PADU menoktahkan kemiskinan negara

PADU menoktahkan kemiskinan negara

Penggunaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) boleh digunakan sebagai mekanisme dalam melaksanakan penyasaran subsidi. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA hari ini, usaha membasmi kemiskinan masih diteruskan kerajaan dalam memastikan semua pihak mencapai kesejahteraan hidup. Menurut sistem pengkalan data Sistem eKasih, 324,764 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin direkodkan sehingga 31 Oktober 2023. Data tersebut akan diguna pakai oleh kerajaan dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan.

Usaha membasmi kemiskinan ini juga turut dikaitkan dengan isu ketirisan dan kebocoran yang menyebabkan golongan-golongan sasar tidak mendapat manfaat yang sepatutnya kerana subsidi tidak sampai kepada mereka.

Selain itu, kerajaan turut memperkasakan pengukuran kemiskinan negara dengan pengenalan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi sejak 2015 telah menambah baik pengukuran Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan sejak awal 1970an.

Pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) membolehkan maklumat profil individu dapat dikumpul melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan dikemas kini secara berkala. PADU direka untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar dan memastikan tiada penduduk yang tercicir daripada menerima bantuan atau inisiatif lain yang layak.

Selain itu, PADU juga merupakan sebuah sistem pangkalan digital yang selamat dan komprehensif, membantu dalam digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat. Ia juga adalah pangkalan data sosioekonomi yang menggabungkan maklumat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bertujuan mengelakkan keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.

Agak berbeza dengan sistem-sistem pengkalan data sebelum ini, PADU memudahkan proses pengesahan data dan maklumat individu untuk pelbagai tujuan seperti bantuan kerajaan dan program sosioekonomi.

Bermula 2 Januari lalu, semua rakyat berumur 18 tahun ke atas digalakkan untuk mendaftar dalam sistem PADU secara dalam talian ataupun manual menerusi kaunter-kaunter yang disediakan.

Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat ini adalah sangat signifikan kepada kerajaan dalam usaha untuk merancang dan melaksanakan segala program berkaitan kemiskinan. – UTUSAN

DR. MOHD KHAIRI ISMAIL dan DR. CHAMHURI SIWAR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×