PEJAM celik rupanya sudah 365 hari kita melalui tahun 2023. Bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga, perjalanan masih panjang dan masih banyak cabaran perlu ditempuh.
Bagi pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga, sudah tentu tidak dapat lari daripada situasi bertikam lidah, tidak sependapat, berkecil hati, merajuk atau bermasam muka.
Itu semua adalah asam garam yang sebenarnya menambahkan lagi perencah dalam hidup berpasangan. Pokok pangkal, sentiasa bermuhasabah diri, mengakui kesilapan masing-masing serta paling penting merendahkan keegoan yang menjadi tembok penghalang.
Bercakap tentang soal memaafkan kesalahan pasangan, kaunselor berdaftar, Zuhdi Zakaria berpendapat, setiap pasangan tidak perlu mengadakan sesi ‘post-mortem’ bagi memperincikan setiap kesalahan yang pernah dilakukan sepanjang tahun ini.
Sebaliknya, jelasnya, setiap pasangan perlu mempunyai wawasan hidup yang lebih besar serta berpandukan rukun anak panah dalam rumah tangga.
“Kita perlu bermula bercakap tentang di sini, sekarang dan akan datang. Bukan melihat kesalahan kecil yang berlaku semalam atau minggu lalu. Rumah tangga yang harmoni perlu melihat potensi dan peluang kehadapan.
“Umpamanya bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora, dan langit mana yang selalu cerah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri,” katanya yang memiliki lima cawangan klinik kaunseling kepada SERI.
Sebagai lelaki, kata Zuhdi, tidak salah berundur dan bertolak ansur dalam banyak perkara walaupun kesalahan itu sebenarnya datang daripada kaum perempuan sendiri.
“Ada stigma dalam masyarakat kita, perempuan tak pernah salah. Dalam konteks maskulin 2023, kita telan sahaja bulat-bulat kenyataan ini dan jadilah seorang gentlemen. Kita yang perlu berperanan mengecilkan jurang kesalahan pasangan.
“Suami perlu bijak menguruskan rumah tangga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti cekal, sabar, tahan dan kental. Modifikasi tingkah laku perlu dilakukan sebagai kemenangan moral menjelang tahun baharu,” jelasnya.
SENTIASA POSITIF
Adakah pasangan perlu menampal azam 2024 sebagai peringatan bersama?
Jelas Zuhdi, ia boleh dilakukan dengan memastikan hanya kata-kata positif supaya rumah tangga sentiasa menyala sinarnya.
Jelasnya, hidup berumah tangga perlu mengelakkan sebarang penggunaan kata-kata negatif yang boleh meracun minda sehingga memberi kesan tingkah laku.
“Azam boleh, tetapi jangan melihat kesilapan. Nak buat, buat sahaja. Contohnya, kalau lambat bersiap, jadi cepat bersiap. Kurangkan bercakap dan lebih banyak mendengar. Ruang tamu bersepah, kemas dan rapikan segera.
“Kita mahu menyemarakkan rasa cinta dan perasaan sayang sentiasa membuak-buak walaupun sudah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga,” katanya.
ZINA HATI
Zuhdi turut memberi peringatan kepada pasangan suami isteri agar mengelakkan sebarang tingkah laku yang boleh menjurus kepada zina hati waima hanya sekadar berbalas WhatsApp.
Ketika ledakan teknologi AI yang bakal mengambil tempat dalam segenap dimensi, katanya, lebih banyak cabaran yang bakal melanda setiap pasangan.
“Lencongan hati boleh berlaku pada bila-bila masa, hatta berbalas mesej menggunakan emoji dengan rakan sekerja.
“Banyak kes menyebabkan pemikiran lelaki tercemar dan akhirnya tidak menjadi budiman dalam rumah tangga.
“Pokok pangkal kejujuran adalah segala-galanya. Kalau tak buat salah, tak perlu rasa takut kalau isteri tiba-tiba spot check telefon sampai perlu letak kata laluan.
“Sampai ada suami yang terpaksa clear, delete chat. Ada telefon lain dalam kereta, sorok dalam almari. Jadi, tutup pintu kemudaratan itu lebih awal bagi mengelakkan malapetaka lebih besar,” jelasnya.










