Dua lelaki dipenjara tiga hari, denda RM10,000 cuba rasuah anggota JPJ - Utusan Malaysia

Dua lelaki dipenjara tiga hari, denda RM10,000 cuba rasuah anggota JPJ

DUA lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan merasuah anggota penguat kuasa JPJ pada 30 Januari lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, selepas mengaku bersalah merasuah anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kelmarin.

Tertuduh, P. Pubalan, 41, yang bekerja sebagai ejen ais batu dan Yam Seng Chaow, 26, yang bekerja sebagai penyelia kilang ais membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mahkamah turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan serta wang rasuah dilucut hak dan dimasukkan sebagai hasil kerajaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan satu suapan, iaitu wang tunai RM500 kepada pegawai JPJ.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tanpa lesen memandu (CDL), tiada lesen kenderaan barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, di sini, pada 30 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, M. Siveram.

Siveram dalam rayuannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan penjara minimum berikutan pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah selain kedua-duanya mempunyai tanggungan.

“Tertuduh pertama (Pubalan) merupakan menanggung keluarga serta menjaga datuk yang uzur manakala tertuduh kedua pula baru berkahwin serta isteri hamil empat bulan, ini merupakan kesalahan pertama mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Azriff Firdaus memohon mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×