PADU: Wujudkan penilaian multidimensi pendapatan

PADU: Wujudkan penilaian multidimensi pendapatan

KERATAN laporan Utusan Malaysia 27 Disember 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaedah pe­ngukuran pendapatan menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) harus menggabungkan pelbagai faktor sekali gus menentukan kumpulan sasar yang menerima subsidi dan bantuan kerajaan secara telus.

Ini kerana, ukuran kelas pendapatan sedia ada iaitu T20, M40 dan B40 tidak tepat, malah tidak menggambarkan situasi kemiskinan untuk me­nyalurkan bantuan kepada isi rumah yang layak menerima rasionalisasi subsidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewa­ngan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sistem PADU yang dijadual dilancar 2 Januari ini wajar mempertimbang faktor seperti saiz isi rumah, akses kepada penjagaan kesihatan dan tahap pendidikan.

Jelasnya, pertimbangan terhadap faktor-faktor berkenaan untuk mewujudkan penilaian kadar kemiskinan adalah lebih multi dimensi untuk sokongan yang disasarkan.

“Potensi PADU terletak pada keupayaannya untuk memberi gambaran lebih komprehensif dan tepat mengenai pendapatan dan keperluan isi rumah.

“Namun, untuk memastikan pengumpulan data yang tepat melalui pengesahan dan kemas kini tetap adalah penting untuk mengelakkan salah klasifikasi dan pengecualian benefisiari yang layak.

“Sebab itu kita perlukan langkah kemiskinan multidimensi yang mana PADU harus mempertimbang antara faktor yang saya sebutkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, katanya, kerajaan wajar laksanakan sistem cukai lebih progresif bagi membantu menjana hasil untuk jaringan keselamatan sosial yang di­sasarkan, yang mengurangkan kesan pemotongan subsidi ke atas kumpulan terdedah.

“Kerajaan juga boleh memperluas atau memperhalusi program sokongan pendapatan sedia ada seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Bencana Alam (BBA) yang menawarkan bantuan kewangan terus kepada isi rumah B40 (golongan berpendapatan rendah) dan M40 (sederhana) yang terjejas oleh rasionalisasi subsidi,” katanya.

Mengulas lanjut, Idham berkata, sama ada PADU memerlukan pembaharuan klasifikasi isi rumah bergantung kepada ketepatan data kerana status sosioekonomi dan demografi isi rumah boleh berubah dengan ketara pada bila-bila masa.

Katanya, klasifikasi lapuk (B40-M40,T20) mungkin tidak dapat menangkap dengan tepat akan keperluan segmen isi rumah berbeza, yang berpotensi menghalang keberkesanan campur tangan kerajaan.

“Kemunculan demografi baharu atau corak ekonomi contohnya pekerja ekonomi gig mungkin tidak mewakili secukupnya dalam sistem pengelasan semasa dan memerlukan kemas kini.

“Individu dan keluarga boleh naik atau turun tangga sosioekonomi. Semakan berkala membolehkan pelarasan klasifikasi untuk mencerminkan perubahan ini dan memastikan pengagihan sumber yang adil,” katanya.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, setiap isi rumah perlu memastikan maklumat diri mereka disah dan dikemas kini dalam PADU.

Keberkesanan sistem tersebut sebagai asas dalam menentukan kumpulan sasar untuk menerima subsidi dan bantuan secara telus yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Ia berikutan sejauh mana pelaksanaan pengkelasan pendapatan itu bagi memastikan bantuan dapat disalur kepada warga Malaysia yang layak dan memastikan tiada orang ter­pinggir sehingga menyebabkan golongan kumpulan tertentu terus dibebani peningkatan kos sara hidup.

Kelmarin, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam kenya­taan berkata, PADU adalah satu pangkalan data sosio-ekonomi negara bersepadu dengan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi gambaran seadilnya kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah rak­yat Malaysia.

Katanya, kewujudan PADU membolehkan kerajaan beralih dari pendekatan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan pe­nerima bantuan kepada pendekatan yang lebih bersasar dan adil untuk mengelakkan keciciran terimaan bantuan pada yang selayaknya.

Katanya, PADU menggunakan pendekatan pendapatan boleh belanja (bukan pendapatan kasar) selepas mengambil kira tanggungan, jumlah isi rumah, kos sara hidup berbeza mengikut lokasi untuk memastikan penilaian lebih adil berbanding pendekatan pendapatan mengikut B40-M40-T20.

Jelasnya, PADU memboleh­kan semak silang data isi rumah untuk mengelakkan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan bantuan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×