PASIR GUDANG: Demi kesejahteraan dan keselamatan kesihatan, penduduk meminta kerajaan negeri melakukan sesuatu untuk membersihkan udara di bandar raya ini.
Rata-rata memberitahu, bau tidak menyenangkan itu makin kuat pada sebelah malam.
Bagaimanapun, kejadian itu berkurangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Peduduk mengesyaki punca pencemaran udara itu datang dari kilang-kilang yang beroperasi di sekitar daerah ini.
Salah seorang penduduk, Norhanis Mohammad, 35, berkata, kebiasaannya bau busuk itu dapat dihidu pada tengah malam ataupun pada awal pagi.
Menurutnya, walaupun jarak rumahnya dengan kawasan perindustrian agak jauh, namun bau busuk tetap boleh dihidunya hampir setiap hari.
“Namun bau busuk itu berkurangan sejak pelaksanaan PKP mungkin disebabkan kilang tidak banyak yang beroperasi.
“Kami masih trauma dengan kejadian sebilangan penduduk dan budak sekolah muntah, pengsan yang sebelum ini didakwa berpunca akibat pencemaran Sungai Kim Kim.
“Jadi bagi mengelakkan kejadian serupa, tolonglah lakukan sesuatu untuk selamatkan kami,” rayu Norhanis dari Bandar Bistari Perdana kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan bahawa Badan Bertindak Akademi Sains Malaysia (ASM) mendedahkan kejadian hampir 6,000 penduduk daerah ini yang terjejas pada Mac dan Jun 2019 adalah berpunca daripada partikel kimia berbahaya yang dilepaskan menerusi cerobong-cerobong asap kilang.
Semasa kejadian tersebut, mangsa yang terkesan dengan pencemaran itu mengalami simptom seperti muntah, mual, sakit kepala dan sesak nafas.
Pendedahan ASM sekali gus menolak anggapan bahawa pencemaran tersebut berpunca daripada pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim.
Cerita Norhanis lagi, dia berharap pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan penduduk tidak lagi diancam masalah kesihatan.
“Walaupun Pasir Gudang sebuah kawasan perindustrian namun kerajaan juga kena ingat terdapat banyak kawasan kediaman penduduk dan sekolah di sini,” ujarnya lagi.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Ariff Hafizal Mohd. Fadli, 29, berkata, dia dan keluarganya mengakui ada ketikanya mereka terhidu bau kurang menyenangkan di daerah ini.
“Bau yang kadang-kadang datang itu sangat busuk. Biasanya bau busuk itu boleh dihidu pada waktu malam,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Ariff berkata, dia tidak tahu apa yang menyebabkan punca bau busuk itu dan berharap kerajaan negeri melakukan sesuatu jika ia mengancam kesihatan.- UTUSAN











