Berapa lama mahu biar rakyat tanpa warganegara di sebalik ‘tirai besi’?

Berapa lama mahu biar rakyat tanpa warganegara di sebalik ‘tirai besi’?

WARGANEGARA berumur 12 tahun ke atas diberikan kad pengenalan biru yang menjadi tanda pemilikan haknya untuk bernegara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP negara bergantung kepada perlindungan undang-undang domestik serta antarabangsa untuk memelihara kedaulatan. Sesebuah negara yang berdaulat bukan sahaja akan berusaha untuk memelihara sempadan daripada dicerobohi pihak luar tetapi juga akan mengambil langkah untuk mengawal kegiatan yang berjalan dalam sempadannya.

Langkah yang penting bagi sesebuah negara berdaulat adalah untuk mengambil keputusan mengenai pendaftaran individu yang berada dalam sempadannya.

Keputusan mengenai status individu yang berada dalam sempadan sesebuah negara menjadi tanda kuasa dan kedaulatan negara. Keputusan yang diambil oleh negara akan membolehkan sumber-sumber ekonomi yang terhad diagihkan mengikut tatatingkat hak individu yang mendiami sesebuah kawasan.

Negara boleh mengambil keputusan berdasarkan faktor seperti kelahiran manusia di sesebuah lokasi (jus soli) atau pertalian individu dengan ibu dan bapanya yang sudah berdaftar sebagai warganegara atau pemastautin tetap (jus sanguinis).

Kewarganegaraan membolehkan seseorang individu menetap secara kekal dalam sesebuah negara, mungkin negara sendiri atau pilihan yang membenarkannya menetap menerusi visa yang diberikan atas dasar kewarganegaraannya di negara asal.

Kewarganegaraan menjadi asas kepada hak untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti ekonomi, pendidikan serta perubatan. Selain itu, ia turut menjadi titik permulaan membolehkan seseorang mewakili negara sendiri sebagai anak bumi pertiwi contohnya dalam sukan, persidangan politik dan aktiviti pelancongan.

Hak untuk bernegara dilindungi bawah Perisytiharan Hak Manusia Sejagat 1948. Menurut Perkara 15 perisytiharan tersebut, setiap orang berhak kepada suatu kewarganegaraan. Namun, kewarganegaraan merupakan hubungan dua hala. Seseorang dewasa yang layak diiktiraf sebagai warganegara juga perlu mempunyai kerelaan untuk memikul tanggungjawab kewarganegaraannya.

PERLEMBAGAAN
Di Malaysia, kerakyatan diberikan menerusi prinsip jus soli dan jus sanguinis. Sesungguhnya, pemberian status kewarganegaraan adalah sesuatu yang penting untuk dikawal selia oleh kerajaan yang bebas, berdaulat dan berkuasa. Keputusan untuk menentukan individu yang layak menerima status kewarganegaraan tidak boleh diambil remeh. Namun demikian, keputusan berkaitan penafian pula berpotensi mengakibatkan hak seseorang individu tergugat.

Secara umumnya, sekiranya seseorang tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan asing dan turut dinafikan kewarganegaraan di negara kediamannya, individu tersebut dianggap mempunyai status tidak bernegara.

Bagi individu yang tidak bernegara di Malaysia, aspek-aspek kehidupan seperti kebebasan melanjutkan pelajaran, bekerja secara sah dan melancong ke luar negara adalah di luar genggaman mereka. Golongan ini ibarat banduan dan sempadan negara merupakan tirai besi mereka. Mereka hidup tersisih di pinggir masyarakat.

Kini, Perlembagaan Persekutuan masih memberikan perlindungan undang-undang kepada individu yang terdedah kepada risiko selaran status tidak bernegara. Perlindungan oleh Perlembagaan Persekutuan disokong dengan usaha badan bukan kerajaan seperti Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA). Contohnya, DHRRA menyokong ramai kanak-kanak bawah 21 tahun dalam permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan menerusi saluran yang dibenarkan bawah Bahagian II dan III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Pada 2023, Kementerian Dalam Negeri telah memperkasakan cadangan pindaan tertentu terhadap Perlembagaan Persekutuan. Antara pindaan yang dicadangkan merupakan pemindaan yang meluaskan lagi golongan yang berisiko tergolong sebagai individu tidak bernegara. Hal ini disebabkan pindaan yang dicadangkan akan membenarkan kuasa untuk menawarkan kerakyatan bagi golongan rentan beralih daripada pelaksanaan undang-undang kepada keputusan eksekutif pegawai kerajaan.

Pada 11 Disember 2023, Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan mengenai tujuh pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pindaan ini termasuklah pemansuhan Seksyen 1(e) dan Seksyen 2(3) Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang kini memberikan kewarganegaraan secara pelaksanaan undang-undang kepada individu yang akan mempunyai status tidak bernegara selain daripada peruntukan tersebut. Pindaan lain yang dicadangkan ialah pemansuhan perlindungan Seksyen 1(a) Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang kini membenarkan anak-anak pemastautin tetap yang lahir di Malaysia untuk menjadi warganegara menerusi pelaksanaan undang-undang.

Selain itu, pindaan yang menjadi punca kerisauan Majlis Peguam ialah pelucutan hak kanak-kanak yang dijumpai tetapi ditinggalkan untuk mendapat kewarganegaraan secara pelaksanaan undang-undang bawah anggapan yang terkandung dalam Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan. Pindaan yang dicadangkan akan mengehadkan pemberian kewarganegaraan kepada golongan ini menerusi pelaksanaan undang-undang.

CADANGAN
Antara cadangan yang diberikan DHRRA Malaysia adalah penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti isu identiti individu yang tidak bernegara di Malaysia. Sesungguhnya penubuhan jawatankuasa undang-undang khas yang terdiri daripada pakar undang-undang daripada pihak kehakiman, peguam negara dan peguam bela untuk meneliti isu-isu ini wajar dipertimbangkan. Hal ini disebabkan, apa-apa langkah yang akan meluaskan golongan tidak bernegara yang mendiami Malaysia akan menyebabkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia dalam sempadan negara tercinta.

Namun, sama ada pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan diluluskan oleh Parlimen ataupun tidak, terdapat keperluan untuk menambah perlindungan yang diberikan kepada kanak-kanak yang berisiko untuk memikul status tidak bernegara.

Penubuhan Pejabat Ombudsman berpotensi untuk memantau keputusan kerajaan mengenai pemberian kewarganegaraan dan dapat mengurangkan kegusaran pihak berkepentingan.

Di Amerika Syarikat (AS), Ombudsman bagi Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen (CIS Ombudsman) tidak membuat keputusan berkaitan kewarganegaraan tetapi berkuasa untuk memantau isu-isu prosedur seperti kesukaran mendapat temu duga dan juga kelewatan memproses maklumat.

Sesungguhnya, penubuhan Ombudsman untuk menyelia pematuhan terhadap keadilan dari segi prosedur merupakan sesuatu yang penting kerana dapat memantau jangka masa memproses maklumat, kerumitan kertas kerja yang diperlukan serta pemberian sebab-sebab yang jelas untuk penolakan apa-apa permohonan.

Oleh itu, institusi Ombudsman ini mampu menyokong usaha pihak kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara kedaulatan negara dan perlindungan hak asasi individu.-UTUSAN

PENULIS ialah Penyelidik Kanan di ASEAN Research Center, Asia School of Business Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×