KDNK 2023 dianggar berkembang sederhana pada 3.8 peratus

KDNK 2023 dianggar berkembang sederhana pada 3.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dianggar tumbuh 3.4 pe­ratus pada suku tahun keempat 2023, berbanding 3.3 peratus suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan anggaran awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023, DOSM berkata, secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sederhana 3.8 peratus pada 2023 selepas menca­tatkan pertumbuhan 8.7 peratus tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sektor perkhidmatan menjadi peneraju prestasi ekonomi pada suku berkenaan dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif.

Kata beliau, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding 5.0 peratus suku sebelumnya, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan serta perkhid­matan perniagaan.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian berkembang 3.7 peratus (ST3 2023: -0.1 peratus) pada suku tahun keempat 2023 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti terutamanya gas asli dan minyak mentah dan kondensat,” katanya dalam kenyataan sempena laporan itu, semalam.

Beliau turut menambah, sektor pembinaan menyederhana kepada 2.5 peratus (ST3 2023: 7.2 peratus) dipengaruhi oleh subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.

Sektor pertanian pula me­ningkat kepada 1.2 peratus (ST3 2023: 0.8 peratus) pada suku tahun keempat 2023, hasil daripada peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit.

Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.1 peratus (ST3 2023: -0.1 peratus) disokong oleh pembuatan berasaskan produk minyak dan lemak daripada sayu­ran dan haiwan serta prosesan makanan dan produk mi­neral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.

“Walau bagaimanapun, pro­duk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik merosot pada suku tahun ini,” jelas Mohd. Uzir.

Mengulas lanjut KDNK 2023, beliau berkata, ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 3.8 peratus pada 2023, berbanding 8.7 peratus pada tahun sebelum­nya.

Mohd. Uzir menjelaskan, semua sektor menunjukkan pertumbuhan positif yang menyum­bang kepada prestasi yang lebih baik itu.

Katanya, sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada 2023 berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 10.9 peratus pada 2022. Selain itu, aktiviti ekonomi Malaysia sedang mengalami fasa pemulihan pada 2023.

“Sektor Pembuatan merekodkan pertumbuhan marginal 0.8 peratus (2022: 8.1%) pada tahun 2023. Prestasi sektor ini yang kurang memberangsangkan di­sebabkan oleh permintaan luar yang lebih lemah di pelbagai negara.

“Sehubungan itu, prestasi perdagangan Malaysia juga menunjukkan aliran menurun pada 2023, seiring dengan penyusutan eksport 8.0 peratus (2022: 24.9 peratus) dan penurunan sebanyak 6.4 peratus (2022: 31.0 peratus) dalam aktiviti import.

“Oleh itu, eksport bersih mengalami penurunan 16.4 peratus (2022: 1.0 perats) dengan nilai keseluruhan RM214.1 bilion,” jelas beliau lagi.

Selain itu, menurut Mohd. Uzir, sektor pembinaan meningkat daripada 5.0 peratus pada 2022 kepada 5.8 peratus pada 2023.

Sektor perlombongan dan pengkuarian katanya, turut meningkat sebanyak 1.0 peratus (2022: 2.6 peratus) dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2022: 0.1 peratus).

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan pada Suku Keempat 2023 pada 16 Februari ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×