PETALING JAYA: Polis melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden melontar molotov cocktail di kediaman Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak semalam.
Ia termasuk kemungkinan mempunyai kaitan dengan komen dikeluarkan Ahli Parlimen Beruas itu berhubung isu campur tangan hal ehwal agama Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan kontinjen Perak termasuk memanggil saksi-saksi berkaitan.
Katanya, pihaknya melihat pelbagai elemen dalam siasatan termasuk kemungkinan disebabkan kenyataan dikeluarkan Koo Ham tempoh hari.
“Kita sedang kenal pasti sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan komen beliau atau sebaliknya. Polis sedang memanggil saksi-saksi berkaitan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Razarudin meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terutama mengaitkannya dengan sentimen agama.
Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Terdahulu, polis merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes kebakaran rumah Koo Ham yang dipercayai berunsur khianat, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat.
Kelmarin, beliau mengesahkan polis membuka kertas siasatan terhadap insiden berkenaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.
Siasatan awal di tempat kejadian menemukan satu botol disyaki molotov cocktail yang dipercayai menjadi punca kebakaran tiga kereta milik Penasihat DAP Perak itu di kediamannya.
Ketika kejadian, Koo Ham dan isterinya sedang tidur di tingkat atas sebelum terjaga kerana deringan loceng rumah berkali-kali oleh jiran mereka. – UTUSAN










