakelola Dijaga dan Ekonomi Dijana, kebimbangan rakyat dengan keberadaan warga asing akan diuruskan sebaik mungkin melalui penguatkuasaan tegas terutama golongan majikan.
“Sepatutnya majikan perlu datang ke JIM jika pekerja asing itu sudah tamat kontrak dan uruskan penghantaran pulang, tetapi majikan biarkan mereka dan dari situ pekerja pergi ke tempat lain dengan bekerja secara haram,” tegasnya kepada wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, MASZUREEN HADZMAN dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bersama jurugambar, FAIZ ALIF ZUBIR serta Juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI di pejabat beliau, baru-baru ini.
CABARAN JIM
Sepanjang saya mengetuai JIM hampir 10 bulan dari 22 Mac tahun lalu, ada beberapa cabaran dihadapi jabatan ini dengan meliputi isu tertentu antaranya pengurusan warga asing, kesesakan pintu masuk (sempadan), kesesakan ketika urusan pasport dan isu visa.
Akan tetapi ia tidak sebanyak dua isu utama iaitu pengurusan pekerja asing, hal visa dan kesesakan di pintu sempadan. Jadi, ini antara fokus saya sepanjang dalam perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
PENGURUSAN PEKERJA ASING
Saya sebenarnya nak sentuh bagaimana dan di mana kita berada dalam aspek pengurusan pekerja asing. Kalau kita lihat dari awal sehingga 31 Disember tahun lepas, kita telah merekodkan seramai lebih 2.38 juta pekerja asing berdaftar. Sekarang ini di mana mereka berada? Mereka ini berdaftar di lima sektor utama dalam perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian. Ini sektor utama untuk pekerja asing.
Untuk pengetahuan, kerajaan ada unjuran jumlah pekerja asing di Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi. Menjelang tahun 2025, kita memerlukan 2.4 juta pekerja asing dan ia bergantung kepada keadaan semasa.
Sehingga ke hari ini, jumlah pekerja asing yang paling ramai direkodkan adalah dari Bangladesh iaitu seramai 739,406 orang atau mewakili 36.28 peratus daripada keseluruhan pekerja asing yang berdaftar.
Kemudian Indonesia iaitu sebanyak 480,047 mewakili 23. 55 peratus; Nepal (358,895 atau mewakili 17. 61 peratus); Myanmar (156,990 mewakili 7.70 peratus ) dan India (116, 175 mewakili 5.7 peratus).
Semasa mesyuarat baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ada membuat penetapan hala tuju pengurusan pekerja asing.
Antara perkara utama dibincangkan adalah mengurangkan tempoh proses dokumentasi yang panjang selama ini disebabkan perkara tertentu.
Kalau dulu proses daripada awal (sebaik diberi kuota) sehinggalah diberi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), ia mengambil masa 29 bulan 13 hari. Memang lama.
Justeru kerajaan bersetuju untuk mengurangkan kepada 15 bulan 7 hari iaitu 46 peratus daripada tempoh asal.
MAJIKAN GAJI PATI
DALAM RADAR JIM
Selain itu, saya mahu fokuskan kepada perkara penting lain iaitu tindakan yang lebih tegas kepada majikan yang menggajikan PATI.
Kita sedang membuat pelarasan. Tidak dinafikan ada sesetengah proses mengambil masa panjang. Sebagai contoh, pengeluaran pas di peringkat JIM.
Namun, pada tahun lepas, kita telah lakukan transformasi digital di peringkat pengeluaran pas pekerja asing iaitu e-pass (bagi permohonan lanjutan pas lawatan yang diluluskan kepada warganegara asing) dan e-PLKS.
Untuk pembaharuan PLKS yang kebiasaannya ditampal pada pasport pekerja asing, majikan boleh lakukan menerusi dalam talian dan kelulusan juga diberi dalam talian berbanding sebelum ini di mana majikan perlu datang ke pejabat dan buat proses pembayaran. Sekarang pembayaran levi dan insuran juga dibuat dalam talian.
Selain itu, untuk e-pass yang sebelum ini dilekatkan pada pasport pekerja asing, kini ada dalam bentuk format dokumen mudah yang dimuat naik pengguna peranti digital dan dan dalam bentuk fizikal untuk dicetak dan dilampirkan bersama-sama pasport.
KUOTA PEKERJA ASING
Mengambil pekerja asing perlu mengikut sektor yang dibenarkan. Adalah menjadi satu kesalahan menggunakan pasport palsu untuk mendapatkan kerja dan juga kesalahan bagi majikan yang menggajikan mereka (PATI).
Walau apa pun, untuk menggajikan pekerja asing di negara ini, perlu ada kuota dan kelulusan daripada KSM. Apabila syarikat berdaftar ini diberi kuota, mereka akan uruskan kemasukan melalui negara sumber.
Pekerja yang nak masuk akan diberi kelulusan menerusi Visa Dengan Rujukan (eVDR). Maksudnya visa dikeluarkan kepada syarikat yang sudah mendapat kelulusan dan kuota.
Kuota bergantung pemberian kepada pihak tertentu. Contoh syarikat A dapat 100 kuota. Jadi, syarikat itu kena dapatkan pekerja dan apabila sudah dikenal pasti, barulah kita beri eVDR.
Maknanya pekerja akan datang ke Kedutaan Malaysia di negara sumber seperti Bangladesh atau mana-mana negara dan atase imigresen akan keluarkan visa berkenaan. Sebab itu, jawatankuasa bersama KSM dan KDN mahu melihat secara terperinci perkara ini.
Apabila sampai ke Malaysia pula, menjadi tanggungjawab majikan untuk menguruskan hal berkaitan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pelbagai proses lain sehinggalah mereka tadi datang kepada kita untuk mendapatkan pas.Selagi tidak lulus Fomema dan pemeriksaan kesihatan, kita tidak bagi pas PLKS.
Tempoh PLKS pula adalah setahun dan selepas itu perlu diperbaharui. Pekerja asing terbabit tidak perlu balik ke negara mereka dalam tempoh itu. Maka majikan perlu perbaharui lebih awal dan boleh dilakukan dalam talian.
Pekerja asing tidak pulang ke negara asal
Sebab apa mereka tidak balik ke negara asal? Sebabnya, sudah tamat kerja dengan majikan itu dan sepatutnya majikan perlu datang ke JIM, uruskan penghantaran pulang kerana itu menjadi tanggungjawab majikan.
Akan tetapi, apa yang berlaku apabila habis kontrak? Majikan biarkan mereka dan daripada situ pekerja pergi ke tempat lain dengan bekerja secara haram.
Memanglah kalau dilihat pada pasport mereka ia belum tamat tempoh lagi. Tapi pas pekerja sudah tamat. Sepatutnya datang ke JIM untuk dihantar pulang. Tapi perkara itu tidak berlaku.
Majikan biarkan saja mereka dan di sini berlaku kesalahan. Pekerja tadi semestinya salah sebab bekerja secara haram.
Kalau bekerja dalam sektor perladangan, kutip kelapa sawit selepas itu bekerja di restoran, itu salah dan kita boleh ambil tindakan. Ramai majikan tidak faham dan kadang ingat ada pas boleh bekerja di mana-mana.
Tindakan terhadap majikan yang tidak uruskan pekerja pas tamat tempoh
Sebagaimana saya katakan tadi, fokus saya tahun ini adalah penguatkuasaan bukan sahaja PATI dan pekerja asing, tetapi pada majikan.
Pertama untuk mereka yang menggajikan PATI. Selepas itu tindakan kepada majikan yang tidak buat check out memo untuk pekerja yang sudah tamat tempoh pas mereka. Pegawai kita akan buat pemeriksaan sebab sistem sudah ada.
Contoh, saya tangkap orang ini berniaga di ibu kota sedang jual karpet sedangkan dia kerja dalam sektor lain. Jadi kita akan ambil tindakan kepada dia dan majikan, sebab apa dia benarkan pekerja tersebut bekerja.
Dalam situasi lain pula, katakanlah orang itu tidak diperlukan lagi sebab projek atau kerja sudah habis lebih awal atau mungkin pekerja tersebut sudah tidak berkualiti.
Jadi, majikan perlu datang juga ke JIM, cakap pekerja tersebut tidak lagi diperlukan. Maka check out memo perlu dibuat. Majikan juga perlu buat laporan kepada JIM kalau ada pekerja lari. Majikan akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya laporan dibuat. Namun begitu kita akan buat siasatan.
Adalah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali kalau mengambil pekerja selain daripada warganegara yang tidak memiliki pas.
Pada masa sama, mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
Begitu juga untuk mereka yang melindungi PATI. Mana-mana orang yang benarkan PATI memasuki atau tinggal di premis yang ada kepentingan kepada seseorang, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Dalam tempoh 24 hari dalam tahun ini, kita sudah buat 1,055 operasi di seluruh negara dan 11,448 diperiksa manakala warga asing ditangkap atas beberapa kesalahan pula seramai 4,986 warga asing selain 51 majikan.
Kita tidak akan lepaskan majikan dan semakan akan dibuat serta menyiasat daripada semua sudut.
Kebimbangan awam terhadap hotspot warga asing
Kita ada dengar tentang hotspot warga asing dan di mana? Ada yang sebut Little Dhaka, ada yang cakap hotspot di Setia Alam, Lunas, Sungai Buloh dan pelbagai tempat lagi. Kalau ditanya apa kesalahan mereka?
Kita sebenarnya sudah buat semakan di semua tempat yang jadi tumpuan secara berterusan. Dalam operasi terbabit, kita semak dokumen dan pas mereka. Ada yang sah dan ada yang tidak.
Kalau sah kita tidak ambil tindakan dan mereka ada di situ pun sebab cuti serta berkumpul bersama rakan-rakan. Apabila lihat dalam keadaan ramai dan dalam berkelompok, masyarakat bimbang.
Perlu diingat hotspot pendatang asing ini tidak ramai dalam kalangan mereka tiada dokumen. Namun begitu saya faham dan kami terima banyak aduan, maka disebabkan itu saya minta pegawai saya buat risikan dulu sebelum dilaksanakan operasi.
Kita akan semak sama ada mereka mendiami Malaysia secara sah atau tidak. Itu kalau di tempat awam. Kalau dia bekerja pula terdapat dua keadaan, pertama kalau dia sedang berjalan, kita tidak boleh tahan dia. Tapi kalau ada di kedai sedang masak atau melayan pelanggan, kita perlu tengok sama ada mempunyai pas dan bekerja mengikut apa yang tertera dalam pas itu atau tidak.
WARGA ASING BERNIAGA
Secara dasarnya mana boleh dia meniaga kecuali bekerja dengan majikan. Warga asing tidak boleh berniaga walaupun tepi jalan. Mereka boleh bekerja di restoran yang penting ada pas.
Contoh di kedai mamak, pekerja asing biasanya mempunyai pas yang sah. Jadi, tiada masalah. Dalam isu warga asing meniaga ini, kita akan periksa berkaitan dokumen berkaitan perjalanan dan pekerjaan. Untuk permit perniagaan pula, yang meluluskan adalah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pekerja asing ini mana ada kita beri permit untuk meniaga di pasar malam? Apabila nampak ada pekerja asing meniaga tepi jalan jual nasi lemak, itu juga tidak dibenarkan.
Ada laporan yang kita terima mereka sebenarnya tukang cuci tapi hari minggu nak cari duit lebih, jual nasi lemak. Ramai yang tanya, apa JIM buat apabila warga asing berniaga? Persoalannya, adakah kita mempunyai kuasa untuk meroboh kedai milik warga asing?
Menjelang bulan puasa, akan ada ramai peniaga dan kita akan pastikan setiap undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 dipatuhi. Siapa langar, tindakan akan diambil. Kesalahan sudah jelas dan orang awam sekarang ini semakin resah sebab banyak warga asing.
Justeru, JIM dalam masa sama turut memohon kerjasama PBT untuk mengekang isu ini kerana kerjasama satu pihak sahaja tidak cukup. Kita sudah tangkap 28,838 warga asing yang meniaga di pasar malam dan di kawasan apartment dalam tempoh lima tahun ini.
PENEMPATAN HARAM
Ia melibatkan banyak pihak. Sebagai contoh di tanah simpanan atau di kawasan pencawang elektrik.
Saya tanya awak itu bidang kuasa siapa? Sebab itu, saya cakap kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk PBT penting apabila kita menyentuh isu warga asing kerana menjadi kunci utama kejayaan.
Kalau JIM bertindak 100 peratus menerusi operasi mengekang PATI dan dalam masa yang sama mereka ada tempat untuk ‘beroperasi’, ia memang susah. Namun begitu biasanya kalau ada kes pencerobohan tanah sewaktu beroperasi, kita akan laporkan.
DEPOH TAHANAN SESAK?
Depoh Tahan Imigresen (DTI) kita tidak sesak. Setakat ini, DTI kita dihuni 12,832 orang. Kapasiti DTI kita pula ada 20,650. Jumlah yang ditempatkan besar dan dihantar pulang juga besar. Tahun lepas kita hantar pulang 38,978 orang.
Proses hantar pulang ini bukan mudah. Kita perlu dapatkan pengesahan daripada kedutaan dan jumpa tahanan untuk buat dokumentasi untuk sahkan itu warganegara mereka.
Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kalau tidak mana mungkin kita boleh hantar pulang sampai lebih 38,000? Maknanya kerjasama erat dengan kedutaan negara seperti Indonesia, Bangladesh dan Filipina.
Prosesnya sama ada cepat atau lambat kerana mereka akan buat pengesahan dulu dan berjumpa dengan orang yang kita tahan. Tempoh masa seseorang itu ditahan biasanya mengambil masa sehingga tiga bulan dengan kos ditanggung mereka sendiri.
KEPERLUAN ANGGOTA JIM
Tahun lepas pengisian penuh anggota kita sudah laksanakan antaranya melibatkan keanggotaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Tambak dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tuas Johor.
Untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 juga begitu. Pengisian penuh sudah dibuat untuk menangani kesesakan.
ISU INTEGRITI
Salah satu fokus saya adalah mahu pulihkan imej dan persepsi negatif terhadap jabatan ini disebabkan adanya segelintir yang membuat onar. Tapi jumlahnya sedikit.
Jadi, bagaimana nak uruskan mereka ini? Antaranya kita perkasakan unit integriti kita selain ada ditempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jadi, kita bekerjasama erat dengan unit berkaitan dengan diketuai SPRM.
Antara tugasnya adalah tadbir urus, pengukuhan dan selepas itu naziran. Kita akan lihat urusan di kaunter. Kalau ada aduan kita akan buat siasatan. Saya akan minta pengarah bahagian yang terlibat untuk siasat. Selain itu, kita ada program penerapan nilai murni selain Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS).
Saya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai imigresen. Kalau didapati bersalah, kita ambil tindakan. Bukan sahaja peringkat JIM, tetapi undang-undang. – MINGGUAN











