Begitulah yang tertera di bahagian info artikel ini senarai hukuman denda bagi sebahagian daripada 45 kesalahan jenayah syariah yang diperuntukkan menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).
Menyedihkan, kerana jumlah tersebut jelas lebih rendah berbanding harga sebuah telefon bimbit yang menjadi idaman muda-mudi seperti Iphone 15 Pro Max yang bernilai antara RM6,499 hingga RM8,499, Samsung Galaxy Z Fold5 (antara RM6,799 – RM7,299) serta Huawei Mate Xs (RM11,111).
Lebih mengharukan lagi apabila harga gajet ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan hukuman bagi kesalahan matrimoni seperti poligami tanpa kebenaran, perceraian di luar mahkamah, meninggalkan langsung isteri, tidak memberi keadilan kepada isteri, isteri tidak menurut perintah, persetubuhan luar nikah bagi pasangan yang telah bercerai dan menganiaya isteri atau suami yang masing-masing tidak melebihi RM1,000.
SENARAI NEGERI
Sungguhpun Islam mengklasifikasikan kesalahan jenayah kepada tiga kategori iaitu hudud, qisas dan takzir, namun bukanlah kesemua kesalahan tersebut diperuntukkan dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Ini kerana Jadual Kesembilan, Senarai 2-Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hanya kesalahan yang melanggar rukun-rukun Islam sahaja berada di bawah bidang kuasa negeri, selagi mana kesalahan tersebut tidak diperuntukkan menerusi Senarai Persekutuan.
Ringkasnya, dalam konteks undang-undang jenayah Islam yang dikanunkan di Malaysia, kesalahan hudud, qisas dan takzir sudah termaktub dalam undang-undang jenayah. Cuma, hukuman yang dikenakan bersifat takzir, manakala beban pembuktian di mahkamah syariah pula mengguna pakai kriteria sepertimana menjatuhkan hukuman hudud.
40 tahun
Kali terakhir pindaan terhadap hukuman Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 (Akta 355) dilakukan semenjak 40 tahun lalu menerusi Seksyen 2 yang menetapkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.
Sebelum pindaan pada 1984, hukuman maksimum hanyalah tidak melebihi enam bulan penjara dan/atau tidak melebihi RM1,000. Hukuman tersebut jauh lebih rendah berbanding mahkamah majistret yang diberikan kuasa untuk menjatuhkan hukuman yang tertakluk kepada hukuman denda dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sahaja dan boleh menjatuhkan hukuman tidak melebihi lima tahun penjara, denda tidak melebihi RM 10,000 dan/atau 12 kali sebatan.
Sungguhpun terdapat syor agar aspek hukuman di mahkamah syariah diperluas kepada bentuk hukuman alternatif seperti pelaksanaan kerja sosial, namun peningkatan hukuman pemenjaraan, denda dan sebatan adalah signifikan bagi kes tertentu seperti penyebaran doktrin palsu/ajaran sesat, perzinaan, menghina agama Islam, mengingkari perintah mahkamah dan kesalahan lainnya bersesuaian dengan keseriusan jenayah tersebut, di samping memberi pengajaran kepada penjenayah, terutamanya mengelakkan kesalahan yang sama berulang.
Terkini, akhbar melaporkan terdapat tiga ajaran sesat iaitu Ayah Pin, Sihulk dan Mhd Mohib Khouli kembali aktif dengan wujud kebimbangan ancaman keselamatan yang jelas jika terus dibiarkan tanpa pemantauan atau penguatkuasaan. Ini kerana, terdapat sebilangan ajaran sesat menyemai doktrin yang keras serta bersifat radikal sekali gus menggugat keharmonian di negara ini.
DIREMEHKAN
Statistik sepanjang 2018 hingga 2022 menunjukkan trend peningkatan kes jenayah di mahkamah syariah seluruh negara. Walaupun berlaku penyusutan pada 2020 dan 2021 disebabkan penularan Covid-19, namun peningkatan tajam sebanyak 117 peratus direkodkan pada 2022 menjadikan keseluruhan pendakwaan dalam tempoh lima tahun berkenaan berjumlah 83,588 kes.
Daripada statistik berkenaan pula, hampir 20 peratus daripadanya merupakan kesalahan khalwat, iaitu perbuatan muqaddimah zina, kesalahan zina, seterusnya kelahiran anak tak sah taraf.
Selain itu, saranan bagi meningkatkan hukuman jenayah syariah sedikit sebanyak dapat mengelakkan pemikiran yang menyalahi agama seperti cadangan mewujudkan rumah pelacuran. Cadangan sedemikian masih timbul akibat kurangnya keprihatinan dan kegerunan terhadap keseriusan hukuman tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar, ketika menolak cadangan tersebut menyatakan bahawa pelacuran bukan hanya menjadi kesalahan menurut Akta/Enakmen Jenayah Syariah, namun turut diperuntukkan menerusi Seksyen 372, Seksyen 372A, Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi lima belas tahun penjara, sebatan dan denda.
Kewujudan peruntukan mengenai kesalahan pelacuran dalam kedua-dua akta tersebut menegaskan bahawa ia bukan hanya menjadi kesalahan bagi umat Islam, malah juga kepada orang bukan Islam.
PROFESIONALISME
Berdasarkan keseriusan jenayah, pertambahan bilangan kes, kesan negatif serta nilai mata wang kini, maka sudah tiba masanya hukuman bagi kesalahan jenayah syariah dipertingkatkan agar tidak lagi menjadi bahan lelucon.
Apatah lagi apabila kini pentadbiran pendakwaan syariah diperkasa menerusi kewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri (JAPENS), yang diasingkan keberadaannya daripada Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Negeri. Pastinya segala bentuk latihan dan kesiapsiagaan telah dibangunkan bagi peningkatan kecekapan dan profesionalisme para pendakwa syariah mendepani cabaran dalam menegakkan keadilan.
Utamanya, sekiranya Akta 355 dipinda sekalipun, ia tidak sekali-kali mengambil bidang kuasa mahkamah sivil mahupun menyentuh hak orang bukan Islam.
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).-UTUSAN










