Jadi maskot modus operandi mengemis terkini

Jadi maskot modus operandi mengemis terkini

PENGUAT kuasa JKM memeriksa pemakai maskot yang menjalankan kegiatan di sekitar Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dahulu si pengemis di kaki lima jalan atau kawasan tumpuan lazimnya mengenakan pakaian lusuh, compang-camping atau koyak rabak bagi menarik simpati masyarakat.

Namun kini, senario itu berubah yang mana pemakaian maskot terutama beridentiti figu­ra animasi terkenal dilihat lebih ‘bersih’ untuk mendekati orang ramai terutama keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

Trend itu semakin menular di kawasan pelancongan di Me­laka terutama Banda Hilir termasuk pasar-pasar malam. Ada yang memakai maskot sekadar ­berdiri melambai-lambaikan ta­ngan kepada pelancong sambil meletakkan bakul sumbangan di hadapan mereka.

Ada juga yang mendekati orang ramai menawarkan perkhid­matan bergambar de­ngan bayaran, selain menjual beberapa barangan yang me­nyasarkan perhatian kanak-kanak seperti belon.

Mengulas perkara itu, Pe­ngarah Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) negeri, Zulkifli Hanifah berkata, kegiatan sedemikian sama sahaja seperti aktiviti mengemis yang boleh diambil tindakan mengikut Akta Orang-orang Papa 1977.

Memberitahu Utusan Malaysia, beliau berkata, sekiranya individu terlibat tidak mempunyai permit yang kebiasaannya dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka dianggap berpeleseran di tempat awam dan berpotensi menyebabkan kacau ganggu.

“Kalau tidak ada permit maknanya pelaku tidak mengikut undang-undang, daripada sisi JKM kita anggap dia ‘orang papa’ yang sedang mencari duit. Kita anggap mereka berpelese­ran di tempat awam yang boleh menyebabkan kacau ganggu.

“Mereka ini berpotensi mendatangkan kegusaran kepada masyarakat tentang aktiviti meminta-minta dengan meletakkan bekas bagi tujuan sumbangan. Lebih parah ada yang bawa bekas itu meminta-minta kepada orang awam,” katanya.

Tambah Zulkifli, pihaknya memandang serius perkara itu bagi mengelakkannya menjadi norma atau kebiasaan di tempat-tempat awam.

Jelasnya, lebih ­merisaukan seandainya modus ­operandi berkenaan dimanfaatkan sin­diket dengan menyasarkan eksploitasi terhadap kanak-kanak, orang tua atau warga ­asing memandangkan identiti seseorang itu terselindung ketika mengemis.

“Hasil pemantauan dan pe­nguatkuasaan yang dilakukan, kita mendapati mereka ini boleh memperoleh kutipan antara RM200 hingga RM500 hanya dalam tempoh tiga jam mengemis. JKM risau jika trend ini berterusan ia bakal menjadi satu budaya tidak sihat,” tegas­nya.

Pada 2023, kira-kira 45 kes eksploitasi kanak-kanak dikesan di negeri ini dengan 30 kes merupakan kes berulang termasuk membiarkan anak-anak melakukan aktiviti menjaja buah-buahan, ber­nyanyi dan menjual tisu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×