Fikirlah masa depan negara - Utusan Malaysia

Fikirlah masa depan negara

rasuah akan merosakkan bangsa dan negara jika ia tidak dibanteras habis-habisan di semua peringkat tidak kira kecil atau besar. – mingguan/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH hampir sebulan kita berada dalam tahun 2024, tetapi jika dilihat kepada isu-isu yang dibangkitkan, kita seolah-olah masih lagi berada pada tahun 2018. Politiknya tidak bergerak, masih lagi bercakap tentang tebuk atap dan akuan bersumpah (SD) untuk tumbangkan kerajaan, sementera ekonomi pula tersangkut kerana politik yang tidak stabil.
Isu rasuah yang berpanjangan selain tentangan terhadap reformasi ekonomi yang cuba dilakukan kerajaan menyebabkan kita tepu tanpa ada tanda-tanda Malaysia akan kembali menjadi Harimau Asia.
Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 60 tahun juga membawa kepada suasana politik negara yang paling tidak stabil.
Dalam tempoh enam tahun ini kita sudah memiliki empat orang perdana menteri. Yang paling singkat hanya mentadbir negara dalam tempoh 14 bulan. Dalam tempoh ini juga kita menyaksikan dua kali kerajaan ditukar sebelum tempoh pilihan raya tamat selain pembentukan pakatan politik dalam kalangan pihak-pihak yang bermusuh dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Walaupun sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mantap daripada lebih dua pertiga Ahli Parlimen, namun sekali-sekala ia nampak goyah terutama apabila diugut dengan akuan bersumpah, peralihan sokongan dan sebagainya.
Pemimpin pelapis
Turut membimbangkan kita ketika ini ialah negara seolah-olah ketandusan pemimpin pelapis. Selepas kejatuhan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, politik negara kita seolah-olah tepu. Segala-galanya tentang politik seperti terhenti. Apabila bercakap tentang pemimpin ia berlegar-legar sekitar isu dan individu yang sama.
Sebab itu timbul persoalan, selepas Anwar siapa yang layak menjadi Perdana Menteri? Adakah negara akan menyaksikan pelantikan muka lama yang sudah berada dalam politik negara sejak tahun 1960-an? Adakah individu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan kekal mewarnai pentadbiran politik negara andainya Anwar tidak lagi menjadi perdana menteri?
Perkara itu tidak mustahil berlaku jika berdasarkan kepada senario sekarang. Kecuali DAP, rasanya parti-parti lain masih lagi berpegang kepada tokoh-tokoh yang sudah berusia untuk memimpin mereka.
Dalam Pas misalnya, walaupun mereka mengetengahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri, tetapi tampuk pemerintahan parti masih lagi dikawal oleh orang lama. Belum ada tanda-tanda mereka ini akan melepaskan jawatan kepada orang muda yang lebih memahami aspirasi masa depan negara.
Begitu juga dengan UMNO. Siapa pemimpin pelapis yang mampu mengembalikan kegemilangan UMNO? Jika ditanya kepada ahli-ahli akar umbi ramai yang berkata hanya Najib yang boleh memulihkan UMNO. Maknanya, mereka kena toleh ke belakang dan bukannya melihat ke hadapan.
Selagi kita terpaksa menoleh ke belakang untuk melihat calon pemimpin, maka kita tidak akan mampu mengubah masa depan negara.
Kalau kita fikirkan masa depan negara, parti-parti politik yang bercita-cita untuk memerintah negara perlu menyediakan barisan pemimpin muda yang berkaliber. Untuk bergerak ke depan kita tidak boleh terus berpaut kepada pemimpin dari angkatan 1960an, 1970an mahupun 1980an.
Rasuah
Rasuah adalah elemen yang boleh menghalang kemajuan negara. Rasuah menyebabkan ketirisan. Jika tidak dibendung ia akan menakutkan pelabur untuk membawa modal mereka ke negara kita. Membanteras rasuah cukup penting dalam memastikan negara kita memiliki masa depan dan dihormati di pentas antarabangsa. Tetapi ia tidak mudah. Rasuah adalah daki yang cukup sukar untuk dibilas. Cuci di tangan, ia naik di kaki. Bersihkan kaki, badan pula berdaki. Pendek kata ia menuntut komitmen berterusan selain ketelusan dan keikhlasan daripada agensi yang diberikan amanah untuk membendung budaya yang sudah membarah dalam masyarakat kita ini.
Rasanya lebih mudah untuk membanteras rasuah kecil-kecilan membabitkan budak pejabat, kerani, anggota bawah penguatkuasa dan pegawai-pegawai bawahan lain. Tetapi apabila ia melibatkan nama-nama besar maka mulalah pelbagai propaganda dibuat seperti dendam politik, menganiaya musuh, menzalimi lawan dan sebagainya.
Yang kita tidak faham ialah kalau tidak bersalah, kalau sumber kekayaan mereka dari sumber bersih kenapa takut untuk isytihar dari mana mereka miliki pendapatan tersebut?
Pada rakyat bawahan politik dan rasuah ibarat berjalan seiring. Sudah tentu rakyat musykil apabila baru jadi ketua bahagian sudah kaya raya. Baru sepenggal dipilih sebagai wakil rakyat hidup anak-beranak sudah mewah.
Ungkapan yang paling kerap kita dengar tentang rasuah ialah tangkapan hanya membabitkan bilis dan anak seluang. Hanya yang kecil-kacil. Yang besar-besar lepas bebas. Sedangkan kalau mahu membanterasnya ia mesti bermula di kepala, kerana itu adalah puncanya.
Kalau hasil kekayaan itu diperoleh melalui cara yang sah, tidak menggunakan kedudukan, tidak menggunakan orang dalam, tidak menggunakan kroni atau tidak menggunakan ibu bapa atau adik beradik yang ada kuasa kenapa perlu takut? Berani kerana benar. Yang takut dan banyak songel ketika disiasat mungkin ada benda yang mahu disembunyi.
Golongan ini hanya fikirkan tembolok mereka sahaja tanpa memikirkan kesan kepada negara.
Pencen dan ekonomi
Ini isu yang panas dibincangkan sekarang. Pada September 2019, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan ketika itu mengakui skim pencen merupakan satu bebanan kepada kewangan kerajaan.
“Sekarang ini kita (juga) bagi pencen kepada isteri dan anak (pesara kerajaan yang telah meninggal dunia). Ini semua menjadi beban kepada negara. Jadi kita (kerajaan) mungkin tak mampulah. Itu yang menjadi masalah,” kata Dr. Mahathir ketika bercakap di Kyoto, Jepun pada 7 September 2019 seperti yang dilaporkan Bernama.
Jadi, cadangan untuk mengkaji semula pencen dalam kalangan kakitangan kerajaan yang baru dilantik bukan perkara baharu.
Pada 2019, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ketika itu, Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan lantikan kontrak.
Menurut Borhan, langkah itu diputuskan mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang mencecah RM28 bilion.
Rupanya-rupanya idea berkaitan pencen ini sudah lama dibangkit. Matlamatnya untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan demi masa depan negara.
Dan ia masih di peringkat perbincangan, belum muktamad pun. Apa salahnya, demi masa depan negara bincanglah dulu. Pasti ada mekanisme terbaik yang menguntungkan semua.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×