PACU tambah baik, pantau Malaysia Madani

PACU tambah baik, pantau Malaysia Madani

PACU memperkukuhkan kefahaman konsep Malaysia Madani serta memastikan semua perancangan dan pelaksanaan dilaksanakan dengan teratur, berkesan dan mengikut tempoh ditetapkan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK banyak publisiti diberikan kepada Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sedangkan ia merupakan agensi pelaksana untuk menginstitusikan strategi, perancangan, penambahbaikan dan pemantauan terperinci oleh kerajaan akan agenda Malaysia Madani.

Misi PACU ialah memacu keberhasilan penyampaian perkhidmatan kementerian dan agensi melalui tindakan penyelarasan dan komunikasi berkesan berdasarkan penambahbaikan berterusan demi kesejahteraan rakyat.

Antara peranan utamanya ialah memperkukuhkan kefahaman masyarakat tentang konsep serta memastikan semua perancangan dan pelaksanaan Agenda Malaysia Madani dilaksanakan dengan teratur, berkesan dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

PACU dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga bertindak sebagai urus setia kepada dua badan penting kerajaan iaitu Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).

MTMM ditubuhkan pada 27 Februari tahun lalu bagi melicinkan pelaksanaan agenda Malaysia Madani. Ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianggotai oleh Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, beberapa orang menteri yang berkaitan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

STAR yang dipengerusikan oleh KSN pula berfungsi untuk melaksanakan reformasi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, membasmi amalan rasuah yang sistemik, mengurangkan kerenah birokrasi dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

STAR mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu berkait pelaksanaan projek-projek awam, termasuklah projek yang melibatkan isu kesesakan di hospital serta pembaikan sekolah dan klinik daif serta membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan PACU ialah memberi pendedahan kepada pegawai-pegawai di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tentang konsep Malaysia Madani, Ekonomi Madani, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bitara Madani.

Ia juga menganjurkan Sesi Libat Urus Pelaksanaan Kerangka Strategik Malaysia Madani (KSMM) sebagai kerangka yang menggabung, memeta dan menyusun strategi-strategi dan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang di bawah dasar-dasar utama negara yang melibatkan semua kementerian untuk melihat sejauh mana ia menyumbang kepada pencapaian sasaran Ekonomi Madani.

PROGRAM
Program terbesar yang dilaksanakan PACU, dan MPC, adalah Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember 2023 bertempat di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Program ini telah menjadi satu wadah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Melalui program ini, dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat telah berjaya dipromosikan dengan berkesan melalui tiga komponen, iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat
Antara tarikan dalam program ini ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

Program ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk karnival kerjaya yang mendapat kerjasama 63 agensi kerajaan dan swasta, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Honda Malaysia Sdn. Bhd.

Pengunjung juga boleh melawat 36 reruai yang menyediakan lebih 102 kaunter perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, termasuk kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kaunter perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut diwujudkan ialah kaunter perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan kaunter wang tidak dituntut Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Antara perkhidmatan lain yang disediakan ialah kaunter pendaftaran Program cuti-cuti cikgu, saringan kanser payudara dan kanser serviks secara percuma, kempen anti gangguan seksual serta diskaun hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Mega Madani.

Dengan kepelbagaian aktiviti dalam program ini, tidak hairanlah bila ia mendapat sambutan hangat rakyat di mana dalam tempoh singkat sahaja ia telah menarik seramai lebih 230,000 orang pengunjung dengan majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Anwar.

Bagi memastikan kemudahan serta kelancaran perjalanan, orang ramai diberi ruang menggunakan pengangkutan awam dengan perkhidmatan bas percuma disediakan selain pemberian diskaun 25 peratus bagi tambang perjalanan ke Stesen LRT Bukit Jalil.

Dalam ucapan Anwar menyatakan pendekatan telus kerajaan menganjurkan program Setahun Bersama Kerajaan Madani itu membolehkan rakyat melihat prestasi semua kementerian melalui pameran dan memberi peluang kepada mereka meninggalkan cadangan serta pandangan.

Kerajaan juga bersetuju untuk memperluaskan program ini ke negeri-negeri bagi membolehkan rakyat di seluruh ceruk rantau diberikan ruang untuk menyertainya serta menyatakan cadangan serta pandangan mereka.

Satu lagi inisiatif besar PACU di bawah Pengarah Eksekutifnya, Ahmad Jefry Aziz @ Adan ialah menerbitkan buku Setahun Bersama Kerajaan Madani yang mendokumenkan pencapaian utama kementerian dan jabatan dalam menyedia dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam buku ini, pelbagai dasar, program dan inisiatif baharu kerajaan, khasnya Agenda Malaysia Madani, Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 Kajian Separuh Penggal RMK12 dan Belanjawan Madani 2024, dihuraikan.

Program dan penerbitan rekod begini adalah penting bagi memastikan segala pencapaian utama kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat selain membolehkan input-input penting rakyat dapat dikutip dalam usaha pemantauan dan penambahbaikan dasar, strategi dan inisiatif.-UTUSAN

PENULIS adalah graduan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×