OPR kekal, inflasi turun menguntungkan pembeli rumah pertama

OPR kekal, inflasi turun menguntungkan pembeli rumah pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PropertyGuru Malaysia harap pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan inflasi yang semakin menyederhana menjadikan pasaran hartanah lebih menguntungkan bagi pembeli rumah kali pertama menjelang pertengahan kedua 2024.

Menurut Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah (PMO) PropertyGuru Malaysia 2024, pasaran hartanah Malaysia dijangka stabil pada 2024 walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi.

Pengurus Negara, Malaysia  (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, walaupun kekal mencabar, pihaknya tetap mempunyai pandangan optimistik yang berhati-hati terhadap pasaran hartanah.

Katanya, pendekatan tunggu dan lihat yang digunakan orang ramai mampu membuahkan hasil kerana trend harga masa hadapan dijangka akan menjadi lebih stabil berikutan permintaan perumahan yang berkurangan yang seiring dengan peningkatan hartanah yang ada.

“Minat pembeli pada 2024 juga berkemungkinan menyaksikan peralihan sementara ke arah pasaran sewa kerana isu ketidakmampuan terus berterusan.

“Walau bagaimanapun, peluang tetap wujud untuk pemilik dan penjual rumah di kawasan tumpuan dan kawasan yang berpotensi untuk dirangsang sambutannya.

“Ini ditambah pula dengan inflasi yang perlahan dan inisiatif kerajaan untuk membantu pembeli rumah secara bersasar bakal menjanjikan pasaran yang lebih seimbang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, data daripada Propertyguru.com.my menunjukkan penstabilan dalam kadar kenaikan harga rumah suku ke suku.

“Pada suku pertama 2023, indeks mencatatkan peningkatan suku ke suku sebanyak 1.9 peratus, diikuti oleh 2.1 peratus, 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada suku-suku berikutnya.

“Penyederhanaan harga perumahan ini sejajar dengan kadar inflasi Malaysia yang lebih perlahan. Walau bagaimanapun, harga perumahan kekal tinggi dan ini mewujudkan cabaran kepada pembeli hartanah pertama,” ujarnya.

Beliau berkata, berhadapan dengan kos pemilikan rumah yang lebih tinggi, rakyat Malaysia telah bertindak menyesuaikan keperluan mereka, iaitu terdapat pengguna yang sanggup melepaskan kemudahan tertentu untuk menjadikan rumah lebih mampu milik.

“Walaupun inflasi telah mereda, kos pemerolehan hartanah berkemungkinan kekal tinggi kerana pemaju berdepan pembiayaan dan kos bahan yang tinggi.

“Ini ditambah pula dengan keengganan pemilik rumah untuk menjual pada harga yang lebih rendah. Kedua-dua faktor ini menjadikan pasaran sewa lebih menarik bagi pencari hartanah pada 2024,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×