ARAU: Kartel dalam industri beras negara wujud dan sedang menipu pengguna dan kerajaan sekali gus menyaksikan kelemahan penguat kuasa yang tidak berupaya menentukan antara beras tempatan dan import.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kartel yang dimonopoli syarikat-syarikat besar yang mempunyai kilang-kilang padi serta pemborong sendiri di bawah penguasaan mereka wujud sejak sekian lama.
Oleh itu, menurut beliau, isu kekurangan bekalan beras berlaku apabila mereka menukar gred atau mencampur beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan.
“Aktiviti kartel dalam industri beras sedang menipu pengguna dan kerajaan sekali gus menyaksikan kelemahan di peringkat penguat kuasa yang sukar menentukan yang mana satu beras tempatan atau import.
“Kelemahan penguat kuasa yang tidak dapat membezakan antara beras import dan beras tempatan itu menyebabkan penguat kuasa sukar mengambil sebarang tindakan kepada aktiviti menukar label beras,” kata beliau.
Menurut beliau, isu kekurangan beras tempatan contohnya, tidak sepatutnya berlaku memandangkan pengeluaran beras tempatan di negara adalah melebihi 65 peratus.
“Seperti saya cakap, tidak sampai sebulan masalah ketiadaan beras tempatan ini kembali berlaku. Kerana apa ia berlaku, sudah pasti permainan kartel-kartel ini.
“Mereka (kartel) akan membeli beras tempatan dengan pemborong-pemborong yang juga di bawah penguasaan mereka kemudian menukar gred menjadi beras import yang harga jauh lebih tinggi berbanding tempatan.
“Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu menyeragamkan beras menjadi satu gred sahaja seterusnya menetapkan harga agar masalah manipulasi ini tidak berlaku,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.
Dakwa Marzukhi, syarikat terlibat juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka termasuk mengeluarkan benih dengan kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengenepikan arahan kerajaan.
Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan itu dan memaklumkan pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai jenis lesen secara jelas menunjukkan tiada kewujudan kartel atau mafia yang didakwa mampu memonopoli industri padi dan beras.
Menurut kenyataan itu, antara lesen-lesen yang dikeluarkan adalah meliputi Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).
Sementara itu, Marzukhi berkata, dalam menangani isu kartel yang memonopoli itu, semua kilang padi di Malaysia perlu sepakat khususnya dalam aspek pembelian padi.
Katanya, terdapat kilang-kilang besar yang bersaing sesama sendiri membeli padi dengan harga lebih RM1,300 sehingga RM1,700 dan sudah pastinya mustahil boleh menjual beras pada harga RM26 sekilogram.
“Disebabkan itu, kartel-kartel yang bersaing membeli padi dengan harga tinggi itu kemudian memanipulasi dengan menukar gred beras untuk mendapat keuntungan.
“Disebabkan itu, semua kilang yang masih aktif sekitar 150 pemegang lesen itu kena sepakat, jika tidak masalah kartel ini tidak akan selesai dan terus berlarutan,” katanya. – UTUSAN










