KHAMIS lalu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mempertahankan tulisan beliau pada 28 Disember 2022 bertajuk Ramai juga yang turut terkejut! yang ditegur kerana dikatakan mengandungi banyak pernyataan bombastik yang kabur dan tidak disertakan dengan perincian atau fakta.
Contoh pernyataan dalam tulisan Dzulkifli yang dikatakan menimbulkan persoalan ialah perasuah teman setia terus bersemi, rasuah membentengi perpaduan, ada yang alpa akan janji lama, cakap tidak serupa bikin, negara bertambah miskin dan natijah kepada semua ini, rakyat membenci.
Dzulkifli dalam tulisan terbaharu menghujahkan bahawa penulisan awam adalah berbeza daripada penulisan ilmiah kerana penulisan awam adalah ringkas tanpa memerlukan butiran rujukan dan sebagainya kerana huraian yang dibenarkan terhad hanya 800 perkataan lazimnya.
Menurut Dzulkifli, penulisan awam adalah pendek, padat dan ringkas demi mencungkil kebenaran serta diandai dan difahami sebagai berdiri atas bukti-bukti kukuh semasa serta petikan dan rujukan tersendiri walaupun tidak diumumkan.
Bagi menguatkan hujahnya, Dzulkifli memetik tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan dalam buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu berbunyi, tiada nama atau identiti dicatat atau ditanya sebagai bukti, kerana ia bagai sudah terang lagi bersuluh.”
Saya telah meneliti versi bahasa Inggeris buku Mohd. Kamal, Corruption and Hypocrisy in Malay Muslim Politics, yang setebal 276 muka surat dan saya berpendapat bahawa petikan yang digunakan oleh Dzulkifli tidak memberikan gambaran yang adil dan tepat kepada buku Mohd. Kamal.
Buku Mohd. Kamal dipenuhi dengan nama atau identiti sebagai bukti penguat hujah. Contohnya, dalam Bab 1 ada dipetik nama atau identiti Sultan Perak, Sultan Selangor, Tan Sri Johan Jaaffar, Tan Sri Lee Lam Thye, Profesor Datuk Dr. Ishak Ismail, Profesor Datuk Dr. Hasnah Haron, Dr. Ilyas Abdullah, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, Dr. Muhammad Mohan, Ivlynn Yap, Kua Kia Soong, Datuk Hussamuddin Yaacub, Nathaniel Tan, Tun Musa Hitam dan Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Mengenai keberleluasaan rasuah di Malaysia, Mohd. Kamal memperkatakan dengan terbuka tentang skandal 1MDB dengan meminta pembaca bukunya meneliti buku tulisan Tom Wright dan Bradley Hope bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World. Beliau juga memetik hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Funds sebagai bukti keberleluasaan rasuah di Malaysia.
Bagaimanapun, berbeza dengan Mohd. Kamal, Dzulkifli sekali lagi membuat sindiran atau innuendo ke atas pemimpin Kerajaan Perpaduan dengan berkata hanya dengan bertempik sahaja, tetapi masih terang-terangan bergelumang dengan tabiat yang merosakkan siang dan malam tidak memadai.
Sindiran atau innuendo lain ialah pemimpin Kerajaan Perpaduan membuat sekadar reformasi acuh tak acuh yang menjadi kupasan begitu nyata kepada yang celik mata hati dan akal budi seperti ulasan The Economist terkini pada 31 Disember tahun lalu.
Harus diakui bahawa penulisan awam adalah ringkas kerana huraian yang dibenarkan terhad hanya 800 perkataan lazimnya, tetapi ruang lingkup ini masih boleh digunakan untuk memberikan bukti-bukti kukuh yang tidak boleh diandai sebagai mampu berdiri sendiri.
Masih terang-terangan bergelumang dengan tabiat yang merosakkan siang dan malam- adalah tuduhan serius yang memerlukan pembuktian, walau hanya dalam satu perenggan, apakah ‘tabiat yang merosakkan’ itu dan siapakah pelakunya bagi mengelakkan fitnah berleluasa.
BUKTI
Tiada sebarang bukti wujud bahawa amalan rasuah masih berleluasa dalam Kerajaan Perpaduan.
Dan bagaimana mungkin boleh dikatakan bahawa pemimpin Kerajaan Perpaduan hanya bertempik sahaja memerangi rasuah sedangkan dalam tempoh setahun ini sudah banyak reformasi institusi dan tatakelola baik yang dilaksanakan, termasuk mewajibkan projek cakna rakyat dan berimpak tinggi dilaksanakan secara tender, memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan?
Apakah wajar pelaksanaan banyak reformasi institusi dan tatakelola baik dalam tempoh yang singkat ini boleh dikesampingkan sebagai sekadar reformasi acuh tak acuh semata-mata?
Sama dengan tulisan Dzulkifli, rencana The Economist yang beliau petik juga mengandungi banyak pernyataan bombastik yang kabur yang tidak disertakan dengan perincian atau fakta. Antaranya ialah bahawa Anwar has yet to engage in serious policy dan the courts remain prone to political interference.
Sukar difahami bagaimana The Economist boleh berkata Anwar masih belum memperkenalkan dasar serius tatkala beliau telah mengumumkan banyak dasar baru seperti Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021- 2025.
Begitu juga dakwaan The Economist bahawa mahkamah-mahkamah Malaysia masih tertakluk kepada campur tangan politik yang menuduh bahawa institusi kehakiman di Malaysia tidak bebas sedangkan banyak bukti menunjukkan bahawa mahkamah-mahkamah Malaysia bertindak bebas, termasuk dengan membuat keputusan-keputusan yang menyukarkan Kerajaan Perpaduan.
The Economist juga seolah-olah mahu merenggangkan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti-parti politik lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan dengan memetik penyokong tidak bernama kepada Anwar sebagai berkata strategi Anwar ialah memastikan PH memerintah sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk membuat reformasi serius.
Bagaimanapun, The Economist boleh dimaafkan jika membuat analisis yang tidak tepat atau jauh lari berbanding realiti semasa di Malaysia kerana ia adalah majalah asing yang ditulis oleh warganegara asing yang mungkin tidak mendapat maklumat betul mengenai apa yang berlaku di Malaysia tetapi jika warganegara Malaysia sendiri membuat analisis begini, ia sukar dimaafkan.
DR. Nik Mawardi Mohamed ialah Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).-UTUSAN










