Skandal publisiti: Dua bekas pemimpin tertinggi akan dipanggil

Skandal publisiti: Dua bekas pemimpin tertinggi akan dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin tertinggi dan pegawai kanan kepada pemimpin terlibat akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik sahaja penelitian beberapa dokumen berkaitan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan kerajaan terdahulu dilakukan Suruhanjaya itu.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, SPRM kini masih meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada kesemua syarikat terlibat,

Kata sumber itu, kesemua 14 pemilik syarikat dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dikenal pasti dan dipanggil bantu siasatan.

“Setakat ini, seramai 15 saksi juga telah dipanggil terdiri pegawai kerajaan jabatan terlibat dan agensi yang menguruskan dana tersebut.

“SPRM memerlukan masa bagi menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum kedua-dua pemimpin tersebut dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, lima buah lagi syarkat dikenal pasti menerima dana daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini menjadikan jumlah keseluruhan 14 syarikat terlibat dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikesan menerima dana antara RM5 juta sehingga RM50 juta.

Beberapa dokumen berkaitan yang mungkin membabitkan syarikat lain sedang dikesan SPRM.

Kesemua syarikat dan NGO tersebut dipercayai antara penerima peruntukan RM700 juta yang dibelanjakan dua pentadbiran kerajaan dalam tempoh itu.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, siasatan awal SPRM mendapati dana RM200 juta telah diperuntukkan kepada sembilan sya­­rikat dan sebuah pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO) bagi tujuan promosi dan publisiti dua pro­gram di bawah pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

Sembilan syarikat dan NGO berkonsepkan Islam itu dipercayai te­lah dilantik oleh sebuah agensi di bawah JPM bagi melaksanakan dua program di bawah dua pentadbiran sebelum ini.

Pada 2 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan terdahulu.

Siasatan dibuat SPRM berdasarkan maklumat awal seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November lalu.

Prabakaran meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×