Ilmu tanpa akhlak adalah seperti burung tanpa sayap

Ilmu tanpa akhlak adalah seperti burung tanpa sayap

Kesukaran belajar di universiti kadangkala tidak setara dengan pekerjaan yang diperoleh selepas menamatkan pengajian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era kemajuan teknologi yang pesat dan aliran maklumat yang tidak berkesudahan, universiti berada di perhentian penting – satu perhentian yang menuntut keseimbangan halus antara kecemerlangan akademik dan pemupukan jiwa dan semangat yang mendalam daripada pelajar mereka.

Inilah perkara utama yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), iaitu cabaran untuk melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya serta yang kukuh jiwa dan semangatnya.

Kebimbangan Perdana Menteri ini ada asasnya kerana satu kajian terkini yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2023 menunjukkan penurunan pengetahuan etika dan kurangnya penghargaan terhadap impak etika dalam kalangan pelajar.

Penemuan kajian ini mengajak komuniti akademik global untuk merenung bersama mengenai kesan yang mungkin hadir apabila sistem pendidikan terlalu menekankan kecemerlangan tanpa memperhatikan aspek jiwa.

Justeru, adalah penting bagi institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memastikan bahawa pendidikan tidak hanya memberi pengetahuan teknikal tetapi juga membentuk individu yang mempunyai bakat unik dan etika tinggi untuk menghadapi cabaran global.

Secara asasnya, penerimaan konsep jiwa adalah untuk faedah semua diselaraskan sepenuhnya dalam kehidupan akademik. Falsafah ini diintegrasikan dengan lancar di universiti, memberikan inspirasi kepada pelajar untuk menyedari kepentingan memberi sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat.

Satu inisiatif utama yang mencerminkan nilai ini ialah program Pelajar Untuk Masyarakat (S4S), hasil usaha KPT dengan kerjasama semua universiti. Berdasarkan program ini, fakulti melibatkan pelajar dalam pelbagai aktiviti khidmat masyarakat yang memberikan kredit kepada mereka.

Selain itu, program pengantarabangsaan pelajar juga perlu diberi perhatian agar pelajar didedahkan dengan jaringan global seperti membenarkan lebih ramai pelajar membuat latihan industri di luar negara pada jangka masa tertentu.

Penyediaan bakat merupakan elemen penting dalam memastikan perkembangan holistik individu seperti yang dilakukan KPT. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa aspek utama termasuk pembangunan sahsiah, sokongan dan pengalaman pembelajaran, kebolehpasaran graduan dan akses pendidikan tinggi.

Pembangunan sahsiah misalnya melibatkan pembentukan nilai, etika dan sikap positif dalam diri seseorang. Institusi pendidikan dan organisasi kemasyarakatan dapat memberikan latihan dalam kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab untuk memupuk sikap yang matang dan bertanggungjawab.

Seterusnya, sokongan pembelajaran adalah penting untuk memastikan individu mencapai potensi maksimum dalam pembelajaran. Penyediaan guru, bahan pembelajaran yang berkualiti dan sokongan pendidikan khas bagi individu yang memerlukan adalah berapa contoh cara penyediaan bakat yang dapat memastikan sokongan pembelajaran yang efektif.

Sebagai pengukur kejayaan sesebuah IPT, kebolehpasaran graduan adalah asas utama yang memberi fokus pada persediaan individu untuk memasuki pasaran pekerjaan dengan kemahiran yang relevan dan diperlukan oleh industri.

Kursus-kursus yang menyelidik dan memahami trend pekerjaan semasa, memberikan latihan praktikal dan menyediakan peluang untuk memperluas rangkaian profesional dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Terakhir, akses pendidikan tinggi adalah aspek penting dalam memastikan setiap individu memiliki peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan berkualiti. Pelbagai program bantuan kewangan, biasiswa dan inisiatif untuk mengurangkan hambatan akses boleh membantu individu dari pelbagai lapisan masyarakat untuk mengejar pelajaran tinggi dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Contoh yang menginspirasikan ialah Program Pembangunan Pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dikenali sebagai Program Tujuh Teras (Seven Pillars) yang terkandung dalam strategi kemenjadian mahasiswa UniMAP. Program ini secara tersiratnya menyemai kemahiran-kemahiran luar kuliah seperti komunikasi, kepimpinan dan keusahawanan.

IMBANG
Terkini dalam menghadapi cabaran perkembangan digitalisasi terutama berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), data raya dan keselamatan siber, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam ucapannya menggariskan beberapa aspek utama yang perlu diberikan perhatian dalam memajukan lagi pendidikan tinggi.

Pertamanya, persaingan dalam pendidikan tinggi masih merupakan cabaran yang belum dapat diatasi sepenuhnya. Dalam konteks ini, usaha intensif diperlukan untuk meningkatkan kualiti dan keunggulan institusi pendidikan tinggi negara. Keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan juga merupakan aspek penting, terutama dalam menghadapi perkembangan pesat dalam bidang digital, transisi teknologi dan peralihan tenaga.

Selain itu, pengurusan dan tatakelola yang baik di peringkat institusi pendidikan tinggi adalah kekunci untuk mencapai kemajuan yang berterusan. Ini melibatkan penanggulangan ketirisan dalam projek-projek pendidikan yang mungkin merugikan dan tidak sepatutnya berlaku.

Menyelidik isu-isu peringkat nasional, terdapat keperluan untuk memberikan lebih banyak ruang dan sokongan kepada universiti termasuk peningkatan program-program yang lebih baik dalam jangka masa dua tahun untuk memastikan keberkesanan pendidikan tinggi di negara ini.

Dalam perjuangan mencapai kecemerlangan akademik yang diimbangi dengan pembangunan jiwa, kita diingatkan oleh kata hikmah yang mengatakan, ilmu tanpa akhlak adalah seperti burung tanpa sayap.

Ertinya, kecemerlangan akademik yang seimbang dengan nilai-nilai kemanusiaan dan etika adalah kunci untuk melahirkan generasi penerus yang tidak hanya cemerlang secara profesional, tetapi juga membawa kasih sayang dan kebijaksanaan kepada dunia yang semakin kompleks ini.

Sebagai institusi pendidikan, tugas kita adalah tidak hanya mencetak kecerdasan, tetapi juga membentuk karakter yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat dan menghadapi perubahan zaman dengan penuh empati dan kebijaksanaan.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×