PETALING JAYA: MyHSR Corp Sdn. Bhd. masih belum bersedia untuk mengumumkan syarikat atau konsortium yang membida untuk projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Pengerusinya, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, pihaknya akan berurusan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung perkara terbabit terlebih dahulu.
“Maklumat ini, saya belum bersedia untuk memaklumkan. Saya akan berurusan dengan Menteri Pengangkutan untuk mendapatkan keizinan mereka dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan The Edge bahawa Berjaya Land Bhd (BLand) menjalinkan kerjasama dengan IJM Corp Bhd, Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk membida projek tersebut.
Memetik laporan itu, BLand menyertai gabungan tersebut melalui anak syarikatnya, Berjaya Rail Sdn Bhd (BRail) dan IJM Corp melalui anak syarikatnya, IJM Construction Sdn Bhd.
Menurut sumber laporan tersebut, konsortium yang diketuai BRail mengemukakan cadangan konsep penyerahan permintaan maklumat (RFI) bagi projek itu sebelum tarikh akhir penyerahan.
Jelasnya, tarikh akhir penyerahan cadangan konsep itu meliputi aspek teknikal, kos projek, model komersial dan struktur konsortium ialah pada 15 Januari lalu.
Tambah sumber itu, konsortium yang diketuai BRail itu yakin untuk memenangi projek itu kerana pengalaman ahli-ahlinya.
Anggota teknikal lain konsortium tersebut termasuk Hitachi Rail STS Jepun yang pakar dalam menyediakan sistem isyarat, Hyundai Rotem Co yang mengeluarkan stok rolling dan unit pengendali kereta api Jerman Deutsche Bahn AG DB Engineering & Consulting GmbH.
Sumber berkata, satu lagi sebab mengapa konsortium itu yakin untuk menandatangani perjanjian itu adalah projek yang dicadangkan itu akan menjadi inisiatif kewangan swasta (PFI), yang bermaksud ia akan dibiayai sepenuhnya oleh pelaburan oleh sektor swasta.-UTUSAN










