PETALING JAYA: Bursa Malaysia melantun semula daripada kerugian semalam, apabila dibuka lebih tinggi hari ini menjejaki rali di Wall Street di tengah-tengah sesi dagangan yang barhati-hati ketika peniaga menunggu data inflasi baharu Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.31 mata kepada 1,491.17 daripada 1,486.86 penutup semalam. FBM KLCI dibuka 0.29 mata lebih baik pada 1,487.15.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 189 berbanding 145, manakala 291 lagi kaunter tidak berubah, 1,593 tidak diniagakan dan 29 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 293.88 juta unit bernilai RM113.12 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berikutan rali semalaman Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 171 mata manakala Nasdaq melonjak 112 mata lebih tinggi dengan hasil 10 tahun AS ditutup lebih tinggi pada 4.03 peratus.
Beliau berkata, di Hong Kong, Indeks Hang Seng bagaimanapun terus merosot disebabkan oleh kekurangan pemangkin.
“Namun begitu, penurunan dalam hasil bon 10 tahun China telah mendorong jangkaan mengenai penurunan kadar faedah,” katanya.
Mengenai pasaran domestik, beliau menjangkakan kemunculan `pemburu murah’ dan menjangka Indeks berlegar dalam julat 1,485 hingga 1,495 disokong oleh minat dalam saham-saham berkaitan perbankan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. menokok satu sen kepada RM9.01, Petronas Chemicals Group Bhd. meningkat satu sen kepada RM7.01.
Public Bank Bhd. pula menambah dua sen kepada RM4.33, CIMB Group Holdings Bhd. menokok empat sen kepada RM5.99, manakala Tenaga Nasional Bhd. tidak berubah pada RM10.48. – UTUSAN










