MELAKA: Seorang pengutip kotak terpakai yang terlibat kemalangan di Jalan Bukit Katil di sini kelmarin tidak menyangka laporan bomba dibuatnya untuk membantu menaikkan semula motosikal roda tiganya yang terjatuh ke dalam parit, bertukar menjadi misi menyelamatkan nyawa.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Chong Min Yang, 58, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi ketika dia dalam perjalan pulang ke rumah selepas mengutip kotak di sekitar Bukit Katil.
Katanya, keadaan jalan yang gelap tanpa penghadang kon dan lampu amaran di lokasi kerja-kerja pembesaran pembetung menyebabkannya terbabas ke dalam parit.
“Saya tidak nampak tanda amaran, penghadang atau lampu di hadapan menyebabkan saya teruskan sahaja sehingga terjatuh ke dalam lubang yang besar. Saya terkejut kerana kejadian berlaku sekelip mata tetapi masih mampu untuk bangun dan memanjat tebing.

“Saya cuba menahan beberapa kenderaan tetapi tiada yang berhenti untuk menolong. Jadi saya berjalan kaki ke pasar mini 24 jam berhampiran untuk meminta bantuan dan membuat laporan bomba untuk menaikkan semula motosikal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kemalangan maut membabitkan tiga motosikal yang terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil dipercayai berpunca daripada tindakan orang awam mengalihkan kon penghadang jalan yang diletakkan kontraktor.
Dalam kejadian itu, mangsa, Haiqal Iman Mohd. Shahruddin Abdul Qayyum, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dua lagi mangsa, Min Yang dan Mohd. Zaim Bahrin, 31, masing-masing luka di kaki, cedera di kepala dan patah kaki kiri.
Tambah Min Yang, sebaik kembali ke lokasi kemalangan, dia terkejut apabila mendapati terdapat dua lagi motosikal turut berada dalam lubang tersebut.
“Saya bersyukur nyawa masih panjang kerana menunggang dengan perlahan ketika itu. Saya tidak sangka orang lain pun akan terlibat sama sehingga ada yang maut.
“Saya hanya mengalami luka di kaki dan bengkak pada bahagian paha. Saya berharap pihak berwajib akan mempertingkatkan keselamatan di lokasi terutama aspek pencahayaan,” ujarnya.
Sementara itu, kerja-kerja pembesaran pembetung di Jalan Bukit Katil dihentikan sementara waktu dan penghadang konkrit akan dibina serta merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, siasatan lanjut di lokasi nahas akan diteruskan walaupun pihak kontraktor telah mematuhi semua aspek keselamatan ditetapkan.
Kata beliau, kontraktor hanya dibenarkan memulakan kerja setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka.
“Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah selesai daripada segi kelulusan, tempoh dan syarat-syarat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. Namun, kita tetap akan buat siasatan bersama JKKP dan polis bagi mengenal pasti kelemahan yang ada sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Hari ini (semalam) juga kita akan pasang penghadang konkrit. Pihak kontraktor perlu mendapatkan kelulusan daripada JKKP dahulu sebelum menyambung semula kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi nahas kemalangan maut di Jalan Bukit Katil, semalam. – UTUSAN










