Lembaga Pengampunan sudah ada keputusan - Anwar

Lembaga Pengampunan sudah ada keputusan – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan Diraja sudah pun membuat keputusan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Lembaga Pengampunan kelak.

“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan… tunggu. Sudah ada kepastian tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan,” katanya kepada pemberita selepas menjamu selera di gerai makan di kompleks beli belah Pertama Kompleks, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak memaklumkan bila Lembaga Pengampunan itu akan mengumumkan keputusan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan isu keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri ada dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi hanya ‘sepintas lalu’ saja.

Namun, Saifuddin Nasution menjelaskan, Kabinet tiada bidang kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada Isnin lalu dilaporkan sudah membuat keputusan mengenai permohonan Najib tetapi hingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×