KUANTAN: Status wakil rakyat lompat parti sama ada hilang kelayakan atau tidak sebagai ahli Dewan Rakyat perlu diputuskan oleh mahkamah supaya tidak berlaku salah guna akibat konflik dalaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, untuk itu, pindaan perlu dimasukkan dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan berhubung syarat-syarat yang menyebabkan penyingkiran keahlian parti yang boleh menghilangkan kelayakan sebagai ahli Dewan rakyat.
Katanya, menerusi pindaan itu, mahkamah boleh menentukan sama ada penyingkiran keahlian parti itu akan menyebabkan hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat.
KELAYAKAN
“Saya lihat dalam kes hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat kerana disingkirkan daripada parti perlu diputuskan oleh mahkamah.
“Jika pelucutan itu berlaku secara automatik, dikhuatiri kerajaan terpaksa menanggung kos yang besar untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) dan mungkin terdapat faktor yang mewajarkan seorang ahli Dewan Rakyat tidak akur arahan partinya.
“Sebagai ahli Dewan Rakyat, dia (wakil rakyat) juga terikat dengan sumpah di bawah Jadual Keenam untuk melindungi, mempertahan dan memelihara Perlembagaan.
“Justeru, seorang pemimpin yang baik tidak wajar dikorbankan hanya semata-mata mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinannya,” katanya di sini semalam.
Akta Perlembagaan Malaysia (Pindaan) (No.3) 2022 atau Akta Anti Lompat Parti yang melarang ahli Parlimen bertukar parti berkuat kuasa pada 6 Oktober 2022.
Selepas digubal, timbul persoalan tentang fungsi akta tersebut selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang ‘beralih arah’ menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Meskipun lima ahli Parlimen tersebut mendakwa sokongan itu demi peruntukan dan bukan berpindah parti, namun ia mengelirukan masyarakat lebih-lebih lagi apabila mereka memohon menukar tempat duduk di Dewan Rakyat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dilaporkan sebagai berkata, Akta Anti Lompat Parti memerlukan penambahbaikan yang perlu disegerakan.
Jais dilaporkan berkata, keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat, maka terdapat kemungkinan ahli Parlimen tersebut dengan secara curangnya menimbulkan kekacauan dalam partinya sendiri yang boleh membawa kepada pemecatan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut perlu berperanan memantau wakil-wakil rakyat yang mengalihkan sokongan kepada pemimpin parti politik lain.
“Siasatan perlu dibuka pada saat yang munasabah untuk mengelak berlakunya beli ahli Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN










