SEJAK timbul cadangan supaya diwujudkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), banyak pihak tampil memberi pandangan masing-masing.
Antaranya idea yang terbit daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, yang sebelum ini mengendalikan dan bertanggungjawab menguruskan hal ehwal di Wilayah Persekutuan sebelum pelantikan Dr. Zaliha Mustafa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Azman berpendapat ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hendaklah diberikan kuasa eksekutif dalam membuat sesuatu keputusan.
Beliau berkata langkah memperkasakan lembaga penasihat itu boleh menjadi alternatif kepada pilihan raya PBT. Mengikut amalan yang dilakukan sekarang, ahli lembaga penasihat PBT ini dilantik daripada kalangan parti memerintah. Ia seolah-olah satu ganjaran kepada ahli parti yang tidak berpeluang bertanding atau memegang jawatan politik yang lain.
Cadangan supaya diadakan pilihan raya PBT mendapat perhatian semula apabila DAP Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengembalikan semulanya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Cadangan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai itu dibangkitkan pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP pada 17 Disember lalu. Alasan yang diberikan beliau ialah ia adalah usaha bagi memperkukuhkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk parti yang mewakili Melayu seperti UMNO dan Pas, yang bimbang keputusan pilihan raya PBT akan didominasi oleh bukan Melayu.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu juga mahukan kajian mendalam dilakukan untuk mencapai hasil yang diinginkan serta berpendapat mesti ada situasi ‘win-win’ dan semua kaum mesti puas hati dan rasa selamat.
Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan antara perkara yang perlu diambil kira ialah tanggungjawab yang dijalankan oleh mereka yang menang (pilihan raya PBT) yang kini dilantik oleh parti menyebabkan mereka yang ingin memegang jawatan itu perlu melobi kepada ketua parti.
Sementara itu media memetik bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR tidak boleh melaksanakan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kerana pelantikan Ahli Majlis kini dibuat secara lantikan mengikut Seksyen 10 Akta 171 dan bukan lagi melalui pemilihan.
Katanya, apabila subseksyen 15(1) Akta 171 dimansuhkan dan dihenti kuasa pada 1976, maka pilihan raya PBT tidak dapat dilaksanakan oleh SPR. Ini bermakna sekiranya pilihan raya PBT hendak diadakan, pindaan perlu dibuat ke atas undang-undang dengan mengembalikan semula subseksyen 15(1) dalam Akta 171.
Wan Ahmad berkata keadaan di negara ini tidak sesuai untuk diadakan semula pilihan raya PBT kerana demografi penduduk yang tidak seimbang di kawasan bandar dan jika diadakan juga pilihan raya, ia akan menjurus kepada kemudaratan keharmonian apabila memberi kelebihan kepada satu-satu kaum sahaja.
Lagipun pilihan raya PBT perlu dilaksanakan di seluruh negara dan bukan hanya dihadkan di bandar atau daerah tertentu sahaja seperti Kuala Lumpur.
Menurut Pakar Perlembagaan, pemansuhan subseksyen 15(1) itu dibuat selepas kerajaan menimbangkan beberapa kajian dan laporan, termasuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja khusus bagi penambahbaikan sistem kerajaan tempatan dikenali sebagai Laporan Athi Nahappan.
Antara lainnya pemansuhan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira beberapa perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Athi Nahappan dan laporan lain berkaitan dengan isu perpaduan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang berlaku rusuhan kaum.
Amalan melantik ahli lembaga penasihat di PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilakukan oleh semua parti yang menang pilihan raya umum (PRU) termasuk pihak pembangkang ketika menjadi kerajaan sebelum ini. Lalu timbul kebimbangan orang politik yang dilantik hanya ingin memenuhi jawatan tetapi tidak menyampaikan hasrat rakyat di bawah.
ADIL
Bukan tujuan penulis untuk mempertikaikan pelantikan orang politik ini. Namun dalam usaha untuk memperkasakan jawatan di PBT, adalah lebih wajar pelantikan untuk jawatan lembaga penasihat turut dianggotai wakil masyarakat dan bukan orang politik semata-mata.
Wakil masyarakat termasuk daripada persatuan penduduk, majlis belia, jawatankuasa pengurusan bersama (JMB), Rukun Tetangga, wakil persatuan peniaga kecil dan lain-lain.
Maknanya, selain ahli politik, barisan aktivis masyarakat ini juga mempunyai peranan penting dalam sesebuah PBT kerana mereka lebih memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Sistem pelantikan oleh parti pastinya akan mencetuskan gejala lobi-melobi yang mungkin menyebabkan pencalonan yang tidak tepat dan kekecewaan dalam kalangan mereka yang gagal mendapat tempat.
Azman mencadangkan selain 12 ahli lembaga penasihat yang dilantik, setiap ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Kuala Lumpur juga hendaklah diberikan kuasa untuk melantik seorang ahli dari kawasan masing-masing.
Ahli lembaga ini juga perlu diberikan kuasa eksekutif dan tanggungjawab atau portfolio jabatan tertentu di DBKL. Dengan cara itu Azman berpendapat setiap wakil rakyat akan mempunyai suara di DBKL.
Pandangan Azman itu boleh diberikan pertimbangan dan perhalusi oleh menteri yang baharu dengan mengambil kira penyertaan daripada wakil masyarakat.
Ahli lembaga penasihat yang dilantik mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan seimbang yang memberi keutamaan kepada keperluan komuniti setempat dan bukan sekadar mengisi jawatan politik.
Justeru wajar ada penyertaan daripada orang awam menerusi badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan pembangunan komuniti mampan.
Kali terakhir pilihan raya PBT diadakan ialah pada 1963. Ia kemudian digantung sementara dan dimansuhkan pada 1973. Kini terdapat 151 PBT di seluruh negara dan 19 daripadanya bertaraf majlis bandar raya atau dewan bandar raya.-UTUSAN
Penulis sebelum ini pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia.










