PUTRAJAYA: Sejumlah 30,279 permohonan pengesahan nikah diterima mahkamah syariah dalam tempoh lima tahun selepas pasangan berkenaan ‘kahwin lari’ atau bernikah tanpa kebenaran sama ada di dalam atau di luar negara.
Angka itu meliputi jumlah pasangan yang sudah pun bernikah terlebih dahulu sama ada perkahwinan pertama atau poligami sebelum membuat pengesahan pernikahan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, urusan pernikahan di negara ini dikawal oleh undang-undang demi menjulang maqasid syariah dan menjaga lima maslahah terutama memelihara agama, keturunan dan harta.
Jika pihak berkenaan betul-betul ikhlas dan layak untuk berpoligami, maka mereka boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk berkahwin lebih daripada satu.
Apatah lagi katanya, jika berkahwin di luar negara, ia dikhuatiri banyak kepentingan yang bersabit perkahwinan tidak terjamin dan merosakkan agama, keturunan dan harta.
“Nikah di luar negara juga terjadi disebabkan pihak-pihak tidak memahami secara jelas undang-undang negara kita. Undang-undang kita tidak zalim. Mereka yang layak boleh terus memohon kepada mahkamah.
“Nikah luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia boleh menyebabkan keburukan terutama kepada wanita dan anak-anak yang dilahirkan.
“Status wanita tersebut sebagai isteri tidak diiktiraf dan mereka tidak boleh menuntut hak-hak sebagai isteri. Status anak juga tidak dapat disahkan dan menyebabkan mereka tidak layak mendapat perwarisan dan hak-hak lain yang wajib ke atas mereka,” katanya di sini semalam.
Mengikut rekod, hanya sejumlah 9,471 membuat permohonan kebenaran poligami diterima pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sepanjang tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2022 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Johor merekodkan bilangan tertinggi iaitu 1,989 permohonan, diikuti Selangor (1,372) dan Kelantan 1,162 permohonan.
Menurut Mohd. Na’im, sebarang urusan pernikahan dan perceraian dalam kalangan umat Islam termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia.
Katanya, berdasarkan Seksyen 19 Akta Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa setiap orang Islam yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran.
Setelah kebenaran diperoleh daripada Pendaftar, maka barulah pasangan yang memohon kebenaran untuk berkahwin tersebut diakadnikahkan mengikut hukum syarak.
“Secara kasarnya nikah luar negara ini dilihat mudah kerana tidak perlu melalui proses yang ditetapkan undang-undang di dalam negara.
“Namun perlu diakui terdapat banyak kekurangan nikah diluar negara jika ia tidak mengikut prosedur yang betul digariskan undang-undang kita dan kes nikah di luar negara yang tidak didaftarkan akan memberi impak negatif kepada masyarakat itu sendiri terutama kepada isteri dan anak yang bakal lahir,” katanya.
Menjawab mengenai jumlah denda yang sedikit dikenakan kepada pasangan yang mahu mengesahkan perkahwinan tanpa kebenaran di luar negara, beliau berkata, hukuman dan denda tinggi itu bukanlah penyelesaian kepada masalah tersebut.
Ini kerana pesalah laku akan tetap melakukannya, malah kesan lebih buruk akan terjadi jika pesalah laku tidak akan mendaftarkan pernikahan mereka sekali gus mengakibatkan semakin banyak kes kekeluargaan akan berlaku.
Jelasnya, mereka tidak akan tampil untuk mendaftarkan perkahwinan dan hidup dalam perkahwinan yang tidak sah dari segi undang-undang.
Antara alasan yang diberikan pasangan yang berpoligami di luar negara ialah tidak perlu memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah kerana dikhuatiri permohonan tidak diluluskan disebabkan tidak memenuhi syarat untuk berpoligami.
“Mereka ini tidak mahu isteri yang sedia ada mengetahui hasrat untuk berpoligami.
“Mereka juga beranggapan bahawa prosedur untuk membuat permohonan berpoligami di mahkamah syariah adalah sukar dan mengambil masa panjang.
Ada juga dalam kalangan pasangan yang mahu berkahwin mempunyai masalah apabila perkahwinan ibu bapa mereka senditi belum mendapat pengesahan mahkamah. Oleh itu, terdapat kesukaran untuk pasangan itu berkahwin di dalam negara kerana dokumen tidak lengkap,” katanya. – UTUSAN










