Sukatan pembelajaran inklusif mengangkat kewangan Islam

Sukatan pembelajaran inklusif mengangkat kewangan Islam

BUKU Pasaran Modal Islam Bimbingan Maqasid Al-Shariah Malaysia yang dilancarkan pada November tahun lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA ditinjau pendidikan dan amalan kewangan Islam sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangasa didapati pencapaian matlamat kewangan alternatif terhadap kewangan konvensional yang memenuhi keperluan orang Islam bagi menghindarkan riba dalam kehidupan seharian agak terserlah.

Bagaimanapun persoalan yang perlu diteliti adalah sama ada ia memenuhi ketepatan dan kepastian tujuan asal kewangan Islam itu dilaksanakan. Juga, apakah kayu pengukur yang tepat untuk menyatakan bahawa kewangan alternatif ini boleh dibanggakan?

Justeru, pendekatan ekonomi Islam menyediakan landasan bagi pemikir melahirkan ekonomi Islam yang berbentuk insani menepati kehendak ajaran Islam bagi mendapatkan keredaan Allah.

Pada dasarnya, ekonomi Islam mensyaratkan agar pelakunya bersifat tawadhu dan ikhlas serta jujur dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan demi mencapai maslahah ammah (kepentingan awam). Bagaimanapun kepincangan sistem ekonomi terjadi sekiranya terdapat pemikiran dan perilaku sekular yang terpisah dari Islam, iman dan ihsan. Secara tidak langsung, hal-hal seperti ini akan mengelirukan identiti dan takdir seorang insan yang ingin berdikari tanpa petunjuk Ilahi.

Kerangka Sejahtera

Kerangka dan proses pendidikan kewangan Islam seharusnya bermula dengan kesedaran berlandaskan kepentingan tauhid. Pelaksanaan kewangan Islam pula hendaklah dijalurkan dengan pematuhan syariah muamalah yang berasaskan pada akidah.

Sebaliknya, sekiranya pelaksanaan kewangan Islam sejalur sistem konvensional yang begitu pesat tanpa penelitian yang wajar boleh menimbulkan persoalan atau kesangsian adakah kewangan patuh syariah ini menjurus pada menghayati Islam seperti difahamkan oleh ekonomi Islam.

Untuk melengkapkan kerangka dan proses pendidikan kewangan, adab dan akhlak berbentuk peraturan dan kanun, kawal selia dan tadbir urus dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan badan profesional serta pengamal industri.
Seterusnya perundangan dan kanun berbentuk akta yang disertakan dengan pengawasan serta penyeliaan berdasarkan garis panduan kewangan Islam telah menyerlahkan polisi serta prosedur institusi kewangan untuk melaksanakan syariah muamalat dalam pelaksanaan kewangan Islam ini. Struktur dan proses ini mencerminkan adab dan etika kewangan Islam yang perlu difahami oleh pendidik dan pengamal kewangan Islam.

Justeru, ekosistem pendidikan dan amalan kewangan Islam perlu bersepadu dan berterusan bagi mendukung matlamat pendidikan iaitu modal insan yang melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat selain negara.

Tujuan utama kerangka ekosistem pendidikan kewangan Islam adalah ke arah pembentukan modal insan yang berketerampilan dengan ilmu, kemahiran, sikap dan kecenderungan memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat.
Ilmu dan kemahiran akan terbentuk berdasarkan kaedah, hukum syarak serta peraturan sebagai peradaban kewangan Islam yang berakhlak.

Sehubungan itu, komponen yang perlu untuk melanjutkan ekosistem ini ialah sukatan pembelajaran yang inklusif iaitu suatu dinamika yang sentiasa prihatin dengan perkembangan transformasi ekonomi Islam; hukum shari’i dan undang-undang kewangan Islam.

Perkembangan sistem kewangan global, institusi kewangan, produk dan instrumen kewangan Islam serta piawaian dan amalan terbaik; teknologi kepintaran dan maklumat; keperluan maksud serta etika siasah dan insaniah berasaskan Maqasid Al-Syariah.

Bagi melahirkan dinamika ini, perlunya tenaga pendidik dan pelajar yang mengutamakan pembelajaran sebagai ibadah bagi membina masyarakat dan negara yang sejahtera dan makmur selain memerlukan sistem pemantauan bergariskan piawai-piawai yang digubal oleh agensi-agensi berkenaan.

Institusi pendidikan pula haruslah berperanan memakmurkan ilmu dan bersikap terbuka untuk berinteraksi serta bekerjasama dengan pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri kewangan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta prihatin dengan masyarakat kewangan yang inklusif.

Di samping itu, pendekatan bagi kajian dan penggajian dalam pelbagai disiplin memberi solusi dan menghasilkan kefahaman yang lebih bersesuaian dengan kehendak semasa. Dalam hal ini peranan latihan industri juga tidak boleh dikecualikan dalam pembentukan ekosistem tersebut.

Pendidikan kewangan Islam berbentuk pembelajaran formal dan terbuka perlu dilaksanakan bagi memenuhi penawaran dan permintaan. Pengetahuan dan kemahiran insani perlu peningkatan kemahiran (up-skill) dan pembaharuan kemahiran (re-skill) perkhidmatan kewangan Islam.

Antara faktor utama kerangka pendidikan kewangan Islam adalah pengamal yang mahir dan pendidik yang berhemah untuk meneraju inovasi dan kepimpinan kewangan Islam dalam menghadapi cabaran kewangan global. Proses ini memerlukan komitmen, tunjuk ajar dan bimbingan sepadu oleh ahli akademik dan pakar professional. Proses sepadu ini bermula di institusi pengajian tinggi dan ia berterusan semasa program struktur amali dilaksanakan.

Pada realitinya, statistik kurang keterampilan tenaga kerja baharu akibat kurangnya bimbingan dan tidak mendapat tunjuk ajar yang sepatutnya agak kritis. Ini menimbulkan kesangsian terhadap graduan yang berketerampilan teknikal, sosial, beretika dan siap siaga untuk menceburkan diri dalam perkhidmatan kewangan Islam.

Cabaran yang dihadapi oleh institusi kewangan Islam dan pendidikan kewangan Islam pula adalah penyaksian masyarakat kewangan Islam terhadap ilmu, teknologi, adab dan amalan dalam konteks Maqasid Al-Syariah untuk kesejahteraan ummah.

Sejauh manakah pemikiran, inisiatif, usaha dan pelaksanaan yang terpimpin menepati tuntutan syariah dengan produk serta khidmat kewangan Islam yang memberi kesejahteraan pengguna sama ada secara tradisional atau digital.
Institusi pendidikan dan pengamal serta ahli profesional kewangan Islam perlu prihatin untuk mempamerkan amalan kewangan tersohor yang adil dan saksama untuk membantu dan menyediakan perkhidmatan yang cemerlang bagi umat Islam.

Kelestarian ini adalah kritis bagi menjamin ketepatan dan kepastian tujuan asal kewangan Islam yang dilaksanakan bagi mendapatkan keredaan Allah. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Syed Musa Alhabshi ialah Pensyarah dan Tokoh Ulung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×