Inflasi terkawal dorong OPR untuk kekal – Penganalisis ekonomi

Inflasi terkawal dorong OPR untuk kekal – Penganalisis ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi yang terkawal akan mendorong kepada jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, kata penganalisis ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, kadar semasa dilihat bersesuaian dengan keadaan pasaran dan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.

Katanya, kadar itu menyaksikan prestasi pembiayaan bank juga kekal konsisten dan pengguna masih mampu untuk membuat pinjaman.

“Oleh itu, saya jangkakan OPR akan kekal sekurang-kurangnya pada separuh pertama tahun ini. Ini terutamanya dengan inflasi yang sudah mereda kepada 1.5 peratus pada Disember. Jadi, kadar semasa dilihat bersesuaian.

“Bagaimanapun, BNM mungkin akan melihat semula kadar tersebut pada separuh kedua tahun ini berikutan peningkatan Cukai Perkhidmatan daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus.

“Selain itu, kita akan melihat kesan daripada rasionalisasi subsidi pada separuh kedua 2024,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, OPR perlu kekal atas beberapa faktor termasuk untuk memberi ruang kepada kestabilan ekonomi dan politik.

Menurutnya, peningkatan kadar faedah boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan rakyat yang perlu membayar ansuran pinjaman yang lebih tinggi kepada bank.

“Apatah lagi, rakyat sudah merungut dengan dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini. Sebarang tekanan kepada kos sara hidup menjadikan rakyat tidak senang dan menyebabkan kepada ketidakstabilan.

“Tidak ada faktor untuk menaikkan OPR kerana inflasi dalam keadaan terkawal. Saya jangkakan kekal sekurang-kurangnya pada separuh pertama. Kalau naik mungkin pada suku ketiga kerana enam bulan pertama ini adalah proses pemulihan ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad pula menjangkakan BNM menurunkan OPR pada separuh pertama tahun ini.

“Inflasi merupakan cabaran besar pada 2023, tetapi BNM dan kekangan fiskal kerajaan telah bertindak dengan baik untuk menurunkan inflasi ke julat sasaran.

“Ini bermakna kita mungkin melihat penurunan dalam OPR pada separuh pertama 2024. Ini akan membantu merangsang ekonomi lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat daripada 4.0 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus tahun ini.

Jelasnya, anggaran itu adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×