SUNGAI PETANI: “Saya akan pikul tanggungjawab selaku ketua keluarga sambil dibantu ahli keluarga lain untuk membesarkan adik-adik dan sama sekali tak akan berpisah,” kata Fatin Hanani Mohd. Norzainal.
Fatin Hanani, 23, adalah anak sulung daripada lima beradik yang kini yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut apabila motosikal dinaiki merempuh tiang elektrik berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Khamis lalu.
Menurut Fatin Hanani, dia bersama tiga lagi adiknya iaitu Aida Batrisya, 17; Aliya Batrisya, 16, dan Adam Irfan, 15, telah boleh menerima ketentuan takdir bahawa kehilangan dua insan tersayang dalam usia muda.
“Cuma adik bongsu kami, Adib Iman, 7, yang masih mencari-cari ibu dan ayah terutamanya ketika hendak tidur kerana selalunya dia akan memeluk ‘bantal busuk’ sambil didodoikan ibu.
“Dia juga sering bertanya sebaik sahaja bangun tidur ke mana ibu dan ayah pergi kerana telah beberapa hari tidak lagi tidur bersama mereka,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Menurutnya, Adib Iman memang manja terutama dengan ibu mereka kerana baru berhenti menghisap susu badan tahun lepas sehingga menyebabkan dia agak sukar untuk tidur jika tidak dipeluk ibu.
Sementara itu, Fatin Hanani berkata, dua hari selepas kejadian terbabit, dia ada menerima tawaran untuk penempatan seorang lagi adik lelakinya, Adam Irfan di sebuah sekolah tahfiz di Sungai Siput, Perak.
“Walaupun pihak pengurusan berjanji menanggung semua kos tetapi saya menolaknya secara berhemah kerana ingin berada bersama mereka dan tidak mahu berpisah.
“Biarlah susah senang kami akan tinggal sebumbung kerana sebagai anak sulung saya sanggup memikul tanggungjawab membesarkan mereka,” katanya. – UTUSAN










