PETALING JAYA: Malaysia terus menyuarakan gesaan supaya Palestin diterima sebagai anggota ke-194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gencatan senjata segera di Gaza yang kini masih lagi bergolak akibat peperangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat rakyat dan kepemimpinan kerajaan itu disampaikan sendiri Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Perdana Menteri berkata, gesaan itu seiring dengan kenyataan Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak dan dasar aparteid dibenar berleluasa, nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan.
“Pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada masa sama, Anwar menegaskan, Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip iaitu Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqqadis sebagai ibu kota.
Sementara itu, Mohamad yang kini berada di New York berkata, Malaysia akan terus berjuang mengikut kemampuan untuk menamatkan ketidakadilan dan ketidaksahan dalam peperangan di wilayah tersebut.
Justeru, beliau yang sedang menyertai Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung situasi di Asia Barat termasuk isu Palestin menegaskan bahawa negara tersebut perlu diterima sebagai anggota ke-194 PBB.
“Kami menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak sekarang. Majlis Keselamatan perlu mengambil tindakan tegas untuk menghentikan peperangan dan menyelamatkan nyawa orang awam. Hentikan hukuman secara menyeluruh sekarang,” katanya. – UTUSAN










