KOTA TINGGI: Tiga ahli Geng Pecah Rumah Che Wan dijatuhi hukuman penjara 22 bulan dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah melakukan pencerobohan, kurungan salah dan menghalang penjawat awam, hujung tahun lalu.
Kesemua tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Ikhwan Mohd. Sharif, 33, dan Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, didakwa melakukan pencerobohan dengan masuk ke bilik penghuni lain di inap desa di Desaru Bandar Penawar pada pukul 11 pagi, 21 Disember 2023.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya didakwa dengan sengaja mengurung lima penghuni inap desa tersebut pada tarikh serta waktu yang sama.
Pertuduhan ketiga, mereka didakwa menghalang tugas polis kerana enggan membuka pintu bilik untuk mengelak daripada pemeriksaan pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khiruddin Khalid, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN










