DAKWAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini kononnya kaum India kurang setia kepada negara telah memercikkan api kemarahan dalam golongan masyarakat berkenaan merentasi umur dan fahaman politik dalam negara.
Ekoran kenyataan mengutuk Dr. Mahathir itu membanjiri media sosial saban hari menyebabkan ada pihak membuat laporan polis untuk mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu bersandarkan isu agama, raja dan kaum (3R) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Madani.
Sehubungan ini, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mengeluarkan kenyataan rasmi menzahirkan perasaan kesal kerana Dr. Mahathir seharusnya menjadi teladan atau role model kepada perpaduan antara kaum, sebaliknya kenyataan beliau mampu memecah belahkan rakyat yang berbilang kaum.
Persoalannya, apakah asas-asas bagi Dr. Mahathir membuat dakwaan tersebut terhadap kaum India? Sejarah Tanah Melayu menunjukan kaum India merupakan satu golongan masyarakat yang amat setia kepada negara Malaya dan kini Malaysia malah banyak berjasa dan terkorban serta memberi sumbangan yang tinggi demi pembangunan, keselamatan dan keamanan Malaysia bukan sahaja selepas negara ini mencapai kemerdekaan malah sebelum merdeka lagi.
Adakah Dr. Mahathir sedar bahawa antara sebab utama kaum India dibawa masuk, bukan sebagai pendatang haram ke Tanah Melayu oleh penjajah British? Mereka merupakan kaum yang rajin bekerja dan setia kepada negara dan sistem pemerintahan. Mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika negara ini masih dilitupi dengan hutan rimba. Pekerja India dikerah untuk membersihkan hutan, membina landasan kereta api dan jalan raya demi memudahkan pembangunan sehingga menjadikan Tanah Melayu sebagai sumber ekonomi dunia.
Mereka dibawa masuk atas dorongan dan pandangan Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu, Sir Federick Weld, yang menyifatkan kaum India sebagai kaum yang ‘peaceful and easily governed race’. Jadi, sejarah mencatatkan kaum India adalah satu-satunya kaum yang rajin bekerja, mudah untuk dikawal dan tidak banyak menimbulkan kekacauan dalam negara atas dorongan kepentingan diri. Mereka merupakan kaum yang amat setia kepada negara yang dianggap sebagai negara ibu pertiwi.
Masyarakat India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika Malaya (Tanah Melayu) masih di bawah kuasa penjajah Empayar British. Mereka bekerjasama dengan orang Melayu, kaum pribumi selain turut menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu.
Asas-asas tuntutan kemerdekaan adalah bukan bersandarkan kepada prinsip asimilasi tetapi integrasi yang membawa maksud setiap kaum boleh mengamalkan agama, budaya dan cara hidup, termasuk bahasa ibunda mereka dengan bebas. Namun, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi dan pendekatan kongsi kuasa antara kaum dalam bidang politik.
Ciri-ciri dan semangat murni ini jelas terpapar dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perlembagaan Kemerdekaan).
Sehubungan dengan kesetiaan kaum India, rakyat Malaysia masih ingat akan peristiwa-peristiwa yang menunjukkan kaum India bersedia, berkorban untuk menjaga negara ini daripada sebarang bentuk ancaman luar malah menghalang negara ini dicerobohi oleh anasir-anasir luar seperti pengganas komunis ketika Perintah Darurat dikuatkuasakan pada 1948 hingga 1960.
Malah, mereka melindungi negara ini apabila Indonesia di bawah kepimpinan Sukarno mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia kerana beliau menentang pembentukan Gagasan Malaysia.
Rakyat Indonesia terutamanya golongan muda turut protes terhadap penubuhan Malaysia. Askar-askar Indonesia telah mendarat di pantai Johor untuk menawan Malaysia. Apakah orang India mendiam diri melihat angkara Indonesia terhadap Malaysia? Tidak. Seorang pemuda India yang setia kepada Malaysia memberanikan diri memanjat bangunan pejabat kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dan menurunkan bendera Indonesia yang berkibar dengan megahnya daripada tiang bendera lalu menggantikan serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bangganya.
Tindakan berani pemuda itu adalah sebagai tindak balas terhadap kejadian orang muda di Indonesia yang mengoyak dan membakar bendera Malaysia di Jakarta, Indonesia. Peristiwa ini jelas membuktikan kaum India meletakkan nilai kesetiaan terhadap negara sebagai nilai dan budaya tertinggi dalam kehidupan mereka.
Keberanian dan kesanggupan pemuda India itu dinobatkan dengan gelaran ‘Hero Malaysia’ pada hari keesokan dalam media tempatan, terutamanya akhbar Utusan Malaysia, akhbar yang berjuang bersama penduduk Tanah Melayu untuk menjayakan usaha pencapaian kemerdekaan dan kelahiran gagasan Malaysia.
MIC
Pemuda itu dikenali sebagai Tun S.Samy Vellu, yang kemudiannya beliau menjadi Presiden MIC yang banyak berjasa malah bertanggungjawab terhadap pembangunan infrastruktur, termasuk Plus Express Highway, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi kemudahan infrastruktur di bandar dan luar bandar.
MIC, di bawah kepimpinan beliau telah banyak menanam budaya dan semangat kesetiaan kepada negara dalam kalangan kaum India yang kini diikuti jejaknya oleh Presiden MIC semasa, Tan Sri S.A.Vigneswaran.
Apakah Dr. Mahathir sudah lupa kaum India menyokong hebat kerajaan kepimpinannya sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 malah menyokong Barisan Nasional (BN) semasa kepimpinan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU8) pada 1990 menghadapi tentangan hebat daripada Parti Melayu Semangat 46, kepimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. BN kepimpinan beliau memperoleh kemenangan dengan bergaya kerana mendapat sokongan penuh kaum India yang kini didakwa tidak setia kepada tanah airnya.
Dakwaan Dr.Mahathir baru-baru ini jelas memaparkan masih ada pihak yang bukan sahaja kurang memahami malah menghayati peranan, sumbangan dan jasa kaum India kepada negara yang tercinta ini malah masih ada pula golongan yang mendakwa kaum India sebagai ‘pendatang’. Kumpulan yang melontarkan dakwaan kononnya kaum India sebagai pendatang perlu membaca buku-buku sejarah daripada perspektif pembinaan negara bangsa dengan minda terbuka tanpa perasaan prejudis atau taasub terhadap kaum lain terutamanya India.
Antara buku yang bersifat kenegaraan serta menghalkan sejarah migrasi kaum India berjudul Perjuangan Politik Komuniti India yang baru dilancarkan oleh S.A.Vigneswaran.
Meskipun kaum India tersinggung dengan dakwaan Dr. Mahathir tetapi golongan ini bersedia dan sanggup memaafkan pihak yang mendakwa bukan-bukan terhadap kesetiaan mereka kerana mereka adalah masyarakat berbudaya dan berperadaban tinggi malah dididik untuk sentiasa menjunjung negara yang bertapak kaki mereka sebagai negara ibu pertiwi.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










