APA yang berlaku di Palestin sememangnya satu kezaliman dan pencabulan terhadap hak asasi manusia yang paling jelas. Bumi Palestin bukan sahaja diceroboh secara haram, malah rakyatnya secara konsisten dizalimi dengan pelbagai cara.
Keganasan terbaharu yang dilakukan terhadap rakyat Palestin amat jelas mencerminkan wajah zalim dan tidak berperikemanusiaan Israel.
Palestin dalam sejarahnya, sememangnya bumi yang panas. Sejak ribuan tahun Baitulmaqdis atau Jerusalem khususnya menjadi rebutan kuasa-kuasa besar dan agama-agama utama dunia.
Menurut kajian Eric H. Clines, sejarawan dan ahli arkeologi di George Washington University, Jerusalem telah diserang sebanyak 52 kali, dikepung sebanyak 32 kali dan ditawan sebanyak 44 kali. Tidak hairanlah pemimpin agung Islam, Salahuddin al-Ayubi yang berjaya merampas Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada tahun 1187M mengatakan siapa yang menguasai Baitulmaqdis akan menguasai dunia.
Namun seperti yang dibuktikan sejarah, usaha untuk menguasai Baitulmaqdis bukanlah satu perkara yang mudah. Salahuddin sendiri dapat menguasai Baitulmaqdis selepas melalui perjuangan yang amat getir.
Malah untuk sampai kepada kemenangan Salahuddin, sejarah telah membuktikan bahawa persiapan bagi membina kekuatan umat Islam telah dibuat lebih awal oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang besar sebelumnya.
Perkara ini dinukilkan misalnya oleh Dr. Majid Irsan Kaylani dalam kajiannya mengenai sejarah kemenangan Salahuddin melalui buku yang bertajuk Kebangkitan Generasi Salahuddin dan kembalinya al-Aqsa ke Pangkuan Islam.
Dalam buku ini Dr. Majid Irsan yang telah menganalisa dengan mendalam faktorfaktor yang membawa kepada
kemenangan Salahuddin dan beliau merumuskan beberapa dapatan menarik.
Pertamanya, tokoh yang bernama Salahuddin bukanlah tiba-tiba muncul dari vakum Sejarah, akan tetapi beliau sebenarnya lahir dari satu generasi yang sememangnya mempunyai kekuatan yang luar biasa dari pelbagai segi.
Kedua, kekuatan paling utama yang telah melahirkan generasi Salahuddin sebenarnya ialah kekuatan ilmu, pemikiran dan akhlak.
Kekuatan inilah yang akhirnya mencetuskan kekuatan dalam bidang lain seperti bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan termasuklah kekuatan ketenteraan.
Ketiga, persiapan untuk melahirkan kekuatan generasi unggul ini sebenarnya telah dilakukan seratus tahun lebih awal sebelum munculnya Salahuddin.
Ia dimulakan melalui usaha pembaharuan oleh tokoh-tokoh ilmuwan terdahulu seperti Imam al-Ghazali dan Abd. al-Qadir
al-Jilani.
Usaha pembaharuan itu berlaku apabila Imam alGhazali melakukan perubahan pemikiran melalui karya-karya beliau seperti Ihya ’Ulum al-Din bagi merubah suasana yang begitu ekstrem dalam pelbagai bidang kehidupan di semua peringkat pada zaman itu.
Perubahan ini bermula dengan perubahan ilmu, akhlak dan pemikiran – yang akhirnya memberi kesan kepada bidang lain seperti politik, ekonomi, sosial dan pendidikan.
Usaha Imam al-Ghazali ini disambut oleh Abd. al-Qadir Jilani yang telah mendidik masyarakat zamannya untuk membersihkan hati bagi melahirkan akhlak murni di samping mengamalkan syariah Islam dengan betul jauh dari ciri ekstremisme.
Pengajaran al-Jilani ini telah melahirkan pelbagai bentuk madrasah pengajian yang mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat pada masa tersebut.
Pengaruh kuat Abd al Qadir Jilani inilah akhirnya telah memberi kesan kepada pemerintah pada zaman itu termasuklah kepada Salahuddin al-Ayubi yang mempamerkan kekuatan yang bersepadu antara ketokohan kepimpinan, kedalaman ilmu dan kehalusan budi pekerti.
Pengamatan mengenai kehebatan Salahuddin dan persiapan ilmu dan akhlak ilmuwan zamannya juga dikongsi oleh seorang lagi pengkaji Dr. Ali Sallabi yang menulis tiga jilid buku mengenai Salahuddin al-Ayubi.
Di dalam karyanya, Ali menceritakan kehebatan Salahuddin hasil dari latar ilmu dan akhlak yang dilaluinya sehingga tercermin sifat-sifat unggul seperti takwa, keadilan, keberanian, kedermawanan, kesabaran dan keikhlasan.
ILMU
Ali juga merumuskan bahawa tiada usaha kebangkitan yang akan berjaya dalam sejarah tanpa kekuatan ilmu dan kata-kata yang ditulis dengan pena dan disebut dengan lidah.
Ini kerana, tambah Ali, pena akan melahirkan pedang, lidah akan melahirkan tombak dan buku-buku akan melahirkan gerombolan tentera.
Dari kajian dua ilmuwan di atas, jelas bahawa usaha untuk mengembalikan kegemilangan tamadun umat Islam termasuk
mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat Islam bukanlah sesuatu yang mudah dan dapat dicapai dalam masa yang pendek.
Sifir sejarah mengenai jatuh bangunnya peradaban mengajar kita bahawa kemunculan kuasa baharu yang kuat dalam kalangan umat Islam atau mana-mana masyarakat harus bermula dengan perubahan dalam bentuk ilmu dan pemikiran dan akhlak.
Walaupun kelihatan kehebatan kuasa-kuasa besar lebih jelas kepada kekuatan ketenteraan, namun disebalik kekuatan itu, teras dan sumber yang paling utama serta yang lebih kekal dan berpengaruh terhadap sesebuah bangsa juga tamadun terletak kepada kekuatan ilmu.
Apabila tentera Monggol yang ganas berjaya menawan Baghdad, kota keilmuwan Islam pada 1258, mereka akhirnya di‘Islam’kan oleh ketinggian ilmu dan adab Islam.
Perkara yang sama berlaku terhadap tentera biadab Jerman yang berjaya menawan sebelah barat Empayar Rom pada abad ke-4.
Berdasarkan ibrah sejarah tamadun di atas, tiada jalan pintas untuk umat Islam bangkit menawan semula Baitulmaqdis dan menyelesaikan kemelut di Palestin melainkan berusaha dengan bersungguh-sungguh membina semula generasi unggul yang baharu sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali melalui reformasi ilmu hingga melahirkan generasi yang melahirkan Salahuddin.
Walaupun perjalanannya panjang dan berliku, namun inilah satu-satunya sifir yang melahirkan keunggulan peradaban yang harus diikuti bagi mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat Islam. – UTUSAN
DR. MOHD FARID MOHD SHAHRAN ialah Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










