TUMPAT: Seorang petani dari Kampung Bunut Sarang Burung, di sini kerugian ribuan ringgit apabila tanaman mentimun yang diusahakannya musnah selepas ditenggelami banjir termenung sedalam 0.3 meter lebih sebulan lalu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mohd. Arri Faie Yusof, 36, berkata, masalah itu berpunca daripada hujan lebat pada 18 November lalu dan sehingga kini situasi tersebut tidak banyak berubah.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama dia berdepan masalah tersebut sejak mengusahakan tanaman itu menggunakan kaedah fertigasi di kawasan seluas 0.3 hektar sejak bermula 2019.
“Biasanya air akan surut dalam tempoh dua hingga tiga hari. Tetapi berbeza kali ini apabila lebih sebulan air tidak surut sekali gus menyebabkan kawasan ini digenangi air.
“Lebih membimbangkan saya, situasi cuaca yang tidak menentu ketika ini dilihat akan merumitkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Arri Faie memberitahu, masalah itu berpunca daripada sistem saliran yang tersembat dan gagal berfungsi dengan baik.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan yang besar untuk mengeringkan air di kawasan itu.
“Saya juga berharap agar pihak berkenaan dapat membantu mengatasi masalah tersebut. Ini adalah pendapatan utama saya untuk menyara keluarga,” ujarnya. – UTUSAN










