PADANG BESAR: Perlis satu ketika dahulu menjadi antara lokasi perlombongan bijih timah terkenal dan yang uniknya, aktiviti berkenaan dijalankan dalam gua-gua batu kapur di sekitar negeri ini.
Sekitar 15 ke 25 gua batu kapur di negeri ini khususnya di sekitar kawasan Kaki Bukit di sini direkodkan menjadi lokasi bekas perlombongan bijih timah melalui catatan sejarah perlombongan yang direkodkan.
Lokasi berkenaan dikenal pasti melalui projek Perca Kain hasil inisiatif Perlis Nature Xplorer (PNX) sejak 2021 yang turut berjaya merekodkan sebanyak hampir 60 gua dan formasi batu kapur di hampir seluruh negeri ini.
ARKEOLOGI
Daripada jumlah tersebut, terdapat 23 yang mempunyai nilai arkeologi purba dan khazanah bersejarah perlombongan bijih timah di negeri ini sejak tahun 1909.

Gua-gua tersebut wujud di sepanjang Banjaran Nakawan dari Kuala Perlis sehingga Wang Kelian sejauh 36 kilometer. Sebagai rekod, Banjaran Nakawan juga adalah banjaran batu kapur terpanjang dan tertua di Malaysia berusia 499 juta tahun.
Malah, sebelum ini, wartawan Utusan Malaysia juga pernah meninjau salahnya di Wang Ulu, Bintong yang turut menjadi salah satu lokasi perlombongan bijih timah.
Ia dengan purata laluan seluas satu meter dan panjang kira-kira 200 meter itu pernah menjadi lokasi terkenal aktiviti perlombongan bijih timah yang berkualiti tinggi pada era 1960-an sehingga 70-an.
Di situ, terdapat juga kolam yang terbentuk daripada aktiviti menyedut bijih timah keluar menggunakan tekanan air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas PNX, Syamil Abd. Rahman berkata, aktiviti perlombongan tersebut mencapai kemuncaknya sekitar tahun 1960-an dan 70-an sebelum terhenti sepenuhnya akibat pasaran harga bijih timah dunia jatuh pada tahun 1985.
Ujarnya, aktiviti perlombongan bijih timah di Perlis berbeza dengan negeri-negeri lain seperti di Lembah Kinta, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur kerana kerja-kerja melombong bijih timah di Perlis menggunakan sistem jaringan sungai bawah tanah yang dipam keluar bersama serpihan mineral atau tanah.
BERBULAN
“Pada masa itu, aktiviti perlombongan berkenaan lebih berisiko dengan kebanyakan masa pelombong dihabiskan selama berbulan-bulan di dalam gua.
“Tidak banyak tempat aktiviti perlombongan bijih timah ini di dalam gua yang mempunyai sungai bawah tanah dan ia cukup menggambarkan betapa uniknya gua-gua batu kapur di sekitar negeri ini,” katanya.
Tambah Syamil, antara yang pernah ditemukan sebelum ini seperti pam air dan kotak fius dipercayai antara peralatan yang digunakan untuk aktiviti melombong bijih timah namun peralatan lain seperti dulang tidak ditemukan.
Sementara itu, Syamil memberitahu, pada tahun ini, PNX memulakan semula projek penjelajahan gua-gua semula jadi dan lombong di negeri ini dengan fokus melibatkan komuniti setempat untuk sama-sama berfungsi menjaga tapak-tapak warisan gua semula jadi dan perlombongan di kawasan masing-masing.
Ujarnya, projek Perca Kain yang bermula sejak tahun 2021 itu telah berjaya merekodkan sebanyak hampir 60 gua dan formasi batu kapur di hampir seluruh negeri ini dan jumlah tersebut bagaimanapun masih kecil berbanding anggaran gua-gua di Perlis adalah sekitar 500 melibatkan keseluruhan Banjaran Nakawan.
RAHSIA
“Kebanyakan gua-gua tersebut tersembunyi di sebalik ratusan ‘wang’ atau lembah yang masih menjadi rahsia alam. Pemetaan lokasi dan pengumpulan data gua berteraskan nilai semula jadi sejarah,flora,fauna,geologi dan arkeologi merupakan inisiatif PNX melalui projek ini.
“Usaha tersebut juga dalam menyokong gagasan ‘Search For Research’ yang diwujudkan bagi memperkukuhkan sumbangan komuniti dalam pengiktirafan Perlis Geopark,” katanya. – UTUSAN










