Sekolah empat murid tetap patuh SOP - Utusan Malaysia

Sekolah empat murid tetap patuh SOP

Murid dan guru Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak dalam program sambutan Israq Mikraj di sekolah itu di Bagan Datuk, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak dekat sini dikenali sebagai antara sekolah paling kurang murid malah pada 2017, hanya dua murid mendaftar di sekolah itu.

Untuk sesi 2021, sepatutnya tujuh murid mendaftar, namun tiga daripada mereka berpindah sekolah, menjadikan hanya empat murid yang belajar di sekolah itu tahun ini.

Meskipun sunyi, sekolah ber­kenaan tetap ‘meriah’ di sepanjang sesi pembelajaran dan pelbagai aktiviti yang dijayakan oleh murid di sekolah yang mempunyai guru besar, empat guru serta seorang kakitangan sokongan.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia mendapati semasa Pe­rintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), murid dan guru tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa datang dan sepanjang sesi pem­belajaran.

Menurut guru di sekolah berkenaan, murid yang datang tetap menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Apa yang menarik, disebabkan hanya terdapat empat orang murid, tidak berlaku keadaan bersesak seperti sekolah lain yang mempunyai murid yang ramai.

Seorang daripada murid ber­kenaan berkata, dia seronok belajar di sekolah itu walaupun hanya ada empat orang murid.

“Semasa PKP, kami tak perlu bersesak, kami ikut SOP yang diajarkan oleh guru,” katanya.

Walaupun kurang murid, sekolah berkenaan mempunyai semua kemudahan belajar yang lengkap seperti sekolah lain se­perti kemudahan komputer dan capaian internet.

Malah, aktiviti dan acara sekolah tetap diadakan seperti biasa malah pada minggu lalu, pihak sekolah mengadakan sambutan Israk Mikraj.

Sebelum ini, SK Tebing Rebak pernah mempunyai seramai 200 murid namun disebabkan penghijrahan, sekolah dan kampung berkenaan semakin kurang penduduk. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×