HSBC Bank kekal unjuran KDNK pada 4.5% tahun ini

HSBC Bank kekal unjuran KDNK pada 4.5% tahun ini

JAMES Cheo (kiri) pada taklimat media Tinjauan Kekayaan dan Pelaburan separuh pertama 2024 HSBC di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) menjangkakan sektor elektrik dan elektronik (E&E), penggunaan domestik dan pelancongan akan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.5 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Pelaburan Asia Tenggara dan India, Perbankan dan Kekayaan Persendirian Global HSBC, James Cheo berkata, pertumbuhan itu kelihatan sedikit lebih baik kerana terdapat peningkatan dalam kitaran elektronik global dan eksport E&E, sekali gus memberi manfaat kepada Malaysia.

Menurutnya, HSBC juga menjangkakan sektor pelancongan mendapatkan jumlah pelancong yang banyak kerana Malaysia menguasai majoriti pelancong dari China.

Tambah beliau, penggunaan domestik sentiasa kukuh di Malaysia dan menjadi tonggak pertumbuhan kerana pengguna akan berbelanja lebih banyak apabila inflasi mula stabil.

“Di samping itu, syarikat multinasional barat telah melaksanakan ‘strategi China+1’ dengan membina kemudahan pengeluaran baharu di India dan ASEAN untuk menambah rantaian bekalan mereka di China.

“Keseluruhan trend penyesuaian semula rantaian bekalan akan memanfaatkan Malaysia apabila pelabur global mula melihat keseluruhan ASEAN sebagai pasaran pengguna keseluruhan serta dikaitkan bersama dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Tinjauan Kekayaan dan Pelaburan separuh pertama 2024 HSBC di sini, semalam.

James berkata, Malaysia mempunyai kekuatan dalam pasaran pengeluaran semikonduktor dan komoditi serta akan membuatkan pelabur mempertimbangkan untuk melabur di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, perolehan konsensus untuk Malaysia dijangka kukuh di pasaran ekuiti Malaysia,

“Penilaian pasaran ekuiti didagangkan di bawah purata lalu dan sentimen risiko global serta kedudukan pelabur antarabangsa boleh menjadi halangan kepada pasaran,” katanya

Sementara itu, beliau berkata, HSBC berpendapat Bank Negara Malaysia akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus sepanjang tahun ini.

“Kami meramalkan ringgit akan kekal stabil pada 4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2024,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×