PADU kurangkan subsidi bahan api RM6 bilion tahun ini

PADU kurangkan subsidi bahan api RM6 bilion tahun ini

SUBSIDI bahan api antara yang terbesar diberikan oleh kerajaan kepada rakyat dalam usaha mengurangkan kos hidup. – UTUSAN/YULPISMAN ASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan membantu dalam usaha me­ngurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion tahun ini dengan menggunakan kelayakan ‘means-testing’ berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Sistem tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dengan memberi tumpuan kepada pengagihan subsidi yang adil.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, penggunaan PADU yang mengintegrasikan data sosioekonomi daripada pelbagai kementerian, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun, boleh dioptimumkan untuk memudahkan subsidi bersasar dan bantuan sosial lain.

Firma itu dalam laporan Malaysia 2024 Outlook and Lookouts berkata, kerajaan telah mempertimbangkan beberapa pilihan untuk ‘means-testing’ kelayakan untuk subsidi bersasar sebagai alternatif kepada klasifikasi pendapatan isi rumah bulanan semasa.

Katanya, ini berdasarkan pendapatan boleh guna bersih individu dan subsidi bersasar untuk penerima yang layak untuk diberikan secara ‘tunai’ me­lalui sistem perlindungan sosial; berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.

Tambahnya, subsidi bersasar juga kepada penerima yang la­yak untuk diberikan secara ‘tunai’ melalui gabungan skim perlindungan sosial dan bantuan sosial; dan ‘kad subsidi’ untuk diberikan kepada isi rumah dan individu yang layak berdasarkan pendapatan boleh guna bersih mereka.

“Kami menganggap pilihan ‘tunai’ di atas adalah untuk mengimbangi kesan inflasi dan kos sara hidup daripada pela­rasan harga bahan api bersubsidi, manakala ‘kad subsidi’ akan menjadi pilihan bukan tunai dan memperuntukkan kuota (contohnya dalam liter untuk tempoh tertentu) untuk bahan api bersubsidi kepada penerima yang layak,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, PADU boleh dioptimumkan untuk memudahkan subsidi bersasar dan bantuan sosial lain bagi menambah baik pemberian tunai sedia ada, kebajikan, perlindungan sosial dan program jaringan keselamatan, dengan tujuan menangani kesilapan pengecualian/inklusi, penyalahgunaan dan ketirisan.

“Akhirnya, (PADU) dapat memastikan keuntungan terbesar dalam belanjawan kerajaan untuk subsidi dan bantuan sosial dengan mencapai sasaran dan golongan yang layak.

“Ini mungkin boleh menamatkan subsidi barangan makanan penting dan menggantikannya dengan pemberian tunai tambahan atau pengimbangan kewangan dan menambah baik serta menyelaraskan pelbagai program kebajikan, perlindungan sosial dan jaringan kese­lamatan,” ujarnya.

Maybank IB juga menjangkakan proses dan masa rasionalisasi subsidi bahan api akan dilakukan secara beransur-ansur.

“Ini mengambil petunjuk daripada sasaran yang jelas untuk mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion tahun ini berbanding jumlah subsidi RON95 dan diesel yang tertinggi berjumlah RM41.75 bilion pada 2022.

“Rasionalisasi subsidi bahan api dan  pelarasan harga bahan api  mesti dilakukan secara beransur-ansur untuk mengurangkan kesan terhadap inflasi,” jelasnya.

Maybank IB berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus tahun ini untuk menguruskan inflasi, walaupun terdapat potensi pengurangan kadar faedah dalam ekonomi utama lain.

Maybank IB juga mengunjurkan inflasi sekitar 3.0 peratus pada 2024, meningkat daripada anggaran 2.6 peratus tahun lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×