PETALING JAYA: Untuk memastikan semua pasukan dalam saingan Liga Super 2024-2025 menampilkan aksi kompetitif dan berintensiti tinggi, sumber kewangan yang kukuh diperlukan.
Semua sedia maklum, kedudukan kewangan yang kukuh dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) membolehkan pasukan itu mendominasi Liga Malaysia (Liga M) berbanding pasukan lain.
Ketika ramai peminat bola tempatan menyifatkan hanya JDT dan Selangor mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi, namun tidak bagi penganalisis sukan, Sadek Mustafa
Jelasnya, beberapa pasukan lain antaranya Terengganu, Sabah, Sri Pahang dan Kedah turut menampilkan aksi berintensiti tinggi namun disebabkan masalah dalaman menyebabkan prestasi mereka tidak konsisten.
“Sebenarnya pasukan lain juga menunjukkan corak permainan berintensiti tinggi cuma tidak konsisten disebabkan gangguan asas iaitu punca masalah kewangan itu menyebabkan prestasi mereka menurun.
“Jadi apabila faktor itu berlaku, ia secara tidak langsung mengganggu fokus dan tahap prestasi pemain-pemain dalam pasukan yang mengalami masalah berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Sadek menyeru syarikat-syarikat korporat dan pihak-pihak lain yang berkemampuan untuk memberi sokongan penuh kepada kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) dari segi penajaan.
Seperti mana dinikmati JDT, dan seandainya perkara sama diperolehi kelab-kelab lain maka tidak mustahil saingan liga akan lebih kompetitif dan tidak hanya didominasi oleh sebuah kelab sahaja.
“Aspek penajaan sangat penting dan jika ada empat atau lima pasukan yang stabil dalam semua aspek seperti pengurusan, kewangan, kualiti pemain yang seimbang maka akan menjadi liga lebih kompetitif dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.
“Contoh kita dapat lihat JDT, mereka segalanya sama ada dari segi kewangan, pengurusan dan segalanya. Hasilnya mereka mendominasi Liga Malaysia selama sedekad.
“Jika ada pasukan yang menerima sokongan seperti mana diperolehi JDT maka tidak timbul isu ‘membunuh bola sepak tanah air’,” jelasnya.
Untuk rekod, JDT telah muncul juara Liga Super selama 10 tahun berturut-turut dan dijangka skuad Harimau Selatan itu akan terus mendominasi liga utama tempatan untuk tempoh yang lebih lama jika tiada perubahan besar dalam kelab-kelab lain.-UTUSAN










