Serangan di Gaza paling dahsyat dalam sejarah peperangan

Serangan di Gaza paling dahsyat dalam sejarah peperangan

Serangan Israel di Gaza bukan sahaja menyebabkan kemusnahan paling dahsyat tetapi juga menyebabkan rakyat Palestin kekurangan bekalan ubat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pakar antarabangsa menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Gaza sebagai antara serangan paling dahsyat yang mengakibatkan ke­musnahan amat besar dalam sejarah peperangan.

Konflik peperangan Israel-Hamas yang memasuki minggu ke-13 tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dalam masa terdekat meskipun kini sudah berada di tahun baharu.

Nasib penduduk Palestin juga tidak menentu ekoran konflik negara Asia Barat itu belum berakhir, malah sera­ngan besar-besaran ke atas Gaza memberi bayangan se­olah-olah Gaza berkemungkinan akan lenyap.

Memburukkan keadaan, rakyat Palestin terpaksa mencari rawatan alternatif untuk merawat pelbagai penyakit yang dijangkiti susulan bekalan ubat yang terhad dan sukar untuk diperoleh ketika ini.

Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Semenanjung Gaza, Nurul Ain Haron, 37, berkata, rakyat Palestin kini berhadapan situasi getir apabila diserang dengan pelbagai penyakit dan dijangkiti wabak.

Katanya, bekalan ubat sa­ngat terhad dan sukar diperolehi sehingga memaksa rak­yat Palestin mencari rawatan alternatif untuk merawat pe­nyakit dihadapi oleh mereka.

“Keluarga mentua saya iaitu sebanyak 19 orang ahli keluarga kini duduk di dalam satu rumah, sebelum ini semua dapat jangkitan wabak dan penyakit tetapi tiada bekalan ubat boleh diperolehi mereka.

“Anak kakak ipar saya seorang terkena penyakit epilepsi dan seorang lagi masalah jantung. Malah, ada ahli keluarga saya yang sedang hamil diserang penyakit pun tidak dapat apa-apa ubat.

“Jadi mereka bertahan sahaja, ikhtiar macam makan buah lemon dan sebagainya untuk dapatkan vitamin C,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sejak konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 21,672 penduduk Palestin terbunuh dan 56,165 cedera dalam sera­ngan Israel di Gaza.

Dalam tempoh lebih dua bulan, serangan Gaza menyebabkan lebih banyak kemusnahan berbanding konflik lain seperti di Aleppo Syria antara tahun 2012 dan 2016, tragedi Mariupol di Ukraine dan pengeboman bersekutu Jerman da­lam Perang Dunia Kedua.

Tentera Israel tidak ba­nyak mendedahkan jenis artileri yang digunakan namun berdasarkan serpihan bahan letupan yang ditemukan di lokasi kejadian serta analisis rakaman serangan, pakar percaya sebahagian besar bom digugurkan di Gaza adalah buatan Amerika Syarikat (AS).

Kata pakar, senjata itu termasuk bom bunker-buster seberat 907.18 kilogram (kg) membunuh beratus-ratus orang di kawasan padat penduduk itu.

Ketika angka kematian di Gaza mencecah lebih 21,000, penduduk dunia menggesa gencatan senjata dilaksana segera bagi menamatkan pembunuhan kejam di Palestin.

Bagaimanapun, harapan penduduk untuk menyaksikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengakhiri perang di Gaza menerusi resolusi genca­tan senjata gagal apabila badan dunia itu hanya meluluskan resolusi berkaitan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Keputusan UNSC itu secara tidak langsung ‘menggalakkan lagi tentera Zionis membunuh penduduk Gaza secara sewenang-wenangnya’.

Malah, Israel berikrar untuk meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza selagi tidak menghapuskan kumpulan pe­juang Hamas.

Bagaimanapun, rejim Zionis itu masih belum dapat menawan Gaza mahu pun menghapuskan keupayaan Hamas yang boleh melancarkan sera­ngan balas.

Sebahagian besar kawasan Gaza sudah musnah dan kira-kira 2.4 juta penduduk ber­depan krisis air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan ramai yang melarikan diri ke selatan dan bersesak-sesak di tempat perlindu­ngan atau khemah sementara.

Mengulas lanjut, Nurul Ain berkata, beberapa ahli keluarga mentuanya mati syahid sejak perang tersebut tercetus.

Jelasnya, beberapa ahli keluarga lain masih selamat daripada pelbagai serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis.

“Jika tanya saya, di sana sekarang tidak ada tempat yang selamat. Hari itu, kakak ipar saya pun terselamat walaupun ada letupan bom 50 meter daripada rumahnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×