KANGAR: Di sebalik sektor pelancongan Perlis yang melonjak dan menjadi tumpuan pelancong, kerajaan negeri bagaimanapun belum menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) khususnya sempena pelaksanaan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Mengikut data, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah menghantar surat kepada MOTAC memohon peruntukan sebanyak RM4 juta.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga kini masih tiada jawapan diterima.
Katanya, peruntukan yang dimohon adalah bertujuan bagi menaik taraf lokasi-lokasi pelancongan di negeri ini bagi persediaan sebagai penganjur TMPs 2024/2025.
“Untuk pelaksanaan TMPs, persediaan kebanyakan dilakukan oleh kerajaan negeri dengan usaha rakyat sendiri bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya.
Menerusi penganjuran TMPs 2024/2025, kerajaan negeri menyasarkan seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis pada tahun ini yang menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, negeri-negeri lain yang turut menganjurkan tahun melawat seperti Perak dan Melaka sudah menerima peruntukan masing-masing daripada MOTAC.
“Sebagai contoh Perak telah menerima peruntukan sebanyak RM2 juta manakala Melaka pula menerima sebanyak RM7 juta namun Perlis belum menerima sebarang peruntukan daripada MOTAC.
“Sebelum ini pun memang Perlis ada menerima peruntukan untuk FRIM sebanyak RM500,000 namun ia bukannya diberikan melalui kerajaan negeri,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri berharap MOTAC dapat menyegerakan pemberian peruntukan berkenaan bagi membantu menjayakan TMPs.
“Kita hanya mahu menaik taraf infrastruktur di lokasi-lokasi pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong ke sini,” katanya. – UTUSAN










