“UNDANG-UNDANG Islam bukan undang-undang asing tetapi ia adalah undang-undang tempatan dan undang-undang negeri. Mahkamah semestinya memberi pengiktirafan kehakiman terhadapnya dan mesti memantapkan undang-undang itu.”
Petikan di atas merupakan antara alasan penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Thorne ketika menyampaikan keputusan panel rayuan dalam kes Ramah lwn Laton pada 1927.
Walaupun berbangsa Inggeris, pengiktirafan yang diberikan tersebut jelas menunjukkan undang-undang Islam telah dipraktikkan oleh masyarakat dan menjadi law of the land di Tanah Melayu.
Terdahulu, nada yang sama turut dizahirkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Innes yang membicarakan kes Shaikh Abdul Latif dan lain-lain lwn Shaik Elias Bux pada 1915.
Paradoksnya, walaupun para hakim Inggeris memberikan pengiktirafan mengenai pengaplikasian undang-undang Islam oleh masyarakat di Tanah Melayu, namun Ordinan Kehakiman 1948 memperuntukkan mahkamah syariah hanya berbidang kuasa mengendalikan kes melibatkan undang-undang diri dan jenayah pelanggaran terhadap rukun agama oleh orang-orang Islam yang bermastautin di negeri tertentu.
Apabila berbicara mengenai mahkamah syariah, segelintir masyarakat mengambil jalan mudah dengan memulakan sudut pandang kedudukan semenjak kewujudan Perlembagaan Persekutuan. Namun, alangkah baiknya sekiranya dimensi tersebut dipanjangkan melangkaui beberapa abad sebelum 1957.
Para sejarawan bersetuju bahawa Islam berada pada zaman kegemilangannya ketika pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka pada 1400M, terutamanya apabila Melaka berkembang sebagai sebuah pusat ketamadunan antarabangsa.
Walaupun begitu, kita tidak dapat menolak bahawa Islam telah bertapak lebih awal di Tanah Melayu berdasarkan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu, penemuan ‘pitis emas’ di Kelantan, batu nisan berkaligrafi Arab di Teluk Cik Munah, Pekan Pahang.
Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Shah (1390-1413/1414), Megat Iskandar Shah (1414-1423/24) dan Sultan Muhammad Shah (1424-1444) dijelmakan menerusi hubungan diplomatik dengan kuasa besar lainnya iaitu Kerajaan Turki Uthmaniyah.
Malah ketika era pemerintahan Sultan Muhammad Shah, Hukum Kanun Melaka (HKM) telah diperkenalkan dengan penggunaan istilah ‘Kanun’ yang mempunyai pengaruh Kanun Uthmani dari Turki.
Apatah lagi apabila Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada masa yang sama juga berada pada zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan Sultan Murad II dan Sultan Muhammad al-Fatih (1421-1481M). Hubungan tersebut bertambah erat apabila berpaksi kepada kesatuan akidah.
Menurut John E. Kempe, Richard O Winstedt, serta Liaw Yock Fang, HKM mengandungi enam fasal utama yang mentaqninkan mengenai kuasa, bidang kuasa raja dan pembesar-pembesar, pantang-larang masyarakat umum, hukuman ke atas kesalahan jenayah hudud, qisas, takzir, undang-undang keterangan dan undang-undang keluarga. Fasal-fasal utama tersebut kemudiannya dihuraikan dengan sub-fasal yang khusus bagi memperincikan perundangan tersebut.
Sesungguhnya pelaksanaan HKM ini membuktikan komitmen pemerintah bagi memastikan Islam sebagai agama rasmi dilaksanakan secara optimum selain ia juga menzahirkan kebijaksanaan pemerintah yang berusaha mengelakkan perpecahan dalam keragaman masyarakat dengan menjadikan Mazhab Syafie sebagai rujukan utama set perundangan tersebut.
Malah undang-undang Islam turut ditadbir dari dalam istana kerana bukan sahaja bendahara dan temenggung, malah sultan sendiri merupakan pemegang kuasa kehakiman tertinggi.
Ini terbukti apabila seorang pengembara China bernama Hsieh Ching yang melawat Kelantan pada 1782 menukilkan bahawa sultan mengendalikan kes rayuan di Balai Rong Seri dengan kehadiran pembesar-pembesar Melayu bergelar ‘waris’ dan ‘tuan’. Begitu juga situasinya di Terengganu semasa pemerintahan Sultan Baginda Omar yang kemudiannya diteruskan oleh Sultan Zainal Abidin III.
RUJUKAN
Menariknya, HKM bukan sahaja diamalkan di Melaka, malah turut menjadi rujukan bagi penggubalan Hukum Kanun Pahang, Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Sungai Ujung dan Undang-undang Datuk Seri Paduka Tuan.
Undang-undang Syariah di Johor pula banyak dipengaruhi oleh undang-undang Islam yang disusun dari Turki dan Mesir di mana Majallah al-Ahkam al-’Adliyyah telah diadaptasi sebagai Majallah Ahkam Johor 1913. Manakala Al-Ahkam al-Syar‘iyyah fi al-Ahwal al-Syahsiyyah dan Hanafite Code of Qadri Pasha telah disesuaikan sebagai Ahkam Syar’iyyah Johor 1935.
Di Terengganu, undang-udang Islam telah ditadbir dengan jayanya semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi dan kerana itu masyarakat serta pemerintah di negeri tersebut perlu mentaati undang-undang Islam. Malah seseorang sultan boleh ditarik balik ketaatan terhadapnya sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap peruntukan tersebut.
Bagi melancarkan lagi urusan pentadbiran perundangan dan kehakiman di kerajaan masing-masing, maka pengkhususan dalam pengendalian kes telah diwujudkan.
Sebagai contoh, sekitar abad ke-19 di Kelantan, undang-undang di negeri berkenaan memperuntukkan bahawa mufti mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes perkahwinan dan perceraian, manakala hakim pula berbidangkuasa untuk membicarakan kes jenayah berlandaskan kepada undang-undang Islam dan adat.
Bukan hanya memberi kesan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam di kerajaan Melayu lainnya, HKM juga menjadi panduan kepada pembentukan Hukum Kanun di Acheh, Patani dan Brunei.
Kewujudan undang-undang semasa pemerintahan kerajaan Melayu jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam berkaitan sivil dan jenayah telah dilaksanakan semenjak sekian lama.
Sehubungan itu, mahkamah yang terdapat semasa pemerintahan kerajaan Melayu sama ada dikenali sebagai mahkamah syariah, mahkamah kadhi, mahkamah Melayu atau Balai Masjid sentiasa mendapat kedudukan istimewa di hati para sultan.
Menariknya, pengaplikasian undang-undang Islam ini turut mencapah kepada masyarakat bukan Islam sepertimana hukuman denda yang diputuskan terhadap lima orang penjudi berbangsa Cina di negeri Johor pada Jun 1861.
Institusi beraja bukan sekadar simbolik, namun kedaulatannya melegitimasi suatu kebijakan, manakala mohornya menyelesai pertelingkahan.
Justeru, setiap individu yang menjadi penggerak institusi perundangan dan kehakiman syariah serta agensi agama keseluruhannya memikul amanah yang berat bagi mempertahan dan memperkasakan institusi yang ‘didiami’.
Jika masyarakat terdahulu dengan ‘local genius’nya, berjaya menduniakan ketamadunan Melayu dengan acuan tersendiri, maka tidak mustahil kejayaan yang sama mampu dicapai dengan jati diri, penggemblengan idea, perancangan strategik, kesatuan fikiran serta dukungan dari dalam istana. Daulat Tuanku!-UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










