Guru novis perlu sentiasa ‘terdesak’ bila mengajar

Guru novis perlu sentiasa ‘terdesak’ bila mengajar

KPM prihatin mengenai kesukaran yang dihadapi oleh guru-guru berkait dengan penggunaan sistem SPPB. - GAMBAR HIASAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) baru-baru ini melaksanakan penempatan membabitkan 9,500 guru baharu sebagai langkah mengatasi kekurangan guru di seluruh negara.

Sebagai guru baharu atau guru novis, mereka perlu mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam proses pembelajaran dan pengajaran dengan memupuk semangat serta sentiasa ada rasa ‘terdesak’ dengan persekitaran sekolah, mengenal pasti bakat dan keupayaan murid.

Pengurusan pengetahuan bagi guru novis ialah segala kegiatan yang berstruktur untuk pengajaran dan pembelajaran melalui perkongsian maklumat serta penggunaan maklumat yang beretika. Penentu bagi kejayaan atau pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran adalah menguruskan maklumat dengan berhikmah dan berasaskan modal intelek yang merangkumi persaingan rohani, jasmani dan emosi.

Seseorang guru juga perlu bersedia mengajar apa jua subjek sekali pun. Biarpun diberi subjek yang bukan bidang, mereka seharusnya berlapang dada dan menguatkan azam untuk belajar bagi mendalami subjek baharu sebagai tugasan hakiki serta amanah.

Dalam persediaan mengajar, ia mengandungi maklumat berkaitan murid, matlamat yang hendak dicapai, isi kandungan yang hendak disampaikan, pentaksiran serta refleksi.

Persediaan rapi sangat penting dalam memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperoleh adalah berkualiti serta mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. Persediaan mengajar ini juga mampu melicinkan perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, makmal dan lain-lain.

Sebagai guru novis, mereka haruslah memastikan perjalanan proses pengajaran berjalan lancar. Dalam masa yang sama mereka perlu bersedia mempersiapkan diri sebelum memulakan tugasan mengajar. Persediaan mengajar ini juga secara tidak langsung mampu membantu guru lebih sistematik, lancar dan berkesan serta sekali gus mampu mengelakkan wujud ketidakselesaan ketika berada di dalam bilik darjah. Persediaan mengajar juga mampu membantu guru untuk memperingati isi pengajaran yang hendak disampaikan dengan baik tanpa sebarang kemusykilan.

Melalui persediaan mengajar ini juga, secara tidak langsung mampu membawa guru novis untuk merancang strategi pengajaran dan menyediakan alat bantu mengajar serta menggunakan alat tersebut dalam masa yang sesuai mengikut perancangan yang dibuat dalam persediaan mengajar.

Persediaan mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian dan penutup.

Guru novis ini pernah menjalani latihan mengajar dan mengetahui bagaimana proses persediaan dan pelaksanaan pengajaran. Pelaksanaan pengajaran merujuk kepada tindakan yang biasa dilakukan oleh guru dalam pengajaran di dalam bilik darjah. Ia merupakan satu proses pelaksanaan aktiviti yang melibatkan murid bagi mencapai objektif pembelajaran yang dirancang berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Pengajaran mempunyai tujuan tertentu iaitu dapat membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan murid ketika berada dalam kelas. Proses pengajaran melibatkan beberapa langkah seperti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan membuat penilaian.

Semua langkah ini mempunyai tujuan tertentu dalam menyebarkan ilmu secara lebih berkesan semasa pengajaran dilaksanakan. Bagi mencapai objektif terutamanya dalam perubahan tingkah laku, guru novis perlu sedar dan jelas tentang perubahan yang diingini.

Oleh itu, aktiviti yang dirancang perlulah bersesuaian dengan perubahan yang dikehendaki.

Antara perubahan yang dikehendaki ialah jenis pengetahuan yang diajar, kemahiran dan juga perubahan sikap.

Pengajaran bererti aktiviti yang dirancang oleh guru perlu dengan penuh teliti dan seterusnya melaksanakannya melalui pendekatan, strategi, kaedah, teknik serta aktiviti yang bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terhadap murid di dalam bilik darjah.

CUNGKIL PENGETAHUAN
Sebagai guru novis, mereka juga perlu bijak mencungkil pengetahuan sedia ada murid bagi membolehkan pelajar menjalani proses perubahan pengetahuan daripada konsep salah kepada konsep yang betul. Guru perlu bijak mengetahui dan menyelidik tahap penguasaan pembelajaran yang berbeza bagi setiap murid.

Setiap murid melalui proses pembelajaran yang berbeza mengikut persekitaran keluarga dan sekolah. Ini bermakna, kesediaan dan pengetahuan sedia ada murid bergantung kepada warisan dan pengaruh persekitaran yang mempengaruhi faktor pengalaman selain kematangan fizikal, mental, sosial dan emosi.

Guru perlu mengenal pasti dan mencungkil pengetahuan sedia ada murid bagi memastikan pembelajaran yang diajar pada hari itu berkesan dengan mencapai aspek kognitif, afektif dan psikomotor.

PENDIDIKAN KARAKTER
Guru baharu juga tanggungjawab dalam membentuk karakter murid. Pendidikan karakter merupakan pendidikan yang berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan ini bertujuan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara yang sejahtera melalui kurikulum yang terancang dan berstruktur.

Mereka perlu peka dengan istilah karakter kerana proses pengajaran boleh dilaksanakan sebagai satu slot masa yang khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

Pendidikan karakter juga melibatkan pembelajaran yang bersifat moral, etika serta boleh diintegrasikan dalam pengajaran harian, pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.

Pendidikan ini amat memberi makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab serta ke arah pembinaan karakter bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, guru novis seharusnya mempersiapkan fizikal serta mental selain menerima di mana sahaja mereka ditempatkan. Mereka bukan sahaja boleh mengajar, tetapi mampu untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja, murid, ibu bapa dan komuniti. Selain itu, kemahiran insaniah perlu diaplikasikan terutamanya kemahiran berkolaborasi dan berkomunikasi.

Beradaptasi dengan budaya tempat kerja mampu membantu mengembangkan peningkatan profesionalisme pada masa akan datang. Dengan melakukan hal ini, mereka dapat menjadi penyumbang yang berharga dalam menciptakan
lingkungan pendidikan yang positif.-UTUSAN

DR. Muhamad Ikhwan Mat Saad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi dan Penyelaras Kluster STEM Pusat Penyelidikan, Pedagogi dan Inovasi (CPRI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×