Pantai Timur ditenggelami air

Pantai Timur ditenggelami air

Penduduk Kampung Belimbing, Jongok Batu, Dungun meredah banjir untuk ke tempat lebih selamat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Situasi banjir di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang makin buruk apabila jumlah mangsa kini me­ningkat kepada 25,654 setakat pukul 4 petang semalam.

Mangsa paling ramai adalah di Kelantan dengan jumlah yang terlibat terus meningkat kepada 15,147 orang berbanding 12,572 pada sebelah pagi.

Kelantan turut mencatat tiga kematian melibatkan banjir telah direkodkan di negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula 21 Disember lalu sehingga semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu melibatkan tiga kanak-kanak, satu di Kota Bharu dan dua di Rantau Panjang, Pasir Mas.

“Kes di Kota Bharu (Kubang Kerian) itu melibatkan kanak-kanak lelaki manakala dua di Rantau Panjang (Pasir Mas) kanak-kanak perempuan,” kata­nya dalam satu kenyataan.

Jumlah mangsa banjir di Te­rengganu, semalam turut meningkat kepada 10,199 orang daripada 2,811 keluarga pada pukul 4 petang berbanding 8,808 orang daripada 2,402 keluarga pukul 8 pagi.

Bagaimanapun, di Pahang jumlah mangsa banjir menurun kepada 503 orang daripada 130 keluarga di 12 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah sehingga pukul 4 semalam.

Penurunan mangsa berikutan penutupan tiga buah PPS di Lipis dan sebuah PPS di Raub melibatkan seramai 204 mangsa daripada 42 keluarga pulang ke rumah masing-masing apabila dilaporkan air surut berban­ding 698 orang mangsa daripada 170 di 14 buah PPS pada pukul 12 tengah hari semalam.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, setakat pukul 3.30 petang kesemua mangsa dari 4,600 keluarga sedang berlindung di 86 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, daarah Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Gua Musang, Jeli dan Kota Bharu antara yang terjejas setakat ini.

“Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 9,747 orang diikuti Kuala Krai (4,520), Tanah Merah (1,472), Gua Musang (278) dan Machang (381).

“Sementara Jeli 82 orang mangsa, Pasir Puteh (39) dan Kota Bharu (42),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Sungai Kelantan di Galas (Gua Musang), Su­ngai Kelantan (Kuala Krai), Su­ngai Kelantan (Jambatan Kusial, Tanah Merah), Sungai Kelantan (Kuala Besar) dan Golok di Rantau Panjang melepasi bacaan bahaya.

Sungai Kuala Koh Gua Musang, Sungai Golok (Jenob, Tanah Merah) dan Kelantan (Tambatan Diraja) berapa pada paras amaran.

Lain-lain sungai berada pada bacaan berjaga-jaga.

Dalam perkembangan lain, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kalbok 5 ditutup kepada semua kende­raan ringan berikutan air naik se­tinggi satu meter.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Ben­­cana Negeri (JPBN) Terengga­nu berkata, ketika ini, banjir telah merebak ke daerah Kuala Terengganu dengan 25 mangsa daripada empat keluarga berpindah ke satu PPS petang semalam.

Katanya, terdapat 125 PPS di lapan daerah di Terengganu pada masa sekarang dan jumlah itu dijangka bertambah sekiranya hujan berterusan.

“Mangsa tertinggi ialah di daerah Hulu Terengganu iaitu 3,176 orang (928 keluarga) yang kini berada di 33 PPS berban­ding 3,005 mangsa daripada 874 keluarga di 34 PPS pagi tadi.

“Banjir di daerah Dungun juga semakin buruk dengan mangsa terus bertambah kepada 2,342 orang (633 keluarga) di 28 PPS berbanding 1,609 orang (444 keluarga) di 25 PPS sebelum ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, daerah sete­rusnya ialah Setiu dengan mang­sa bertambah kepada 2,167 orang (644 keluarga) di 27 PPS berbanding 1,432 mangsa (410 keluarga) di 30 PPS pagi semalam.

Katanya, mangsa bagaima­napun berkurangan sedikit kepada 1,432 orang (310 keluarga) di 23 PPS berbanding 1,609 orang (364 keluarga) di 24 PPS pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×