PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan boleh menimbulkan persepsi ia dilakukan bagi menyasarkan individu tertentu di negara ini.
Namun pada masa sama, RCI tersebut dijangka mengakhiri polemik berhubung keputusan kontroversi Malaysia yang menarik balik rayuan berkaitan pemilikan kawasan berkenaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar Negeri, Tan Sri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, keputusan menubuhkan RCI adalah bidang kuasa kerajaan apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu membabitkan negara.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan penubuhannya memberi persepsi kurang baik kepada kerajaan dan individu tertentu berdasarkan perkembangan semasa politik tanah air.
“RCI itu secara asasnya ditubuhkan untuk mencari kebenaran dalam isu tersebut namun saya tidak hairan jika ia menimbulkan persepsi bahawa ia tertumpu kepada seseorang,” katanya tanpa menamakan mana-mana pihak.
Semalam, media melaporkan kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Untuk rekod, Syed Hamid adalah Menteri Luar Negeri bermula tahun 1999 hingga 2008 ketika Malaysia membawakan isu pertikaian pemilikan Pulau Batu Puteh ke ICJ pada November 2007.
Syed Hamid berkata, dalam isu Pulau Batu Puteh, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI bagi membolehkan siasatan secara terperinci dilaksanakan terhadap keputusan menarik balik rayuan terhadap pemilik kawasan tersebut, sama ada selaras dengan undang-undang atau sebaliknya.
“Apabila RCI ditubuhkan, suruhanjaya ini boleh memanggil siapa sahaja individu yang difikirnya ada kaitan dalam membuat keputusan menarik balik rayuan berhubung pemilikan Pulau Batu Puteh tersebut.
“Pada masa sama, ia menutup ruang untuk orang membincangkan secara terperinci dan membahaskannya tanpa fakta. Dapatan RCI akan menamatkan kontroversi berhubung isu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan suruhanjaya itu membolehkan hasil siasatan bersifat lebih terbuka.
Beliau berkata, biarpun pasukan petugas khas telah menjalankan semakan undang-undang terhadap kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tetapi hasil semakan yang dibuat bukan untuk pengetahuan umum.
Katanya, RCI itu bersifat lebih terbuka dan ia akan membantu kerajaan mengetahui proses dan prosedur berkaitan kedaulatan seperti agensi mana yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan.
“Adakah Majlis Keselamatan Negara? Kabinet? Semua perkara ini perlu diwujudkan. Tapi, kita tidak boleh mengwujudkannya tanpa benar-benar mengekstrak keseluruhan hasil semakan pasukan petugas khas.
“Pasukan petugas khas sudah ada hasil semakan tetapi keputusan yang dibuat oleh pasukan petugas khas itu bukan untuk pengetahuan umum, ia masih di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA),” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penubuhan RCI berkenaan tidak boleh sekadar hangat-hangat tahi ayam atau tidak bersungguh dengan membiarkan pihak terlibat terlepas.
Katanya, sebarang tindakan lepas tangan boleh menjejaskan imej kerajaan kerana Malaysia kehilangan wilayah ekoran keputusan menarik tuntutan Malaysia di ICJ. – UTUSAN










