KERAJAAN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bertujuan untuk memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan pentadbiran kerajaan.
Jawatankuasa ini menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu-isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Ini satu mesej yang jelas kepada semua peringkat kepimpinan dan seluruh rakyat akan peri pentingnya tatakelola yang baik dalam apa juga urusan yang dilaksanakan. Sistem pentadbiran kerajaan berteraskan tatakelola baik melalui prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan keberkesanan merupakan agenda utama kerajaan bagi mewujudkan pentadbiran yang cekap, berdisiplin dan berintegriti tinggi.
Empat terma rujukan bagi Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional ini iaitu reformasi institusi, dasar dan undang-undang; sistem dan prosedur kerja; pemantauan dan penilaian serta pembudayaan amalan nilai dan tatakelola baik jelas merangkum pelbagai sudut yang berupaya mengekang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta ketirisan yang selama ini menghambat kemampanan pembangunan negara.
Dari sudut pelaksanaan, penubuhan JKKTN ini turut disusuli dengan rantaian pelbagai peringkat jawatankuasa dari peringkat negara, negeri hinggalah ke aras institusi bagi memastikan penghayatan dan pelaksanaannya menyeluruh dan bersepadu.
Dalam kerangka JKKTN ini, diwujudkan pula Pasukan Khas Perunding (PKP) JTK Peringkat Nasional iaitu instrumen penting bagi memastikan segala input yang diperoleh dari pelbagai peringkat jawatankuasa dianalisa, diselaras dan dikemukakan cadangan penyelesaian. PKP JTK Peringkat Nasional ini akan berperanan merentasi kementerian, kerajaan negeri, jabatan mahupun agensi sekiranya perlu.
Peluncuran JKKTN menuntut agar peranan unit Integriti dan Governan yang berada di semua institusi perlu diperkasakan, khasnya dari sudut sumber manusia dan wewenang kuasa. Usaha pembanterasan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan culas kerja ini memerlukan gerakan bersepadu melibatkan dasar dan struktur organisasi yang jelas serta penerapan nilai yang berterusan.
BUKTI
Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri dan Kabinet hari ini tidak retorik apabila memperkatakan berkenaan melawan korupsi yang sistemik dan melaksanakan reformasi institusi.
Namun iltizam politik sahaja sudah pasti belum mampu menangani isu tatakelola dan ketirisan ini tanpa kesedaran serta penglibatan menyeluruh setiap lapisan masyarakat.
Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada beberapa agensinya yang telah sinonim dengan permasalahan penyalahgunaan kuasa dan ketirisan khasnya agensi-agensi yang bersangkutan dengan penguatkuasaan.
Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang yang lemah ditambah pula dengan masalah integriti penjawat awam dan pegawai penguatkuasa merupakan satu barah yang perlu kerajaan tangani dengan serius.
Peraturan dan undang-undang tanpa penguatkuasaan yang cekap hanya akan menambah ketidakpercayaan rakyat terhadap kredibiliti agensi kerajaan.
Penekanan terhadap peningkatan kompetensi kerja serta integriti kakitangan kerajaan mesti diutamakan dan dipupuk secara berterusan.
JKKTN perlu dilihat telus dan bersungguh dalam mencapai objektifnya. Jangan pula menjadi duplikasi terhadap sistem semak imbang yang sedia ada contohnya, Laporan Audit Negara.
Kita tidak mahu penubuhan jawatankuasa yang pastinya melibatkan penambahan kos serta prosedur kerja ini umpama kosmetik yang hanya cantik pada siri mesyuarat dan pelaporan sahaja.
Dalam situasi di mana negara berhadapan dengan beban hutang yang amat tinggi pada ketika ini, masalah ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan penguatkuasaan yang lemah tidak lagi dapat dikompromi.
Dana dan hasil negara perlu diurus dengan penuh hemah dan bertanggungjawab. Tatakelola yang mulia dan bersih perlu menjadi satu budaya baharu rakyat Malaysia demi memastikan masa depan negara yang lebih baik dan mapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










