Mukadimah
LANTANG, kritikal dan penuh kontroversi apabila memperkatakan tentang Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini terutama di bawah pimpinan Datuk S. Ambiga.
Bagaimanapun, Bersih kini dilihat kurang menyengat dan tidak selantang dulu dalam hal-hal terkait dengan demokrasi.
Namun, nama Bersih yang kini berada di bawah kepimpinan baharu kembali diperkatakan baru-baru ini apabila entiti itu menyokong agar pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Pengerusi Bersih bagi sesi 2023-2025, MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto, SYAKIR RADIN.
MINGGUAN MALAYSIA: Dipilih sebagai Pengerusi Bersih yang baharu. Apakah hala tuju yang ingin dibawa di bawah kepemimpinan saudara?
MUHAMMAD FAISAL: Prinsip asas kami mudah iaitu untuk memperjuangkan agenda pilihan raya yang bersih dan adil. Maka fokus utama sudah tentu untuk memastikan berlaku penambahbaikan sistem pilihan raya.
Ini termasuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai institusi bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya semata-mata kepada Perdana Menteri. Ia penting supaya SPR tidak dilihat memihak kepada kerajaan semasa.
Di samping itu, kita juga mahu membawa fokus lain dalam aspek meluaskan ruang demokrasi agar rakyat boleh bersama-sama dalam agenda pembangunan negara yang lebih berkesan.
Ini kerana apabila berbicara tentang soal mengangkat suara rakyat, ia tidak hanya terhad dengan pilihan raya, tetapi lebih daripada itu.
Sebagai contoh, isu kualiti hidup seharian dan melawan rasuah yang memerlukan ruang untuk rakyat terlibat memberi pandangan setiap masa dan bukannya semata-mata sekali dalam tempoh lima tahun. Justeru, Bersih perlu dan mahu menjadi jurucakap rakyat dalam sesuatu isu-isu yang berfokus.
DARI ABIM KE BERSIH
Daripada Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kepada Pengerusi Bersih. Adakah saudara berasa janggal mengemudi entiti yang berlainan daripada segi perjuangan?
Sebenarnya dalam ABIM, kita diajar tentang dakwah daripada segi sudut yang besar. Bagi kita kehebatan dakwah apabila masyarakat umum dapat merasai manfaat Islam.
Kita selalu berteori dalam Islam dalam penyelesaian masalah, tetapi kita tidak praktikal dan tidak turun ke peringkat masyarakat untuk menunjukkan manfaatnya Islam kepada komuniti.
Masyarakat harus benar-benar nampak penglibatan Islām dalam pertarungan antara yang makruf dan munkar, agama yang memihak kepada yang hak dan keadilan serta menjadi wahana terbaik dalam memakmurkan bumi ini. Itulah antara ukuran keberhasilan dakwah Islam.
Ini termasuk memuatkan sama penilaian indeks kualiti hidup rakyat, indeks persepsi rasuah, indeks prestasi alam sekitar serta tanda aras lain yang sepatutnya boleh memberikan hasil yang ranum daripada meningkatnya kesedaran Islām.
Malah kalau dilihat dalam konteks pilihan raya yang bersih dan adil, ia menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam demi kestabilan.
Ada yang melihat Bersih sebelum ini lebih memihak kepada Pakatan Harapan (PH). Bagaimana Bersih mahu mengubah persepsi tersebut?
Itu persepsi yang salah. Kita telah membuat beberapa tuntutan dan sentiasa konsisten dalam membabitkan beberapa isu.
Sebagai contoh pemberian Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) kepada semua ahli Parlimen demi mewujudkan peruntukan yang sama adil tanpa mengira siapa pun jadi kerajaan atau pembangkang. Untuk pengetahuan anda, perkara ini sudah lama diperjuangkan.
Tinggal lagi maklumat tidak sampai kepada masyarakat atau pembangkang. Ini antara visi yang saya tetapkan untuk empat atau lima tahun akan datang dan secara tidak langsung kita menjadi perantara kedua-dua belah pihak.
Di samping itu, matlamat utama kita mahu memastikan akhirnya nanti kerajaan dan pembangkang boleh bersama-sama menggubal undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat menerusi pemberian CDF ini agar peruntukan dapat diberikan sama rata kepada semua ahli Parlimen.
Siapa pun yang jadi kerajaan atau pembangkang ada hak atau tanggungjawab masing-masing untuk mengurus peruntukan berkenaan. Jadi, penambahbaikan harus melibatkan parti-parti pembangkang juga.
Maka Bersih telah memperjuang agar diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi yang bersifat bi-partisan meliputi semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Justeru, tidak timbul kita ini cenderung kepada mana-mana pihak.
BERSIH LEBIH DEKAT DI BANDAR
Bersih dilihat lebih dekat dengan penduduk di bandar berbanding kampung. Bagaimana mahu perbetulkan tanggapan sedemikian?
Pada saya, itu antara cabaran terbesar lebih-lebih lagi saya merupakan Pengerusi Bersih pertama orang Melayu.
Apatah lagi untuk memberi pemahaman kepada semua masyarakat. Mungkin ada persepsi apabila memperkatakan pilihan raya umum yang adil dan bersih ini, ia hanya dikaitkan dengan kelompok elit, bukan Islam dan orang bandar sahaja walhal hakikatnya tidak.
Ingin saya sebutkan di sini bahawa manfaatnya untuk semua kalau reformasi pilihan raya secara adil dan bersih dapat direalisasikan terutama bagi orang Melayu Islam yang menjadi majoriti di negara ini. Tidak timbul isu kononnya perjuangan kita ini hanya untuk segelintir golongan sahaja.
Sejauh mana Bersih dapat memastikan segala perjalanan ke arah proses demokrasi betul-betul bersih di bawah pimpinan saudara?
Bersih amat yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melunaskan agenda reformasi yang akan memberi manfaat kepada rakyat. Tetapi kita faham ia memerlukan masa kerana kalau dilihat pada senario hari ini, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada isu lain.
Walau apa pun, agenda kita tetap akan membawa suara rakyat untuk pelaksanaan reformasi (sistem pilihan raya). Dalam masa sama, kita bersedia berbincang dengan pihak kerajaan serta pembangkang berhubung agenda reformasi yang mana dipersetujui untuk diberi keutamaan.
Untuk reformasi pilihan raya ini, antara rujukan kita adalah Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Daya (ERC) yang perlu dibuka kepada umum dan direalisasikan secara bertahap.
SUARA JALANAN
Adakah Bersih masih relevan pada masa sekarang?
Bagi saya Bersih masih relevan sebab kita perlu melihat proses pada masa depan. Kita tidak jadi relevan lagi kalau hanya mengimbau sejarah semata-mata.
Sejarah Bersih sebelum ini di jalanan memang mendapat sokongan kuat, tetapi kita perlu sentiasa bergerak ke hadapan. Kita tidak nafikan sejarah penting kerana banyak khazanah untuk kita belajar dalam setiap tindakan kita dan dalam masa sama tidak boleh bernostalgia.
Kita akan melihat ruang yang ada bagi memastikan matlamat dan amanah yang dipikul dapat memastikan proses reformasi berjalan dengan baik. Sebab itulah ia menjadikan Bersih relevan.
PEMIMPIN TERDAHULU LEBIH LANTANG
Bersih dilihat lantang dan agak keras ketika pemimpin sebelum ini. Bagaimana Bersih di bawah pimpinan saudara?
Bersih hari ini akan melihat kepada dua strategi. Pertama, sudah pasti sudut libat urus yang baik dengan pimpinan politik. Ada perbincangan dan penglibatan dengan mereka.
Kalau ditanya pada saya pun, kita percaya agenda reformasi yang baik itu pasti akan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cuma ia mungkin mengambil masa. Lagipun, beliau baru lagi jadi menjadi pemimpin. Malah hari ini pun kita faham kerajaan perlu menangani banyak isu lain seperti ekonomi dan sosial. Kita memerlukan kerajaan yang stabil untuk pastikan agenda reformasi dijalankan. Kita optimis, beliau akan jalankan agenda reformasi secara bertahap
Bersih dalam masa sama tidak menutup ruang kepada pembangkang kerana apabila sebut pasal reformasi, ia bukan hanya perspektif kerajaan sahaja tetapi turut mengambil kira daripada sudut pendang parti pembangkang.
Amanah yang kita pegang adalah amanah rakyat sendiri supaya manfaat dapat dinikmati mereka nanti.
Kedua, Bersih tidak menolak untuk terus lantang bersuara kalau ada isu yang memang dilihat melemahkan atau bercanggah kepentingan dan aspirasi rakyat walau ia tidak berkait dengan sistem pilihan raya.
PILIHAN RAYA PBT
Saudara ada mengeluarkan pandangan berkenaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini yang lebih berpihak kepada menyokong. Mengapa?
Sebenarnya ada kebaikan dalam pilihan raya PBT. Pertama, ia mengangkat suara rakyat dalam konteks isu setempat. Contohnya, isu bersifat setempat seperti pembuangan sampah atau longkang tersumbat.
Rakyat boleh dan ada suara untuk menyatakan pandangan serta rasa tidak puas hati terhadap isu berkenaan. Malah, kita jangan hanya lihat konteks di bandar sahaja. Dalam data, ada ratusan PBT termasuk majlis daerah.
Di samping itu, parti politik juga dapat manfaatnya dan sudah pasti parti yang ada akar umbi seperti Pas dan UMNO memperoleh kebaikan berkenaan.
Kerana apa? Kerana parti ini dalam masa sama dapat memberi ruang untuk melatih pemimpin muda bercakap di khalayak ramai dengan membincangkan isu-isu rakyat.
Selain itu, kalau ada pilihan raya PBT, ia dapat meringankan beban ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam menyelesaikan isu tempatan.
Bagaimanapun, kita perlu ada libat urus menerusi pelbagai platform agar ada penglibatan semua pihak supaya mereka dapat melampiaskan idea sebelum dilaksanakan proses pilihan raya PBT ini.
CAMPUR TANGAN PIHAK LUAR
Ada dakwaan mengatakan terdapat campur tangan pihak luar dalam Bersih. Sejauh mana Bersih bebas daripada perkara tersebut di bawah pimpinan saudara?
Apa yang berlaku beberapa tahun lepas, itu saya tidak tahu. Tetapi setakat hari ini, tidak berlaku campur tangan daripada pihak luar. Dalam erti kata lain, Bersih betul-betul bersih daripada perkara berkenaan,
Pada masa sama, kita faham ini sebahagian cabaran dan asam garam lebih-lebih lagi orang ramai melihat Bersih ini penuh persepsi, kaki gaduh. Perkara inilah yang kita perlu ubah.
Kita mahu apabila sebut Bersih, dalam fikiran semua orang adalah reformasi pilihan raya dengan pengukuhan institusi SPR agar bertanggungjawab pada Parlimen, bukannya ‘kuda’ tunggangan Perdana Menteri.
Apabila ia dapat direalisasikan nanti, secara tidak langsung memperkukuhkan kestabilan politik negara. Ini sekaligus menutup cubaan menyeludup masuk anasir luar dan tidak lagi membuka ruang kepada campur tangan orang politik, sekaligus memastikan kestabilan.
DANA BERSIH
Mungkin masih ada yang sangsi dengan dana yang diperoleh Bersih. Boleh saudara jelaskan?
Sebelum ini kita selalu anjurkan majlis makan malam setiap tahun dan ada sasaran dalam tempoh setahun iaitu RM800,000.
Sebelum ini pun kita ada buat tawaran jualan barangan tertentu. Malah ada ahli Parlimen yang sedekah barangan antik kepada Bersih untuk jual dan hasilnya akan pergi kepada Bersih.
Selain itu, ada juga artis yang membantu kami terutama bagi mereka yang berkecimpung dalam seni lukis. Cuma ia bukan bersifat kekal atau berterusan.Kalau kita mengadakan program dan individu berkaitan mahu membantu atau menyokong, barulah mereka berbuat demikian. – Mingguan.










